Pernahkah anda mendengar pepatah yang mengatakan, semakin besar saiz kasut, semakin besar ukuran zakar? Pasti pernah, kan? Lebih-lebih lagi dalam kalangan kaum Adam sendiri.
Katanya, seorang lelaki dengan saiz kasut yang lebih besar mungkin mempunyai ‘adik’ yang lebih panjang di dalam seluarnya, tetapi sejauh mana kebenarannya? Adakah ia sekadar mitos yang dijadikan bahan ejekan?
Anehnya, golongan lelaki sendiri telah menggunakan pepatah ini selama bertahun-tahun lamanya.
Malah, budak-budak lelaki tidak terkecuali menggunakannya untuk saling mengejek ukuran zakar yang dimiliki rakan sebaya.
Walaupun kebanyakan lelaki menekankan saiz kasut menjadi indikasi kepada ukuran zakar, namun majoriti golongan wanita percaya bahawa ia sebenarnya tidak penting.
Semakin besar saiz kasut semakin besar ukuran zakar?
2 pakar urologi Britain mengukur panjang zakar yang diregangkan menggunakan seramai 104 individu lelaki untuk mempelajari sebarang kaitan antara saiz kasut dan ukuran zakar.
Walaupun mitos kasut ini cukup hangat diperkatakan, mereka mendapati bahawa tidak ada hubungan yang signifikan antara ukuran kasut lelaki dan panjang zakar.
Kajian ini muncul dalam edisi Oktober British, Journal of Urology International.
Ini bermaksud, golongan lelaki yang berkaki kecil tidak lagi perlu bimbang atau malu diejek berzakar pendek.
Ukuran kasut secara saintifiknya hanya menunjukkan ukuran kaki, tiada kena-mengena dengan kepanjangan alat sulit!
Ia dipengaruhi oleh ketinggian, berat badan, genetik dan faktor lain, yang semestinya tidak mempunyai kaitan dengan ukuran zakar sama sekali!
Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita menghentikan mitos tidak berasas ini kerana ia hanya akan mengundang kemudaratan berbanding kebaikan, okey?
Obsesi dengan ‘kepanjangan’ zakar
Sejak sekian lama, ukuran zakar telah ‘disinonimkan’ dengan sifat kejantanan dan macho kaum Adam.
Selama bertahun-tahun juga, obsesi terhadap kepanjangan zakar menyebabkan rasa rendah diri dalam kalangan lelaki berzakar kecil. Hal ini mengundang isu berkaitan harga diri.
Tetapi, harus kita fahami, setiap tubuh adalah unik! Asalkan seseorang lelaki memiliki tubuh badan sihat, kepanjangan alat sulitnya tidak perlu dijadikan sebagai 1 isu.
Mitos baharu berkaitan alat sulit lelaki
Malangnya, sama seperti mitos-mitos lain, apabila 1 perkara berjaya ‘dibongkarkan’, timbul pula ura-ura baharu berkaitan saiz alat sulit lelaki yang kelihatannya seperti tidak berpenghujung.
Sekumpulan penyelidik di Greece telah menemui hubungan antara panjang zakar dan bahagian badan yang lain, iaitu jari telunjuk.
Para penyelidik mengukur pelbagai aspek alat kelamin daripada 52 lelaki yang sihat di bawah usia 40 tahun dan menggabungkan ukuran tersebut dengan ciri-ciri lelaki yang lain; aspek usia, tinggi dan berat badan, indeks jisim badan, nisbah pinggang ke pinggul, dan panjang jari telunjuk.
Satu-satunya ukuran yang saling berkaitan antara satu sama lain ialah ukuran panjang zakar dan panjang jari telunjuk. Menarik bukan?
Ia dikatakan, semakin panjang jari telunjuk, semakin panjang saiz zakar dan begitu jugalah sebaliknya. Kajian ini telah muncul dalam jurnal berjudul Urology edisi Oktober.
Namun, walaupun panjang jari telunjuk mungkin boleh menjadi indikasi ukuran panjang zakar, ia masih tidak harus dipercayai bulat-bulat.
Tambahan itu, apakah signifikannya untuk kita mengambil tahu saiz zakar seseorang lelaki?
Cara mengukur zakar anda
Ukur panjang dari bahagian atas zakar hingga ke hujung (kepala) zakar anda.
Bahagian atas zakar anda adalah tempat di mana ia dihubungkan ke tulang kemaluan.
Tolak lebihan lemak di depan tulang kemaluan anda semasa mengukur. Ukur lilitan di sekitar pangkal atau tengah batang zakar.
Pentingkah saiz zakar dalam kehidupan seks?
Yang menjadi kerisauan utama bagi sesetengah lelaki, adalah kemampuan zakar mereka untuk memuaskan pasangan dan diri secara seksual.
Tambah lagi, ada juga lelaki yang bimbang tentang bagaimana mereka kelihatan apabila berbogel.
Pun begitu, ketika berhubungan seks, ukuran zakar yang lebih besar tidak selalu menjadi indikasi kepada seks yang lebih baik.
Dalam 1 kajian, para penyelidik menemu ramah sekitar 75 wanita yang aktif secara seksual mengenai ukuran zakar yang mereka gemari.
Wanita-wanita itu ditunjukkan sebanyak 33 model zakar 3D dengan saiz yang berbeza.
Ukuran zakar yang rata-rata disukai oleh wanita dalam kajian ini adalah zakar meregang dengan kepanjangan 6.4 inci dengan lilitan 5 inci.
Untuk hubungan jangka panjang pula, saiz yang digemari adalah zakar dengan kepanjangan 6.3 inci dengan lilitan 4.8 inci.
Kedua-dua ukuran ini rata-rata lebih besar sedikit berbanding saiz yang dimiliki majoriti kaum Adam.
Tip kekalkan imej badan yang positif
Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan badan anda, sama ada berkenaan saiz zakar atau rupa anggota tubuh yang tertentu, cuba amalkan tip berguna ini untuk kekal positif dengan diri sendiri:
- Fokus pada ciri-ciri atau bahagian badan yang disukai, seperti bahu yang lebar atau senyuman menawan
- Kekalkan berat badan yang sihat dan amalkan strength training ke dalam rutin senaman anda. Apabila anda kelihatan cergas dan sihat, anda mungkin akan merasa lebih baik tentang diri sendiri
- Jangan terjejas dengan saiz zakar dimiliki. Anda masih boleh menjadi pasangan seksual yang ‘memuaskan’ tanpa mengambil kira ukuran zakar
- Jangan bandingkan diri anda dengan atlet, model, atau pelakon. Anda akan mencetuskan pemikiran yang tidak sihat dan tidak realistik mengenai penampilan diri
- Alihkan perhatian dan luangkan lebih banyak masa serta tenaga dengan melakukan aktiviti yang digemari, sama ada sukan, hobi, melancong, atau perkara lain