Ejakulasi tertunda atau terencat adalah satu kondisi dimana seorang lelaki yang memerlukan stimulasi seksual dalam tempoh yang lama sebelum mencapai klimaks dan melepaskan air mani daripada zakar (ejakulasi).
Sebahagian lelaki yang mengalami kondisi ini tidak mampu untuk berejakulasi langsung.
Masalah ini boleh terjadi untuk sementara waktu ataupun akan kekal sepanjang hayat.
Adalah normal bagi lelaki untuk mengalami masalah ini dari masa ke semasa namun ia akan menjadi satu masalah apabila berpanjangan atau menyebabkan anda dan pasangan tertekan.
Apa risiko ejakulasi tertunda?
Ia boleh menjejaskan pesakit di semua peringkat umur namun boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko.
Sila berbincang dengan doktor untuk maklumat lanjut.
Simptom
Apa simptom masalah ini?
Sebahagian lelaki yang mengalami kondisi ini memerlukan 30 minit atau lebih stimulasi seksual untuk mencapai orgasme dan ejakulasi.
Selalunya, lelaki mungkin menghadapi kesusahan untuk mencapai orgasme sewaktu melakukan persetubuhan atau aktiviti seksual yang lain dengan pasangan.
Sebahagian lelaki hanya boleh berejakulasi dengan melakukan onani atau mereka langsung tidak mampu untuk berejakulasi (anejakulasi).
Orgasme tertunda dibahagi kepada jenis-jenis berikut berdasarkan simptom-simptomnya:
- Sepanjang hayat vs perolehan: Jenis sepanjang hayat berlaku sejak dari permulaan lelaki itu mencapai kematangan seksual. Jenis pula berlaku selepas satu tempoh fungsi seksual yang normal.
- Umum vs situasi: Jenis umum tidak terhad kepada pasangan seks tertentu atau jenis stimulasi tertentu. Jenis situasi berlaku hanya sewaktu keadaan/situasi tertentu.
Pembahagian kategori di atas membantu untuk mendiagnosis punca sebenar masalah ini dan mengenal pasti rawatan yang sesuai dengannya.
Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas.
Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.
Punca
Apa punca masalah ini?
Ejakulasi tertunda mungkin berpunca daripada masalah kesihatan kronik tertentu, pembedahan, dan ubat-ubatan atau mungkin disebabkan oleh penyalahgunaan dadah dan masalah kesihatan mental seperti kemurungan, keresahan dan tekanan.
Dalam banyak kes, kondisi ini adalah hasil gabungan faktor fizikal dan psikologi.
Faktor fizikal yang mengakibatkan kondisi ini termasuklah:
- Kecacatan pada sistem reproduktif lelaki sejak lahir
- Kecederaan pada saraf pelvis yang mengawal orgasme
- Jangkitan tertentu seperti jangkitan saluran kencing
- Pembedahan prostat, seperti reseksi transuretra prostat (TURP) atau pembuangan prostat
- Penyakit neurologi seperti neuropati diabetik, strok/angin ahmar atau kecederaan saraf tunjang
- Keadaan yang terkait dengan hormon, seperti hormon tiroid yang rendah (hipotiroidisme) atau hormon testosteron yang rendah (hipogonadisme)
- Ejakulasi songsang, keadaan yang mana air mani terpancut ke belakang ke dalam pundi kencing dan bukannya keluar daripada zakar
Faktor psikologi yang mengakibatkan kondisi ini termasuklah:
- Kemurungan, keresahan, kegelisahan atau masalah kesihatan mental yang lain
- Masalah perhubungan kerana stres, komunikasi yang tidak baik atau apa-apa kebimbangan yang lain
- Keresahan tentang persembahan di atas katil
- Imej tubuh badan yang tidak bagus
- Pengaruh agama dan budaya setempat
- Perbezaan antara realiti melakukan seks bersama pasangan dengan fantasi seksual yang dibayangkan
Ubatan dan bahan-bahan lain yang boleh mengakibatkan kondisi ini pula:
- Sebahagian ubat anti murung
- Sebahagian ubat anti sawan
- Sebahagian ubat antipsikotik
- Ubat darah tinggi yang tertentu
- Diuretik yang tertentu
- Alkohol – terutamanya jika diminum terlalu banyak (penyalahgunaan alkohol dan ketagihan)
Bagi sebahagian lelaki, masalah fizikal yang kecil menjadi punca ejakulasi tertunda menimbulkan keresahan tentang ejakulasinya sewaktu bersama pasangan.
