backup og meta

Air Mani Tak Keluar, Bahkan Masuk Ke Dalam Pundi Kencing Semasa Orgasme! Bahaya Ke?

Air Mani Tak Keluar, Bahkan Masuk Ke Dalam Pundi Kencing Semasa Orgasme! Bahaya Ke?

Jika diikutkan logik akal, lelaki pancut air mani keluar apabila mencapai klimaks seksual, kan? Namun tahukah anda pancutan tersebut boleh bertukar arah?

Mungkin ada yang berkerut memikirkan apa yang cuba disampaikan oleh penulis.

Apa yang perlu anda tahu adalah, terdapat situasi di mana pancutan air mani berlaku secara terbalik.

Ini bermakna, air mani tidak keluar daripada zakar, sebaliknya masuk ke dalam pundi kencing. Alirannya bertentangan dengan keadaan normal sehingga menyebabkan lelaki mengalami orgasme kering (tanpa air mani).

Fenomena ini, walaupun dengar seperti menakutkan, tidak dianggap sebagai penyakit atau ancaman terhadap tahap kesihatan seksual anda.

Baca artikel ini untuk mengetahui selanjutnya.

Pancutan air mani terbalik, bagaimana ia boleh berlaku?

Fenomena air mani masuk ke dalam pundi kencing dan tidak terpancut keluar dikenali sebagai ejakulasi terbalik (ejakulasi retrograd).

Seperti yang anda sedia maklum, air kencing dan air mani keluar melalui saluran yang sama (uretra).

Pada leher pundi kencing (sebelum memasuki saluran uretra), terdapat otot yang mengawal pergerakan keluar masuk air kencing.

Semasa anda menahan kencing, otot tersebut akan mengalami kontraksi sehinggalah anda bersedia untuk kencing. Maka otot tersebut akan relaks bagi membolehkan aliran keluar air kencing.

Begitu juga konsepnya semasa anda mengalami ejakulasi. Otot tersebut akan menahan air mani daripada mengalir masuk ke dalam pundi kencing.

Aliran air mani seharusnya keluar daripada zakar bagi membolehkan ia untuk bersenyawa dengan ovum.

Namun, dalam keadaan tertentu, otot tersebut boleh gagal mengalami kontraksi sehingga menyebabkan aliran air mani berlaku secara terbalik.

Anda akan mengalami orgasme, namun tiada air mani yang keluar. Situasi ini dinamakan sebagai orgasme kering.

Adakah keadaan ini akan mempengaruhi tahap kesuburan lelaki?

pancut air mani

Apabila berbicara mengenai hubungan seksual, ada dua konteks yang seharusnya diberi perhatian; nikmat seksual dan kesuburan.

Adakah orgasme kering akan menjejaskan keseronokan seksual?

Perkara ini bergantung kepada individu. Ada yang masih boleh merasai kenikmatan orgasme walaupun tanpa pancut air mani.

Namun, ada juga yang berasa tidak selesa memandangkan air mani tidak keluar atau hanya keluar sedikit semasa mereka mencapai klimaks.

Pancut air mani yang mengalir masuk ke dalam pundi kencing akan bercampur dengan air kencing.

Hasilnya, air kencing anda mungkin kelihatan keruh selepas anda melakukan hubungan seks.

Bagaimana pula dengan tahap kesuburan? Walaupun pancut air mani terbalik boleh menjejaskan kesuburan, ia bukanlah punca lazim bagi masalah ketidaksuburan.

Kajian yang diterbitkan pada tahun 2016 menunjukkan hanya 0.3 hingga 2% masalah kesuburan berpunca daripada lelaki pancut air mani terbalik.

Secara umumnya, anda sebenarnya tidak mempunyai sebarang isu dengan kesuburan, tiada masalah berkaitan dengan integriti sperma atau ovum.

Hanya sperma yang dilepaskan tidak sampai ke destinasi yang sepatutnya.

