backup og meta

Teknik-Teknik Hentikan Bayi Menangis

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/10/2023

    Teknik-Teknik Hentikan Bayi Menangis

    Bayi menangis atas pelbagai alasan. Dalam kebanyakan masa anda hanya perlu menenangkan mereka dengan memberi susu atau menukar lampin. Tetapi terdapat masa apabila bayi anda sukar ditenangkan walau apa jua yang anda lakukan. Jika bayi anda kelihatan sakit seperti demam, hidung berhingus atau gusi bengkak, pastikan anda menemui doktor dengan segera. Jika tidak, jangan tertekan dan cuba kaedah-kaedah berikut untuk membantu bayi anda bertenang:

    Bedung bayi anda

    Membedung bayi anda membuatkan si manja berasa selesa dan selamat. Ini disebabkan membedung membuatkan bayi berasa seperti berada dalam rahim. Ramai ibu bapa mendapati membedung membolehkan bayi tidur lebih cepat dan lebih lama. Sesetengah bayi lebih suka jika tangan mereka dibiarkan keluar kerana mereka menenangkan diri dengan cara menghisap jari atau kerana mereka suka diberikan kebebasan. Anda boleh memberikan mereka kebebasan tersebut dengan membedung daripada bawah ketiak dan bukannya daripada bawah dagu.

    Bagi bayi menghisap

    Bayi sering menenangkan diri mereka dengan menghisap. Sewaktu menyusukan si manja, anda mungkin mendapatinya enggan melepaskan puting anda walaupun setelah kenyang kerana dia mahu menenangkan diri. Jika bayi anda menangis dan anda tidak dapat menawarkan puting anda, bantu dia menghisap jari.  Anda boleh menggunakan puting plastik jika mahu tetapi lebih baik mengelakkannya melainkan bayi anda sudah tahu menyusu dengan betul.

    Gendong bayi di depan

    Menggendong bayi dan berjalan-jalan adalah cara terbaik untuk menenangkannya. Bayi sangat suka menikmati rasa kedekatan dan rima langkah anda. Carrier atau sling juga sesuai digunakan agar tangan anda bebas melakukan sebarang perkara. Hadapkan bayi anda kepada badan anda menggunakan carrier atau sling untuk 3 bulan pertama apabila anak anda memerlukan sokongan kepala. Jika bayi anda tidak selesa digedong menggunakan carrier atau sling, jangan berputus asa. Bayi biasanya akan membiasakan diri dan suka digendong sebegini.

    Dodoi bayi dengan buaian

    Mendodoikan bayi dengan buaian mungkin merupakan salah satu rutin alam keibubapaan yang sukar ditinggalkan. Zaman moden ini juga menawarkan beberapa pilihan membuai tanpa menggunakan tangan seperti menggunakan buaian bayi automatik. Pastikan anda mematuhi arahan keselamatan yang dinyatakan pengeluar berkaitan umur dan berat yang sesuai untuk alat ini. Cuba jangan biarkan bayi anda terbiasa tertidur dalam buaian kerana ini mungkin menyebabkan bayi bergantung kepada pergerakan buaian untuk tidur. Sebaliknya, biarkan bayi hampir terlelap dan kemudian pindahkan bayi ke katil.

    Pujuk bayi dengan bunyi putih

    Pernahkah anda mendengar istilah white noise? Bunyi putih atau white noise merujuk kepada bunyi latar yang mempunyai semua frekuensi bunyi dengan ketinggian yang sama seperti bunyi apabila radio atau televisyen tidak mendapat isyarat siaran. Sesetengah bayi menenangkan diri dengan bunyi putih kerana ia mengingatkan mereka kepada suasana dalam rahim. Bunyi putih juga didapati dapat menyekat atau mengaburi bunyi lain yang mengganggu. Kenal pasti jika bunyi vakum, pengering rambut atau kipas berkesan mengaburi segala bunyi lain yang mungkin mengejutkan bayi anda. Anda juga boleh menggunakan peranti white noise dalam telefon atau membeli mesin bunyi putih khas. Sekiranya anda berada dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak mempunyai apa-apa alat yang berguna, cuba diamkan bayi  anda dengan membuat bunyi putih sendiri seperti “Shhhhhh … shhhh … shhhh …”.

    Nyanyikan lagu untuk bayi

    bayi dan ibu

    Jangan risau, bayi anda tidak akan tahu jika pitching anda lari atau suara anda sumbang. Menyanyikan lagu untuk anak anda membina rasa selamat dalam dirinya kerana anda ada bersamanya. Jadi, apabila bayi anda mula menangis, jangan teragak-agak untuk menyanyikan lagu agar bayi berasa lebih terpujuk. Tidak kisahlah sama ada anda ingin menyanyikan selawat atau lagu balada yang ada dalam fikiran anda. Bayi anda akan berasa terpujuk mendengarkan suara anda.

    Mandikan bayi

    bayi mandi

    Sekiranya bayi anda sering terdiam menyukai waktu mandi, isi besen mandinya dengan air suam dan jadikan ini sebagai rutin memujuknya. Anda juga boleh menggunakan aromaterapi seperti memasukkan beberapa titis sabun lavender atau chamomile ke dalam air yang sebenarnya dapat menenangkan anda juga.

    Urut bayi anda

    urut bayi

    Mengurut bayi boleh menjadi rutin santai bagi anda berdua, dan ini cara yang baik untuk meredakan tangisan anak kecil anda. Anda boleh bereksperimen dengan menggunakan losyen atau minyak urut bayi atau tanpa menggunakan apa-apa. Gunakan sentuhan yang lembut, tetapi pastikan ia cukup kuat untuk tidak membuatkannya berasa digeletek.

    Tiarapkan bayi

    Kadangkala bayi menangis disebabkan masalah perut kembung. Membiarkan bayi meniarap membolehkan tekanan pada bahagian perutnya untuk meredakan angin dan rasa perut kembung.

    Bawa bayi keluar

    bayi keluar rumah

    Bergerak mungkin satu-satunya perkara yang diperlukan bayi anda untuk bertenang. Udara segar juga sangat berfaedah untuk bayi yang merengek dan si ibu yang kusut. Walaupun anda mungkin berasa penat untuk keluar dalam keadaan bayi sedang merengek, anda pasti tidak menyesal jika mencuba. Perubahan udara, suhu, pemandangan, bunyi dan bau boleh meningkatkan mood bayi dan juga anda. Sekiranya cuaca buruk atau kejiranan anda tidak sesuai untuk berjalan-jalan, cuba letakkan bayi dalam car seat dan pandu di kawasan sekitar.

    Hiburkan bayi anda

    Bayi pun mungkin berasa bosan, dan mungkin meragam kerana kebosanan. Untuk membantu bayi anda terhibur, cuba ceritakan apa yang anda sedang lakukan, ditambah dengan bunyi lucu dan ekspresi muka berlebihan. Anda juga boleh duduk dengan anak anda sambil menunjukkan bagaimana mainannya berfungsi. Sesetengah bayi suka apabila anda membacakan buku cerita, sementara sesetengah yang lain mudah tertawa apabila anda membuka musik dan menari dengan mereka.

    Tenangkan persekitaran

    bayi menangis

    Jika terlebih ransangan luar adalah punca masalah, kurangkan segala ransangan daripada persekitaran anak anda. Padamkan lampu, tutup televisyen atau radio, matikan telefon anda dan tenangkan bayi anda. Ingat, semua perkara adalah baru kepada bayi anda dan mungkin menyebabkan meragam. Jika bayi anda mudah kembung terutamanya pada waktu petang, pastikan bayi anda diberikan persekitaran yang lebih senyap dan tenang.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/10/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan