backup og meta

Sakit Tapi Liat Nak Jumpa Doktor.. Kaum Adam, Ini Natijah Jika Malu Jumpa Pakar Sakit Tuan!

Sakit Tapi Liat Nak Jumpa Doktor.. Kaum Adam, Ini Natijah Jika Malu Jumpa Pakar Sakit Tuan!

Realitinya, majoriti lelaki tidak menemui doktor untuk pemeriksaan kesihatan sekerap wanita. Kadangkala, walau sesakit mana sekalipun, tetap ada segelintir kaum Adam yang berdegil tidak mahu menemui doktor atau pakar sakit tuan.

Malahan menurut statistik, rata-rata lelaki yang mengalami ketumbuhan atau tumor di testis mengambil masa selama 6 bulan untuk menjejakkan kaki ke klinik/hospital, menurut doktor sakit tuan Dr. Jonathan Bingham.

Anda mungkin sudah terbiasa mengabaikan rasa sakit atau gejala abnormal dengan harapan ia ‘mereda’ sendirinya, namun dalam sesetengah kes ia berisiko menjadi lebih parah!

Pakar sakit tuan, atau turut dikenali sebagai pakar urologi adalah doktor untuk kedua-dua jantina, lelaki dan wanita.

Bagi lelaki, mereka adalah doktor yang menangani masalah berkaitan kencing, prostat, dan sebarang isu dengan organ pembiakan lelaki.

Jadi, agak-agaknya bila kalian perlu menemui pakar sakit tuan ini? Atas sebab apa?

Berikut adalah antara 7 sebab kaum Adam perlu menemui doktor sakit tuan, jom baca!

7 sebab kaum Adam perlu berjumpa dengan pakar sakit tuan

Anda mungkin sinonim dengan ‘pakar sakit puan’, tapi bagaimana pula dengan ‘doktor sakit tuan’?

Di bawah adalah antara kondisi perubatan atau penyakit yang bakal memerlukan bantuan mereka, antaranya:

#1 Kesakitan atau perubahan pada testis

pakar sakit tuan

Majoriti lelaki tidak melakukan ujian testis bulanan kendiri, tetapi anda mungkin memerlukannya untuk mengesan sesuatu yang abnormal pada alat sulit.

Sekiranya anda mengalami sebarang kesakitan atau perubahan di sekitar ‘anu’, adalah sangat mustahak untuk mengenal pasti pemicunya!

Janganlah menjadi lelaki yang sanggup menunggu sehingga 6 bulan untuk mendapatkan rawatan perubatan..

Segera temui doktor bertauliah untuk didiagnosis, sebelum nasi menjadi bubur, okey?

#2 Kencing berdarah

Darah yang keluar bersama air kencing boleh datang daripada banyak sumber.

Ia mungkin juga diakibatkan oleh masalah pembesaran prostat, batu ginjal, atau bahkan tumor ginjal mahupun pundi kencing.

Jika terdapat darah di dalam air kencing anda, atau sekiranya doktor telah menemui darah mikroskopik dalam air kencing semasa pemeriksaan rutin, kalian harus menemui pakar sakit tuan!

#3 Disfungsi ereksi (mati pucuk)

Disfungsi ereksi (ED) atau mati pucuk sangat kerap berlaku, terutamanya dalam golongan lelaki berusia atau mengalami masalah perubatan lain.

Ia boleh dipicu oleh banyak masalah perubatan atau psikologi, dan selalunya dapat disembuhkan dengan rawatan yang bersesuaian.

Menurut Dr. Bingham, kebanyakan lelaki cukup segan untuk berbicara tentangnya atau mengaku mengalami mati pucuk.

Ia tidak sepatutnya menjadi 1 perkara yang dimalukan kerana mati pucuk merupakan masalah perubatan.

#4 Pemeriksaan kanser prostat

Untuk makluman pembaca, kanser prostat adalah salah satu barah yang acap kali menyerang golongan lelaki.

Oleh sebab ia tidak menunjukkan sebarang gejala di peringkat awal, satu-satunya cara untuk mengesannya adalah melalui pemeriksaan kanser prostat, jelas Dr. Bingham.

Pemeriksaan ini bakal melibatkan ujian rektum tahunan (quick finger exam) dan ujian darah yang digelar sebagai PSA.

Sebilangan besar lelaki juga harus memulakan pemeriksaan tahunan mereka di usia 50 tahun.

Pun begitu, jika anda mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser prostat atau berketurunan Afrika Amerika, pemeriksaan perlu dimulakan seawal usia 40 tahun.

Pengetahuan tambahan: Kanser prostat menjejaskan orang berketurunan Afrika Amerika pada kadar yang lebih tinggi!

Ia hanya dapat disembuhkan sekiranya dikesan pada peringkat awal, jadi jangan pula anda sengaja melewat-lewatkan temu janji ya!

#5 Masalah berkaitan kencing

pakar sakit tuan

Isu berkaitan kencing juga adalah antara masalah yang cukup kerap menimpa kaum Adam, lebih-lebih lagi lelaki yang berumur.

Masalah-masalah ini biasanya merangkumi:

  • Aliran air kencing yang perlahan
  • Kerap berulang alik ke tandas
  • Tidak puas kencing
  • Kerap bangun pada waktu malam untuk membuang air kecil
  • Sukar untuk memulakan/menghentikan aliran kencing

Antara pemicu utama terhadap gejala-gejala ini adalah pertumbuhan kelenjar prostat. Berita baik, ia selalunya bukan menjadi tanda-tanda kanser prostat.

Walau bagaimanapun, inisiatif untuk mengatasi masalah ini cukup penting, kerana ia berisiko menyebabkan masalah pundi kencing atau buah pinggang yang lebih serius!

Menemui pakar sakit tuan untuk gejala ini bukan hanya dapat memberikan anda kelegaan, ia juga dapat bantu mencegah kerosakan kekal pada organ lain.

#6 Batu karang

Sekiranya anda yakin mempunyai batu karang, kalian mesti berjumpa dengan pakar sakit tuan walaupun tidak mengalami sebarang kesakitan.

Batu karang yang tidak ‘mengganggu’ sekarang berupaya membuatkan anda sakit teruk di kemudian hari, sekiranya tidak dirawat, Dr. Bingham memberi amaran.

#7 Vasektomi

Sudah mempunyai anak seperti yang dirancang atau tidak mahu menimang cahaya mata sama sekali?

Vasektomi adalah kaedah yang kerap menjadi plihan dan mudah untuk mencegah risiko kehamilan di masa depan.

Ini adalah 1 prosedur mudah yang boleh dilakukan oleh pakar sakit tuan anda di klinik dan hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit!

Dr. Bingham juga mengatakan, prosedur ini jauh lebih cepat, mudah dan kurang berisiko berbanding proses ‘ikat tiub’ bagi golongan wanita.

Ini menjadikannya opsyen ‘family planning‘ yang baik untuk pasangan yang yakin tidak inginkan zuriat.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/erectile-dysfunction/symptoms-causes/syc-20355776
  2. https://www.piedmont.org/living-better/8-signs-men-need-to-see-a-urologist
  3. https://www.northwell.edu/news/7-things-men-can-expect-during-a-urologist-office-visit
  4. https://www.urologyhealth.org/healthy-living/urologyhealth-extra/magazine-archives/winter-2013/when-should-i-see-a-urologist
  5. https://health.clevelandclinic.org/men-over-40-start-seeing-a-urologist-regularly/
  6. https://uihc.org/health-topics/hematuria-blood-urine#:~:text=Causes%20of%20blood%20in%20the,as%20blood%20in%20the%20urine.

Versi Terbaru

06/03/2022

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

JANGAN Terkeliru Lagi! Kenal Pasti Perbezaan Antara Kemandulan & Mati Pucuk

Lelaki Jangan Risau, Kanser Testis Tahap Akhir Boleh Sembuh! Ini Cara Rawatannya


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 06/03/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan