backup og meta

Remaja Pun Ada Masalah Kesihatan, Jangan Ambil Ringan! Ibu Ayah Sila Alert Terutama No. 5!

Remaja Pun Ada Masalah Kesihatan, Jangan Ambil Ringan! Ibu Ayah Sila Alert Terutama No. 5!

Remaja pada masa kini lebih mudah untuk terdedah dengan perkara-perkara yang berisiko terhadap kesihatan diri, terutamanya dengan kewujudan media sosial yang menjadi obsesi mereka.

Pelbagai masalah kesihatan remaja seperti depresi, buli siber, seks bebas dan banyak lagi semakin meningkat beberapa tahun kebelakangan ini.

Peranan ibu bapa sangat penting dalam hidup anak-anak terutamanya yang berada di dalam fasa remaja.

Jika anda mempunyai anak remaja, sila fahami risiko-risiko kesihatan yang banyak terjadi dalam kalangan remaja. Ibu bapa, ambillah langkah awal mencegah masalah ini sebelum terjadi!

8 masalah kesihatan diri dalam kalangan remaja

No. 1 Bunuh diri

Perbuatan membunuh diri ialah satu tindakan mencabut nyawa sendiri sehingga menyebabkan kematian. Perkara ini amat menyedihkan namun realitinya banyak berlaku di seluruh dunia terutamanya dalam kalangan remaja.

Antara faktor yang menyumbang terhadap keputusan untuk remaja membunuh diri termasuklah:

  • Kena buli
  • Kemurungan
  • Perselisihan faham dengan keluarga
  • Gagal peperiksaan
  • Didera
  • Berasa keseorangan/terasing

Kenali dan fahami anak anda dengan lebih mendalam agar anda dapat mengetahui perkara-perkara yang mereka sedang lalui. Luangkan masa bersama mereka dan jadilah seorang pendengar yang baik.

remaja buli siber

No. 2 Jangan terkejut, ramai remaja yang ada masalah buli

Membuli ialah perbuatan negatif dilakukan oleh seseorang yang lebih berkuasa atau kuat terhadap seseorang yang lebih lemah secara berulang kali.

Perbuatan buli boleh terjadi antara dua individu ataupun berkumpulan terhadap seorang atau sekumpulan mangsa.

Tanda-tanda anak anda mungkin dibuli:

  • Kerosakan pada pakaian, buku atau barangan elektronik
  • Perubahan dalam tabiat pemakanan, makan terlalu banyak atau terlalu sedikit
  • Sukar tidur
  • Gred merosot atau tidak mahu ke sekolah
  • Melarikan diri dari rumah atau bercakap mengenai bunuh diri

Masalah kesihatan diri remaja no. 3, ketagihan dadah

Dadah adalah sejenis bahan yang boleh mengubah fungsi badan dan kesihatan diri. Antara bahan dadah ialah ganja, ubat tidur, gam, ekstasi, heroin dan banyak lagi.

Remaja turut terjebak dalam kancah dadah dengan sejumlah 1,681 kes dilaporkan antara tahun 2017 hingga 2019 di Malaysia. Sentiasa pantau tingkah laku dan sikap anak-anak anda agar mereka tidak tersilap memilih jalan.

Sekiranya anak anda terlibat dengan kancah dadah, jangan lengah-lengahkan dan terus minta pertolongan daripada pihak yang profesional sebelum semuanya terlambat!

No. 4 Obesiti

Hidup di tengah kota dicampur dengan kesibukan aktiviti harian mendorong kepada corak pemakanan yang mungkin kurang berkhasiat.

Fast food sering menjadi pilihan para ibu bapa yang inginkan mengisi perut dengan mudah dan cepat.

Antara penyebab obesiti:

  • Faktor psikologi: Makan secara berlebihan ketika menghadapi tekanan
  • Ubat-ubatan: Pengambilan ubat steroid dan ubat merawat kemurungan
  • Aktiviti fizikal: Kurang bersenam dan tidak menjaga pemakanan
  • Jantina: Perempuan lebih cenderung untuk gemuk berbanding lelaki kerana kadar metabolisme yang lebih rendah

No. 5 Muda-muda sudah terdedah dengan seks bebas & STI

Seks bebas dalam kalangan remaja bukan lagi perkara asing pada masa ini. Pendedahan digital yang melampau seperti pornografi pada usia yang muda menyumbang kepada isu ini.

  • Kajian menunjukan orang muda lebih terdedah jangkitan seksual berbanding yang lebih tua
  • 46% daripada remaja yang aktif secara seksual didapati tidak memakai kondom ketika melakukan seks
  • Dianggarkan satu perlima dalam diagnosis baharu, HIV datang daripada orang muda berumur antara 13 dan 24 tahun

Pastikan anda persiapkan anak-anak dengan ilmu pendidikan seks dan kesihatan diri yang relevan seiring usia. Usah malu untuk berbincang mengenai topik sebegini.

minum alkohol kesihatan diri

No. 6 Alkohol menjejaskan kesihatan

Walaupun ramai yang yang masih dalam kategori bawah umur, itu bukanlah penghalang untuk para remaja membeli alkohol kerana wujudnya pihak yang tidak bertanggungjawab di luar sana.

Fahamkan anak-anak anda dengan fakta-fakta alkohol ini:

  • Pengambilan arak akan memperlahankan masa bertindak balas dan mengganggu perlarasan badan
  • Alkohol akan mempengaruhi penglihatan, pemikiran, dan pertimbangan diri
  • Arak akan mengambil masa yang agak lama untuk keluar dari sistem badan
  • Alkohol menjejaskan remaja secara berbeza berbanding orang dewasa, yang mana boleh memberikan impak terhadap otak dalam jangka masa panjang

Masalah kesihatan no. 7 kecelaruan makanan

Remaja amat senang untuk terpengaruh terutama sekali daripada media. Keinginan untuk kelihatan menarik dalam kalangan remaja amatlah kuat kerana mereka sangat mementingkan imej fizikal.

Anorexia Nervosa dan Bulimia Nervosa merupakan sindrom yang berkaitan dengan gangguan pemakanan serta boleh menjejaskan rupa fizikal dan kesihatan diri seseorang.

Individu sebegini cenderung untuk makan dalam kuantiti yang sedikit dan sering berlapar.

Kesan-kesan kecelaruan makanan:

  • Gangguan psikologi: kurang keyakinan diri, dan kemurungan
  • Kekurangan zat, vitamin dan mineral utama
  • Pertumbuhan terbantut
  • Lewat capai akil baligh

No. 8 Penggunaan tembakau

Kajian menunjukan hampir semua ketagihan nikotin bermula pada umur yang muda. Para remaja didedahkan dengan produk tembakau sejak di bangku sekolah lagi.

Sekiranya anda mempunya anak remaja yang merokok, jangan mengamuk dulu! Cuba tip ini untuk bercakap dengan mereka mengenai rokok dan vaping.

  • Didik anak dan diri anda sendiri mengenai bahaya merokok
  • Besikap jujur terhadap anak anda dan nyatakan bahawa anda tidak gemar akan perbuatan mereka
  • Tujukkan teladan yang baik terhadap anak anda dengan tidak melakukan perkara tersebut

Rumusan

Kebanyakan ibu bapa mungkin lebih fokus bekerja bagi menyediakan keselesaan kepada keluarga berbanding kebajikan anak-anak.

Walau bagaimanapun, ibu bapa juga manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Ruang untuk menjadi lebih baik sentiasa ada asalkan anda sedar akan tanggungjawab anda.

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.stopbullying.gov/bullying/warning-signs
  2. https://www.cdc.gov/healthyyouth/sexualbehaviors/#3
  3. https://journals.lww.com/co-pediatrics/Abstract/2018/02000/The_growing_epidemic_of_sexually_transmitted.21.aspx
  4. http://www.myhealth.gov.my/kegemukan-obesiti/
  5. http://www.myhealth.gov.my/penyalahgunaan-dadah/
  6. https://www.adk.gov.my/orang-awam/statistik-dadah/
  7. https://www.niaaa.nih.gov/publications/brochures-and-fact-sheets/make-a-difference-child-alcohol
  8. https://www.cdc.gov/motorvehiclesafety/teen_drivers/teendrivers_factsheet.html
  9. http://www.myhealth.gov.my/gangguan-pemakanan-remaja/

 

Versi Terbaru

12/07/2024

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Lihat, Ini Bagaimana Gula Boleh Menjadi Punca Obesiti & Penyakit Kronik, Menakutkan!

Alamak, Anak Kaki Buli? Ketahui Cara Mengatasinya


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 12/07/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan