backup og meta

GLP-1 RA: Inovasi Terbaharu Dalam Rawatan Diabetes

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/09/2022

    GLP-1 RA: Inovasi Terbaharu Dalam Rawatan Diabetes

    Usaha untuk menguruskan diabetes dengan lebih efektif memerlukan perubahan dalam gaya hidup yang lebih sihat. Contohnya, pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat, bersenam secara teratur, dan mematuhi pengambilan ubat seperti yang disarankan.

    Dalam mematuhi pengambilan ubat, antara ubat yang sinonim digunakan bagi mengurus diabetes adalah seperti suntikan insulin, dan ubat-ubatan oral seperti biguanida, sulphonylurea (SU), thiazolidinedione (TZD), perencat dipeptidyl peptidase 4 (DPP-4) dan perencat sodium-glucose co-transporter-2 (SGLT2).

    Berita baiknya, sejak beberapa dekad yang lalu, kelas ubat antidiabetik baharu yang dikenali sebagai glucagon-like-peptide-1 receptor agonists (GLP-1 RA) sedang giat dibangunkan. Berbanding dengan terapi konvensional yang lain, suntikan GLP-1 RA boleh diambil seminggu sekali, dan ia bukan sahaja berupaya untuk mengawal kadar indeks glisemik (GI) secara optimum, malah juga boleh membantu dalam menurunkan risiko penyakit kardiovaskular serta menurunkan berat badan.

    GLP-1 adalah sejenis hormon yang dihasilkan dalam badan untuk memainkan peranan penting dalam pengawalan selera makan, dan paras gula dalam darah. Ia dihasilkan ketika anda menjamu makanan, dan bertugas memberi isyarat kepada pankreas untuk meningkatkan pengeluaran insulin yang diperlukan tubuh bagi mencapai paras gula dalam darah yang normal.

    Dalam masa yang sama, GLP-1 juga berfungsi melambatkan proses pencernaan makanan, lalu mencegah kenaikan paras gula yang mendadak selepas makan1,2. GLP-1 turut meningkatkan jangka masa kekenyangan, dan mengurangkan risiko pengambilan makanan secara berlebihan yang boleh menyebabkan kenaikan berat badan.

    Malangnya bagi pesakit diabetes, fungsi hormon GLP-1 mungkin boleh terganggu dan fenomena ini dikenali sebagai “kesan gangguan inkretin”. Namun, ia boleh dipulihkan dengan terapi GLP-1 RA. GLP-1 RA akan meniru aktiviti dan fungsi hormon semulajadi GLP-1 dalam badan dan memberi kepekatan supraphysiologic yang membantu pesakit diabetes mengawal kadar indeks glisemik (GI) dengan lebih baik, bahkan menurunkan berat badan dengan seimbang.

    Malah, ia juga memberi perlindungan terhadap penyakit kardiovaskular dengan melindungi tekanan darah, endotelium vaskular, keradangan aterosklerosis, kegagalan jantung dan sebagainya. Setiap agen dalam kelas ubatan ini memiliki perbezaan dari segi toleransi, kekerapan dos, keperluan preskripsi dan kos.

    Apa Perbezaan Antara GLP-1 RA Berbanding Ubat Diabetes Lain?

    Sama seperti insulin dan ubat-ubatan antidiabetik lain yang perlu diambil melalui suntikan, GLP-1 RA juga perlu diambil menggunakan suntikan subkutan (bawah kulit). Namun jika dibandingkan dengan suntikan konvensional lain yang memerlukan beberapa kali suntikan dalam masa sehari, GLP-1 RA mengurangkan kekerapan suntikan dari sehari sekali ke seminggu sekali.

    Ia juga terdapat dalam bentuk alat suntikan pen pakai buang yang boleh membantu pesakit  mematuhi regimen pengambilan ubat diabetes dengan lebih mudah. GLP-1 RA juga memiliki risiko hipoglisemia yang lebih rendah kerana kesan kebergantungannya terhadap glukosa.

    Terapi GLP-1 RA yang diambil seminggu sekali terbukti berkemampuan dalam menurunkan kadar HbA1c dan mengurangkan peningkatan berat badan, tanpa meningkatkan risiko hipoglisemia3. Malah, ia juga dapat menurunkan risiko penyakit kardiovaskular utama.

    Pesakit diabetes dengan penyakit kardiovaskular, ataupun yang berisiko tinggi menghidap penyakit boleh mengalami penurunan risiko sebanyak 26% untuk penyakit kardiovaskular yang membawa maut (fatal), ataupun serangan jantung (myocardial infarction) atau strok yang tidak membawa maut4.

    Melihat kepada pelbagai manfaat klinikal untuk ubat diabetes GLP-1 RA ini, tidak mengejutkan mengapa garis panduan dari Persatuan Diabetes Amerika Syarikat (ADA) mengesyorkan GLP-1 RA sebagai terapi barisan kedua selepas ubat metformin untuk pesakit diabetes dengan penyakit kardiovaskular aterosklerotik dan penyakit buah pinggang kronik, berat badan berlebihan/obes dan pesakit yang lebih terdedah kepada hipoglisemia5.

    Namun begitu, doktor yang bertauliah merupakan individu paling berkelayakan untuk menentukan jenis rawatan dan ubat diabetes yang bersesuaian dengan keperluan anda. Pengesanan awal juga satu langkah pencegahan utama. Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, menghidap diabetes, atau berisiko menghidapnya, jalani saringan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi membantu anda mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan