backup og meta

Teknik Mudah Didik Anak Jaga Kebersihan Diri

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 12/10/2022

    Teknik Mudah Didik Anak Jaga Kebersihan Diri

    Kehidupan pada peringkat usia kanak-kanak memang aktif dan lasak. Anda tidak boleh menghalang jika anak bermain di luar bersama rakan sebayanya dan pulang ke rumah dengan peluh dan kekotoran pada wajah dan tubuh. Ini adalah sebahagian rutin di alam kanak-kanak yang perlu anda terima.

    Sebagai ibu bapa yang prihatin, anda perlu mengajar anak tentang asas penjagaan kebersihan diri bagi memastikan mereka kekal sihat dan bersih. Kuman dan bakteria ada di mana-mana dan boleh memudaratkan kesihatan semua golongan, terutamanya kanak-kanak. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengajar anak tentang amalan kebersihan. Namun, kita tidak boleh menolak bahawa kekotoran atau bersepah semasa bermain adalah menjadi sebahagian daripada keseronokan di alam kanak-kanak.

    Bagi mengajar anak mematuhi amalan kebersihan, ibu bapa boleh menggunakan pendekatan yang menyeronokkan supaya kanak-kanak patuh dan mengingati peraturan yang diajar kepada mereka. Ketahui lima asas amalan penjagaan kebersihan diri yang perlu diterapkan pada kanak-kanak:

    1 Mencuci tangan

    Ini merupakan salah satu tabiat paling penting dalam amalan menjaga kebersihan diri. Mencuci tangan tidak dapat disangkal lagi, merupakan satu cara terbaik untuk mengelak dan menghentikan penyebaran kuman dan bakteria. Ajar anak anda untuk mencuci tangan sebelum dan selepas makan, selepas keluar tandas dan bila-bila jika tangannya memegang benda yang kotor.

    2 Bersin dan batuk

    Ajar anak anda untuk menutup mulut dan hidungnya menggunakan tisu jika mereka bersin atau batuk. Jika tidak sempat mencapai tisu, minta anak anda untuk menutup mulut mereka menggunakan telapak tangan.  

    3 Mata, mulut dan hidung

    Kuman mudah berpindah ke dalam tubuh melalui membran mukus dalam mata, hidung dan mulut. Jadi, ingatkan anak anda untuk tidak menyentuh mata ataupun memicit hidung mereka.

    4 Kebersihan oral

    Kebersihan oral dan gigi juga perlu diutamakan. Ajar anak anda memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari atau setiap kali selepas makan. Selain itu, jika anak anda sudah boleh memberus gigi sendiri, ajar kanak-kanak melakukan flos dan memberus lidah.

    5 Masa mandi

    Kebanyakan kanak-kanak sudah boleh mandi sendiri semasa usia mereka sekitar 6 tahun. Walau bagaimanapun, anda mungkin ingin memantau anak anda semasa mereka bersyampu dan membilas sehingga bersih, sebelum mereka biasa dengan tabiat tersebut.  

    Tips ajar anak jaga kebersihan diri

    Tetapkan peraturan

    Ajar anak anda peraturan asas tentang kebersihan sejak usianya kecil lagi. Amalan asas kebersihan adalah seperti membasuh tangan sebelum dan selepas makan dengan menggunakan sabun, menutup mulut semasa batuk atau bersin dan mandi tiga kali sehari.

    Jadi contoh

    Ibu bapa adalah role-model kepada anak-anak. Jadi, tunjukkan contoh yang baik kepada anak anda tentang amalan kebersihan seperti membasuh tangan sebelum dan selepas makan, mengelap mulut dengan tisu atau sapu tangan selepas makan, tidak membiarkan rumah bersepah serta memastikan kawasan dalam dan luar rumah bersih.

    Didik melalui buku

    Sesekali, bacakan buku cerita yang berkisarkan tentang kebersihan seperti akibat tidak menjaga kebersihan diri atau budak yang pengotor. Masukkan unsur hiburan dan humor semasa bercerita bagi menarik minat si cilik.

    Sapu tangan

    Bekalkan anak anda dengan sapu tangan bersih setiap kali dia pergi ke tadika. Pesan pada anak anda supaya mengelap tangan dan mulut selepas makan menggunakan sapu tangan yang diletakkan dalam poket pakaian mereka.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 12/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan