home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Sindrom Down: Hargai Perbezaan

Sindrom Down: Hargai Perbezaan

Setiap masyarakat penuh dengan rencam dan ragam tersendiri. Setiap seorang daripada ahlinya mempunyai karakter dan sifat yang berbeza. Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak terkecuali dalam kerencaman ini. Meskipun sedikit berbeza dari sudut fizikal mahupun mental, mereka adalah sebahagian daripada masyarakat.

Jangan terkejut, jumlah OKU di Malaysia adalah hampir 500,000 orang. Bilangan golongan ini adalah signifikan. Maka, kehadiran dan kebajikan mereka juga adalah sama penting dengan orang lain.

Contoh golongan OKU yang kerap ditemui adalah sindrom Down. Ia adalah kelainan dari sudut fizikal dan mental disebabkan kelainan pada bilangan kromosom di mana terdapat lebihan pada kromosom nombor 21.

Kelainan adalah indah

Tidak semua kelainan adalah buruk atau cacat. Lihat sahaja pada lesum pipit. Ia sebenarnya adalah sejenis kecacatan pada otot muka yang lebih pendek berbanding orang lain. Saiz yang pendek itu menyebabkan kulit muka tertarik semasa senyum, seterusnya menghasilkan lekuk yang disebut sebagai lesum pipit.

Ia bergantung kepada persepsi bagaimana sesuatu kelainan itu dilihat. Kadangkala, media terlalu awal membentuk stereotaip tentang makna kecantikan. Hasilnya, masyarakat menjadi penghukum dalam menilai setiap orang. Realitinya, setiap orang adalah cantik dengan cara yang tersendiri.

Bayangkan jika setiap orang di dalam komuniti mempunyai fizikal dan sifat yang sama. Tentunya masyarakat tersebut akan jadi sangat membosankan serta tidak berkembang. Kelebihan dan kekurangan yang ada memberikan keindahan dalam berinteraksi antara satu sama lain.

Hargai perbezaan yang ada

Kita perlu belajar untuk menerima dan menghargai perbezaan, baik dari sudut fizikal mahupun pendapat. Masyarakat yang maju sentiasa meraikan kelainan yang ada dan terbuka. Setiap orang harus diberikan ruang yang sepatutnya dalam menjalani kehidupan.

Dalam masa yang sama, kemudahan dan bantuan terhadap golongan OKU seperti sindrom Down perlu diperluaskan. Akhirnya, ibu bapa yang melahirkan anak-anak OKU tidak akan rasa menyesal kerana mereka tahu bahawa sentiasa ada peluang yang cerah untuk anak mereka.

Semuanya bermula daripada diri sendiri. Cara kita menerima dan membantu golongan ini mampu mengubah hidup mereka. Walaupun hanya memberikan senyuman ikhlas, ia mungkin sudah cukup memberikan motivasi untuk mereka terus bergerak ke hadapan.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim Disemak pada 05/12/2019
Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel