backup og meta

Apabila Masa Silam Menghantui: Kesan Penderaan Kanak-kanak

Apabila Masa Silam Menghantui: Kesan Penderaan Kanak-kanak

Penyakit jantung. Kemurungan. Obesiti. Diabetes. Keadaan ini mungkin mempunyai satu faktor mengejutkan yang sama: pengalaman buruk zaman kanak-kanak. Demikianlah dapatan daripada kajian besar yang dikenali sebagai “Adverse Childhood Experiences“, atau ACEs yang menunjukkan kaitan penderaan kanak-kanak kepada risiko kesihatan apabila dewasa.

Berdasarkan kajian, pendedahan kepada trauma zaman kanak-kanak meningkatkan risiko kepada tujuh daripada 10 penyebab utama kematian di Amerika Syarikat. Pendedahan yang tinggi mempengaruhi perkembangan otak, sistem kekebalan tubuh, sistem hormon, dan juga cara DNA dibaca dan ditranskripsikan. Mereka yang terdedah kepada trauma zaman kanak-kanak yang sangat tinggi mempunyai tiga kali ganda risiko penyakit jantung dan kanser paru-paru dan perbezaan jangka hayat 20 tahun berbanding mereka yang tidak.

Memahami trauma zaman kanak-kanak

Menurut Dr Bessel A Van Der Kolk, penyelidik bidang posttraumatic stress disorder, antara isu utama dalam penderaan kanak-kanak dalam keluarga, sama ada kanak-kanak yang dipukul atau dicabul adalah isu kerahsiaan. Kekurangan bahasa untuk menyampaikan peristiwa di mana orang yang sepatutnya menyayangi bertukar menjadi pemangsa sering berlaku. Oleh itu, salah satu pergelutan yaang dihadapi oleh mangsa adalah kesukaran untuk mencari bahasa untuk membicarakannya. Sesetengah pesakit juga mungkin meragui pengalaman penderaan seksual kerana mereka tidak dapat mencari kata untuk menerangkan apa yang berlaku kepada diri mereka.

Disebabkan itu, dalam sesetengah kes, mangsa mungkin ditempatkan dalam psikoterapi berkumpulan di mana mereka bercakap mengenai pengalaman mereka antara satu sama lain dan bukan dengan ahli psikiatri. Ini memberi mangsa rasa memiliki keluarga, dan mengatasi masalah trauma pesakit untuk berbicara kepada pakar psikiatri kerana mereka mungkin tidak dapat mempercayai orang yang mempunyai autoriti. Apatah lagi apabila orang dewasa yang mempunyai autoriti telah mengambil kesempatan terhadap diri mereka sewaktu mereka masih kanak-kanak.

Trauma dan kebencian pada diri sendiri

Trauma zaman kanak-kanak sebenarnya boleh menyebabkan perasaan benci pada diri sendiri yang kronik dalam mangsa. Kebenciaan yang mungkin tidak disedari mangsa tetapi dapat dilihat dalam pengabaian kepada diri sendiri. Maka tidak hairanlah semakin teruk pengalaman buruk zaman kanak-kanak yang dihadapi mangsa, semakin tinggi risiko masalah tingkah laku seperti alkoholisme, penyalahgunaan dadah, merokok dan seks bebas.

Kerana kanak-kanak baru bermula memahami dunia bermula dengan diri mereka sendiri, mereka berfikir bahawa segala yang terjadi adalah cerminan diri mereka sendiri. Dipukul, disalahgunakan dan dicabul bermakna mereka layak diperlakukan sebegitu. Perkara ini dapat dilihat juga dalam perceraian ibu bapa. Berapa ramai kanak-kanak yang menyangka mereka bertanggungjawab atas kegagalan rumah tangga orang tua mereka. Begitu juga dalam kes penderaan. Ramai mangsa akan membenci diri mereka sendiri kerana tidak bertindak semasa didera. Mereka mungkin menyalahkan diri kerana tidak menentang, kerana bermain bersama dengan pendera mereka, kerana menyayangi pendera mereka. Dan mereka membawa kebencian diri sepanjang hidup mereka.

Penyembuhan daripada trauma

Walaupun penderaan kanak-kanak begitu memberi kesan kepada psikologi mangsa, masih ada peluang untuk mangsa keluar daripada kepompong trauma dan menjadi orang dewasa yang dapat berfungsi dengan baik. Menurut pengkaji ACEs, pengalaman positif sewaktu zaman kanak-kanak boleh membantu membina daya tahan dan melindungi kanak-kanak dari kesan trauma. Mempunyai ahli keluarga yang penyayang, seorang guru yang memahami dan percaya kepada mereka, atau sahabat yang boleh dipercayai dapat mengurangkan kesan jangka panjang trauma zaman kanak-kanak.

Oleh itu, jika anak anda atau kanak-kanak dalam keluarga anda pernah mengalami penderaan, berikan sokongan moral untuk membantu mereka sembuh daripada keperitan trauma peristiwa yang berlaku. Ambil tindakan terhadap pesalah laku yang bertanggungjawab. Memilih untuk melindungi mereka dengan cara mendiamkan kes memberikan isyarat yang salah kepada kanak-kanak ini. Mereka akan percaya bahawa kejadian tersebut berlaku disebabkan kesalahan mereka dan membesar dengan trauma dalaman yang tidak terungkai. Sebaliknya, bantu mangsa untuk menyatakan suara mereka sebagai satu langkah ke arah penyembuhan daripada trauma yang berlaku.

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

http://www.cbc.ca/radio/ideas/all-in-the-family-part-1-1.3523111

https://besselvanderkolk.net/index.html

https://www.npr.org/sections/health-shots/2015/03/02/387007941/take-the-ace-quiz-and-learn-what-it-does-and-doesnt-mean

https://www.cdc.gov/violenceprevention/acestudy/index.html

Versi Terbaru

07/06/2022

Ditulis oleh Helma Hassan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

100 Senarai Nama Panjang Anak Perempuan, Siap Maksud Yang Baik

Tiada Idea Nak Bagi Nama Panjang Anak, Cuba Lihat 100 Pilihan Nama Baby Boy


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 07/06/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan