Apakah itu diabetic foot?
Diabetes boleh menjejaskan kaki melalui 2 keadaan:
1. Neuropati diabetes. Kadar gula di dalam darah yang tidak dikawal berpotensi merosakkan urat saraf. Jika bahagian kaki dan tangan terjejas, pesakit akan hilang rasa panas, sejuk dan sakit. Kesannya, luka dan kecederaan yang berlaku tidak akan diendahkan serta tidak diuruskan sehingga berlaku jangkitan.
Otot-otot pada kaki juga mungkin tidak berfungsi dengan baik disebabkan urat saraf yang rosak. Keadaan ini menyebabkan kaki tidak lurus dan sejajar seperti kedudukan biasa. Kedudukan ini menyebabkan ada bahagian yang menerima tekanan lebih daripada bahagian lain sehingga berlaku ulser.
2. Penyakit vaskular periferal. Diabetes menjejaskan peredaran darah. Tanpa bekalan darah yang baik, luka akan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh. Salur darah kecil yang terletak di bahagian hujung (periferi) badan seperti tangan dan kaki kerap terkesan. Ia disebut sebagai penyakit vaskular periferal.
Walaupun luka atau ulser kecil, ia adalah bahaya bagi pesakit diabetes kerana mereka mengambil masa yang lama untuk pulih. Tambahan pula, sistem ketahanan yang lemah membuatkan jangkitan lebih mudah berlaku. Daripada luka biasa boleh merebak menjadi besar. Lebih parah, jangkitan masuk ke dalam darah sehingga menjejaskan organ-organ lain di dalam badan. Dalam kes seperti ini, kaki mungkin terpaksa dipotong.
Penjagaan kaki adalah sangat penting
Disebabkan risiko yang ada pada pesakit, penjagaan kaki adalah sangat penting bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk dan untuk mengelakkan kaki terpaksa dipotong!