Faktor risiko
Apa faktor risiko ejakulasi tertunda?
Terdapat banyak faktor risikonya seperti:
- Umur yang tua – adalah perkara yang normal bagi lelaki yang semakin berumur mengambil masa yang lebih lama untuk berejakulasi
- Keadaan psikologi seperti kemurungan dan kebimbangan
- Keadaan perubatan seperti diabetes dan sklerosis multipel
- Rawatan perubatan tertentu seperti pembedahan prostat
- Ubat-ubatan yang diambil, terutamanya antimurung, ubat darah tinggi dan diuretik
- Masalah hubungan, seperti komunikasi yang tidak bagus dengan pasangan anda
- Penyalahgunaan alkohol, terutamanya jika anda sudah lama meminum alkohol dalam jumlah yang banyak
Diagnosis & rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimana ejakulasi tertunda didiagnosis?
Tiada waktu yang khusus dalam mengesahkan seseorang mengalaminya.
Sebaliknya, seseorang lelaki dikatakan mengalami kondisi ini apabila ia menyebabkan tekanan dan kekecewaan, atau dia terpaksa berhenti melakukan persetubuhan kerana keletihan, kerengsaan fizikal, kehilangan ereksi ataupun atas permintaan pasangannya.
Pemeriksaan fizikal dan sejarah perubatan mungkin sudah mencukupi untuk doktor menyarankan rawatan bagi kondisi ini.
Namun begitu, sekiranya ejakulasi tertunda tersebut kelihatan berpunca dari masalah lain yang memerlukan rawatan khusus, anda mungkin perlu menjalani ujian selanjutnya dan mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor pakar.
Ujian untuk mengesahkan masalah kesihatan yang lain:
- Pemeriksaan fizikal. Pemeriksaan teliti zakar dan testis anda. Doktor akan menggunakan sentuhan lembut untuk menguji deria rasa pada alat kelamin anda.
- Ujian darah. Sampel darah anda akan diambil dan dihantar ke makmal untuk mengenalpasti sebarang tanda sakit jantung,diabetes, paras testosterone yang rendah dan masalah kesihatan yang lain.
- Ujian air kencing digunakan untuk mengenal pasti tanda-tanda diabetes, jangkitan dan masalah kesihatan yang lain.
Bagaimana ejakulasi tertunda dirawat?
Kondisi ini dirawat berdasarkan kepada punca sebenarnya, rawatan yang mungkin diberikan termasuklah pengambilan ubat atau membuat perubahan kepada ubat yang anda sedang ambil, menjalani kaunseling psikologi, dan berhenti daripada mengambil alkohol berlebihan atau menggunakan dadah yang tidak dibenarkan
Ubat-ubatan; sekiranya anda mengambil ubat yang boleh mengakibatkan ejakulasi tertunda, mengurangkan dos atau menukar ubat tersebut mungkin akan menyelesaikan masalah.
Kadangkala, menambah pengambilannya boleh membantu.
Tidak terdapat sebarang ubat yang dibenarkan secara spesifik untuk rawatan ejakulasi tertunda.
Ubat yang digunakan untuk kondisi ini adalah ubat yang juga diberikan untuk merawat penyakit lain.
Ubat-ubatan yang kadangkala digunakan untuk merawat ejakulasi tertunda termasuklah:
- Amantadine (Penyakit Parkinson)
- Buspirone (antiresah)
- Cyproheptadine (alahan)
Kaunseling psikologi (psikoterapi); Psikoterapi boleh membantu anda dengan menyatakan masalah mental yang dihadapi yang menjadi punca kepada ejakulasi tertunda, seperti kemurungan atau keresahan.
Ia juga digunakan untuk menjelaskan isu psikologi yang menjejaskan kemampuan anda berejakulasi.
Kaunseling mungkin melibatkan hanya anda dan pakar psikologi atau kaunselor sahaja, ataupun anda hadir bersama pasangan anda.
Bergantung kepada punca sebenar, anda akan mendapat manfaat terbaik dengan berjumpa pakar terapi seks – kaunselor kesihatan mental yang pakar dalam terapi bagi masalah seksual.
Jenis kaunseling yang terbaik untuk anda bergantung kepada kerisauan anda yang tertentu.