Punca dan rawatan lelaki pancut air mani terbalik

pancut air mani

Walaupun kebanyakan penyakit berkaitan ejakulasi berpunca daripada masalah psikologikal (stres dan sebagainya), ejakulasi terbalik lazimnya berpunca daripada masalah fizikal.

Ia boleh berlaku apabila terdapat sebarang faktor yang mempengaruhi integriti otot pada bukaan pundi kencing.

Lazimnya, masalah tersebut seringkali berkait dengan kerosakan saraf seperti yang dialami oleh mereka yang menghidap penyakit:

  1. Kencing manis
  2. Sklerosis berbilang
  3. Penyakit Parkinson
  4. Kecederaan saraf tunjang

Kerosakan saraf juga boleh berlaku akibat kecederaan selepas pembedahan yang melibatkan organ prostat atau pundi kencing. Perkara ini boleh mengakibatkan masalah pancutan air mani terbalik.

Selain itu, keadaan ini juga boleh berpunca daripada kesan sampingan ubat yang sering dipreskripsikan untuk merawat masalah prostat, tekanan darah tinggi dan kemurungan.

Umumnya, masalah pancut air mani terbalik ini tidak memerlukan rawatan yang spesifik. 

Namun jika anda sedang mengambil sebarang ubat untuk penyakit kronik, doktor mungkin akan menghentikan ubat tersebut buat sementara waktu untuk melihat kesannya terhadap ejakulasi.

Anda perlu faham, keputusan untuk menghentikan pengambilan ubat tidak boleh dibuat secara peribadi.

Ia perlu dipantau oleh doktor yang merawat bagi mengelakkan komplikasi masalah kesihatan kronik yang dialami.

Terdapat juga ubat yang boleh dipreskripsikan oleh doktor bagi membantu otot pada bukaan pundi kencing untuk mengalami kontraksi.

Pun begitu, jika masalah ini berpunca daripada kecederaan otot atau saraf, pengambilan ubat tidak akan memberikan sebarang kesan.

Kalau ia mempengaruhi tahap kesuburan dan anda sedang cuba untuk mendapatkan anak, rujukan kepada pakar kesuburan boleh meningkatkan peluang anda menimang cahaya mata.

Konklusi

Jika anda mengalami orgasme kering, adalah lebih baik untuk anda berjumpa dengan doktor bagi mengenal pasti punca ia berlaku. Ejakulasi retrograd boleh berpunca daripada pelbagai jenis masalah kesihatan.

Keadaan ini lazimnya tidak mengancam nyawa atau mengganggu kenikmatan seksual.

Walau bagaimanapun, jika anda mengalami kesukaran untuk mendapatkan anak, anda digalakkan untuk berjumpa dengan pakar kesuburan.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Retrograde ejaculation, painful ejaculation and hematospermia. (https://tau.amegroups.com/article/view/11053/11779). Diakses pada 12 Februari 2021.
  2. Retrograde ejaculation. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/retrograde-ejaculation/symptoms-causes/syc-20354890). Diakses pada 12 Februari 2021.
  3. Ejaculation problems. (https://www.nhs.uk/conditions/ejaculation-problems/). Diakses pada 12 Februari 2021.
  4. How Cancer Can Affect Ejaculation. (https://www.cancer.org/treatment/treatments-and-side-effects/physical-side-effects/fertility-and-sexual-side-effects/sexuality-for-men-with-cancer/ejaculation-and-treatment.html). Diakses pada 12 Februari 2021.
  5. Erection and ejaculation. https://my.clevelandclinic.org/health/articles/10036-erection-ejaculation-how-it-occurs. Diakses pada 12 Februari 2021.

Versi Terbaru

30/08/2022

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

4 Puncak Syahwat Orang Lelaki, Lepas 'Dapat' Kena Tunggu 15 Minit Untuk Sambung Bersetubuh

Lelaki Diabetes BERISIKO Alami Ejakulasi Terbalik, Ini Mungkin Punca Isteri Tak Hamil


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 30/08/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan