Pernahkah anda terdengar atau terbaca fakta tentang kenapa lelaki suka bau badan perempuan? Jika pernah, tahukah kalian jika ia memang benar atau hanya rekaan? Jom baca artikel untuk tahu dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Lelaki, anda boleh klik di sini.
Sains di sebalik bau badan manusia
Seperti cap jari, ramai yang percaya bahawa bau badan manusia itu juga unik dan tidak sama bagi setiap individu. Jika perkara ini difikirkan secara logik akal, pendapat ini mungkin ada asas yang agak kuat.
Alasannya, semua orang pasti mempunyai seorang kenalan yang memiliki bau tersendiri bukan? Kalau mereka lalu atau berada di sesuatu tempat, anda dengan mudah dapat mengenali individu tersebut.
Untuk pengetahuan anda semua, bau badan itu datangnya daripada peluh yang keluar daripada 2 kelenjar iaitu:
- Kelenjar ekrin – Wujud di sebahagian besar kulit dan akan mengeluarkan cecair yang terdiri daripada air dan garam untuk meneutralkan suhu tubuh badan.
- Kelenjar apokrin – Wujud di kawasan kulit yang berbulu seperti ketiak, ari-ari dan lain-lain. Fungsinya juga adalah sama dengan jenis kelenjar yang di atas tadi.
Kemudian, peluh ini akan bercampur dengan bakteria yang terdapat di kawasan kulit tertentu. Kesan campuran peluh dengan bakteria terbabit, maka akan lahir bau badan yang mungkin kurang menyenangkan.
Pun begitu, hal ini agak sedikit berbeza bergantung kepada jantina kerana ia mungkin boleh menjadi satu daya tarikan!
Kenapa lelaki suka bau badan perempuan?
Berbalik kepada persoalan utama artikel ini, kenapa lelaki suka bau badan perempuan? Atau lebih tepat dan pelik lagi, kenapa seorang suami itu sangat gemar dengan bau ketiak isteri? Adakah ia normal?
Sebenarnya, hal ini bukan berlaku kepada lelaki terhadap wanita sahaja malah sama jika keadaan diterbalikkan. Dalam bahasa mudah, lelaki tertarik dengan bau wanita dan wanita tertarik dengan bau lelaki.
Dari segi saintifik, ia dikenali dengan istilah feromon (pheromone) iaitu isyarat kimia yang dihasilkan dan dirembeskan oleh tubuh badan masing-masing bagi menarik lantas memikat individu berbeza jantina.
Turut terhasil di dalam kelenjar peluh, ‘bau’ yang mungkin menggoda jantina lawan ini akan dapat terkesan oleh organ vomeronasal di sekitar lubang nasal, sekali gus mampu memberi isyarat daya tarikan seksual.
Jadi, kenapa lelaki suka bau badan perempuan? Ya, ia mungkin gara-gara feromon tubuh badan secara semula jadi!
Apa pula kata pakar tentang feromon?
Meskipun hal ini lazim digembar-gemburkan oleh masyarakat, namun kebanyakan pakar masih belum dapat memastikan jika efek feromon itu wujud bagi manusia mendapatkan perhatian daripada jantina lawan mereka.
Menurut kajian terbitan Monell Chemical Senses Center, feromon merupakan bahan kimia yang akan dikeluarkan oleh haiwan bukan sahaja untuk menggoda pasangan malah menunjukkan pelbagai emosi lain juga.
“Mungkin benar jika feromon dapat memicu perubahan endokrin seperti peningkatan hormon testosteron bagi lelaki dan estrogen bagi wanita, tetapi masih tiada bukti saintifik yang kata feromon dapat memikat atau menarik perhatian manusia berlainan jantina,” jelas Saintis, Charles J. Wysocki.
Dalam erti kata lebih mudah, manusia memang mempunyai feromon namun ia mungkin tidak mampu menggoda pasangan seperti bau badan suami.
Jadi, kenapa suami suka bau ketiak isteri?
Meskipun belum ada bukti saintifik yang kata feromon itu benar, tetapi teori ini mungkin belum boleh diketepikan kerana ada kemungkinan untuk ia benar-benar wujud di dalam anatomi tubuh badan manusia.
Dalam pada itu, soalan kenapa lelaki suka bau badan perempuan lebih-lebih lagi pada ketiak mungkin harus dijawab dengan faktor keterbiasaan di mana mereka sudah cam, kenal dan selesa dengan bau pasangan.
Tidak hanya itu, pengkaji juga mendapati bahawa bau ketiak individu itu mampu menenangkan pasangan. Maka, tidak hairan jika suami itu sangat gemar bau ketiak isteri terutama di saat sedang tertekan.
Apa yang lebih penting, jangan pula kalian malas mandi ekoran menyangka pasangan suka bau busuk badan anda ya?
[embed-health-tool-bmi]