Kita mengetahui bahawa kanak-kanak yang mengalami sindrom Down akan menghadiri kelas persekolahan yang berbeza. Biasanya mereka akan menghadiri Program Pemulihan Dalam Komuniti atau ringkasnya PDK yang terdapat hampir di setiap daerah atau mukim. Mereka penghidap sindrom Down juga dikatakan tidak mempunyai jangka hayat hidup yang lama, susah mendapat pekerjaan atau berkahwin.
Namun, benarkah dakwaan-dakwaan seperti yang dikatakan ini?
Fakta sebenar mereka yang menghidap sindrom Down
Disebalik tanggapan-tanggapan sebegitu, mungkin ada sesuatu yang kurang diketahui atau dimengerti oleh anggota masyarakat sehingga menyebabkan tanggapan tersebut muncul dan menjadi kebiasaan.
Baca catatan di bawah yang mungkin boleh mengubah persepsi semasa anda berkenaan penghidap sindrom Down ini.
#1. Wanita pelbagai peringkat umur berpotensi memiliki bayi dengan sindrom Down
Ada yang mengatakan bahawa wanita lanjut umur lebih berpotensi memiliki bayi dengan sindrom ini. Ia adalah mitos kerana wanita di kesemua peringkat umur tetap memiliki potensi memiliki anak penghidap sindrom Down ini.
Malah, 4 daripada 5 bayi yang memiliki sindrom ini dilahirkan oleh wanita yang berumur bawah 35 tahun.
#2. Penghidap sindrom ini boleh hidup sehingga berumur 60 tahun
Pada tahun 1940-an, kanak-kanak sindrom ini memiliki jangka hayat sebanyak 12 tahun. Walau bagaimanapun, jangka hayat mereka kini meningkat sehingga 60 tahun dan boleh hidup sehingga berumur 80 tahun – sama dengan jangka hayat populasi umum.
#3. Penghidap sindrom Down tidak selalunya gembira
Ada yang menyangka bahawa mereka yang menghidap sindrom ini tidak memiliki banyak perubahan perasaan dan sentiasa kelihatan gembira.
Anda perlu tahu bahawa mereka turut mempunyai perasaan yang sama dengan individu normal yang lain. Mereka turut berasa marah, sedih, malu atau teruja.
#4. Penghidap sindrom Down mempunyai risiko memiliki masalah kesihatan
Sindrom Down boleh menjejaskan sistem imun penghidapnya, oleh itu mereka lebih terdedah kepada jangkitan dan penyakit. Walaupun mengambil pemakanan yang sihat, mereka juga lebih cenderung untuk memiliki berat badan berlebihan berbanding individu lain.
Selain itu, mereka penghidap sindrom Down ini juga mempunyai risiko masalah penglihatan dan pendengaran yang lebih tinggi, hipotiroidisme, dan masalah berkaitan tulang dan usus.
#5. Kanak-kanak sindrom Down hidup normal seperti kanak-kanak lain
Kanak-kanak sindrom Down ini boleh membesar seperti kanak-kanak normal lain walaupun mempunyai kesukaran dalam pembelajaran dan masalah kesihatan.
Seperti mana kanak-kanak lain, faktor keluarga, persekitaran, budaya dan sosial memainkan peranan penting dalam pembentukan karakter kanak-kanak ini apabila mereka meningkat dewasa. Mereka hanya memerlukan sokongan dan usaha tambahan berbanding kanak-kanak normal.
Kesimpulan
Jangan pernah memandang penghidap sindrom ini dengan pandangan yang menjengkelkan. Mereka juga seperti individu normal lain, hanyalah sahaja mereka mengalami sedikit masalah sejak dilahirkan.
Kepada pemilik-pemilik syarikat, contohilah tindakan McD Bandar Tun Hussein Onn, Cheras yang pernah memberikan peluang pekerjaan kepada seorang penghidap sindrom ini untuk dia berdikari.
Tindakan ini jelas membuktikan bahawa penghidap sindrom ini juga boleh menguruskan diri sendiri sama dengan individu normal yang lain. Mari kita bersama-sama memberikan sokongan yang kuat kepada penghidap sindrom ini untuk meneruskan kehidupan seperti individu lain.
Jangan sesekali merendah-rendahkan golongan yang menghidap sindrom ini.
Baca juga artikel berkaitan ini:
- Bolehkah Individu Sindrom Down Tinggal Bersendirian?
- 5 Peringkat Umur Ibu Dan Berapa Banyak Risiko Sindrom Down Pada Bayi
- Jangan Hancurkan Harapan Anak Sindrom Down
- Punca Sindrom Down Berlaku yang Anda Perlu Tahu
- Ini 6 Salah Faham Umum Berkenaan Sindrom Down Yang Sering Kita Dengar
[embed-health-tool-child-growth-chart]