home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Lelaki Jangan Risau, Kanser Testis Tahap Akhir Boleh Sembuh! Ini Cara Rawatannya

Lelaki Jangan Risau, Kanser Testis Tahap Akhir Boleh Sembuh! Ini Cara Rawatannya

Tatkala Adi sedang sibuk membuat pemeriksaan rutin kemaluan, mukanya berubah apabila terdapat ketulan pada testis di sebelah kiri.

Meskipun pelbagai jenis masalah kesihatan yang boleh dikaitkan dengan penemuan tersebut, namun kanser merupakan diagnosis pertama yang hinggap di fikirannya.

Mana tidaknya, abang dan ayah Adi pernah didiagnosis dengan masalah kanser testis (kanser buah zakar) dan aturan biologi menetapkan Adi mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami barah tersebut.

Simptom lain yang boleh dialami oleh penghidap kanser testis adalah:

  1. Sakit pada abdomen bawah atau testis.
  2. Testis bengkak.
  3. Rasa tidak selesa pada testis.

Walau bagaimanapun, Adi tidak perlu risau.

Secara amnya, kadar kemandirian (survival) bagi pesakit kanser testis dalam tempoh masa 5 tahun adalah 95%.

Ini bermakna dalam kalangan 100 lelaki yang didiagnosis, 95 berupaya untuk hidup sekurang-kurangnya 5 tahun selepas didiagnosis.

Diagnosis pada peringkat awal boleh meningkatkan potensi kesembuhan (prognosis) kanser buah zakar. Lebih-lebih lagi kita mempunyai rawatan canggih seperti terapi kemo.

Namun, jika anda didiagnosis lewat pun, prognosis bagi masalah kesihatan ini masih lagi memberangsangkan.

Mereka yang menghidap kanser testis tahap 4 (kini dikelaskan sebagai kanser tahap 3C) mempunyai kadar kemandirian setinggi 80%.

Antara faktor yang menyumbang kepada kelebihan tersebut adalah keupayaan rawatan terapi kemo mempengaruhi prognosis.

Kanser testis sensitif terhadap rawatan kemoterapi

rawatan kemoterapi

Percaya atau tidak, penghidap kanser testis yang telah mengalami metastasis (penyebaran sel kanser ke organ lain seperti otak dan peparu) mempunyai prognosis yang baik jika dibandingkan dengan kanser lain pada tahap yang sama.

Kunci kepada kejayaan merawat kanser tersebut terletak pada tahap kesensitifan sel tunjang (stem cell) kanser testis terhadap rawatan terapi kemo.

Jika dibandingkan dengan sel kanser daripada barah lain, sel barah testis jauh lebih sensitif kepada rawatan kemo.

Seperti yang pembaca sedia maklum, kanser merupakan satu keadaan kesihatan yang diakibatkan oleh keupayaan sel untuk membahagi di luar kawalan.

Sebahagian kecil sel yang menerajui pembahagian tersebut merupakan sel tunjang yang mempunyai potensi untuk membentuk ketumbuhan baharu.

Pada kebanyakan kanser, sel tunjang tersebut sangat rintang dengan terapi rawatan.

Walaupun rawatan kemoterapi dan radio boleh membasmi lebihan sel kanser, namun sel tunjang berupaya untuk hidup dan menyebabkan ketumbuhan semula kanser.

Ia bagaikan satu bentuk mekanisme pertahanan bagi sel kanser.

Walau bagaimanapun, sel tunjang yang terdapat dalam kanser testis lebih sensitif kepada terapi kemo.

Mereka yang menjalani rawatan, secara amnya, mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mencapai kesembuhan total.

Penyakit orang muda, kanser buah zakar tidak sepatutnya diabaikan

rawatan kemoterapi

Berbeza dengan kebanyakan kanser yang lain, kanser testis kebiasaannya didiagnosis dalam kalangan orang muda (18 hingga 40 tahun).

Kajian yang dijalankan di Universiti Cornell pada tahun 2017 menunjukkan proses patologi bagi kanser testis sudahpun berjalan sejak bayi di dalam kandungan lagi.

Namun, ia kekal dorman selama 18 hingga 35 tahun sebelum penghidap mengalami simptom dan didiagnosis dengan masalah tersebut.

Penggunaan tikus makmal yang berupaya untuk menghasilkan kanser testis seperti manusia menunjukkan sel germa bagi organ testis berisiko untuk bertukar menjadi kanser dalam tempoh masa tertentu sahaja.

Apabila seseorang itu meningkat dewasa, sel tersebut menjadi lebih rintang terhadap perubahan kanser dan kebarangkalian untuk didiagnosis menjadi semakin rendah.

Perkara ini dibuktikan melalui kajian tersebut apabila dua jenis sel germa digunakan bagi melihat tindak balas sel terhadap faktor risiko genetik kanser testis.

Apabila sel germa embrionik didedahkan kepada faktor risiko kanser, ia berupaya untuk berubah menjadi sel malignan.

Walau bagaimanapun, apabila sel germa dewasa didedahkan kepada faktor yang sama, sel tersebut tidak berubah menjadi ketumbuhan sebaliknya mengalami kematian.

Aplikasi rawatan kemoterapi terhadap kanser

kanser buah zakar

Terapi kemo tidak eksklusif kepada kanser testis semata-mata.

Ia merupakan kaedah perubatan yang boleh digunakan secara meluas untuk merawat pelbagai jenis masalah kesihatan terutamanya kanser.

Dapatan berkenaan dengan punca di sebalik kerintangan sel germa dewasa terhadap pengisyaratan kanser masih lagi tidak jelas.

Namun, jika aplikasinya boleh difahami melalui kajian saintifik, kita boleh tahu dengan lebih mendalami berkaitan dengan karakter sel tunjang yang menyebabkan ia lebih sensitif kepada terapi kemo.

Sifat tersebut boleh dikaji pada sel tumor pada kanser yang lain bagi meningkatkan keberkesanan dan pemahaman berkenaan dengan faktor kesembuhan kanser.

Konklusi

Rawatan kemoterapi boleh digunakan bagi merawat kanser testis walaupun anda didiagnosis pada tahap lewat sekalipun.

Ia berikutan sel tunjang kanser testis sensitif dengan rawatan tersebut berbanding dengan kanser lain.

Sekiranya anda mengalami simptom kanser testis, buat pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran sekarang.

Pengesanan awal boleh meningkatkan potensi kesembuhan kanser di samping mengurangkan risiko komplikasi.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Why testicular cancer is so responsive to chemo. (https://www.sciencedaily.com/releases/2017/11/171114123010.htm). Diakses pada 15 September 2020.
  2. Testicular Cancer Treatment (PDQ®)–Patient Version. (https://www.cancer.gov/types/testicular/patient/testicular-treatment-pdq#:~:text=Testicular%20cancer%20is%20a%20disease,or%20discomfort%20in%20the%20scrotum.). Diakses pada 15 September 2020.
  3. Survival testicular cancer. (https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/testicular-cancer/survival). Diakses pada 15 September 2020.
  4. Testicular cancer. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/testicular-cancer-care/symptoms-causes/syc-20352986). Diakses pada 15 September 2020.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli Disemak pada 02/04/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung