Pernahkah anda terfikir mengapa seni dan kraf seperti mewarna dan melukis adalah penting untuk pastikan anak kreatif?
Malah menurut pakar, untuk kanak-kanak pada usia 3 hingga 8 tahun, aktiviti sebegini adalah penting dalam membantu aspek tumbesaran dan perkembangan mereka.
Anda mungkin sudah mengetahui dan menyedari bahawa seni adalah cara terbaik untuk mengendali dan menguruskan rasa kegelisahan dan tekanan pada kanak-kanak.
Tetapi adakah anda tahu bahawa aktiviti sebegini yang melibatkan tugasan seperti mewarna dan melukis juga dapat memberikan kesan positif kepada pembangunan kognitif dan fizikal mereka? Ikuti artikel ini untuk penjelasan lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Kepentingan seni dan kreativiti untuk pupuk anak kreatif
Kanak-kanak boleh diibaratkan sebagai kain putih yang bersih dan suci daripada sebarang kekotoran atau kerosakan.
Mereka ini masih dalam usia untuk belajar perihal kehidupan sebelum menginjak alam dewasa.
Oleh itu, apa sahaja yang diajarkan oleh ibu bapa kepada mereka akan menjadi satu aspek dalam pembentukan diri mereka.
Di bawah, kami akan terangkan mengapa ibu bapa perlu menitikberatkan seni dan kreativiti dalam kalangan anak:
1. Memupuk minat dalam aspek seni dan kreatif
Secara semula jadi, sikap kreatif sudah wujud dalam diri setiap kanak-kanak lagi.
Namun, dengan dorongan dan didikan ibu bapa, sikap ini akan lebih bercambah lalu menjadikan anak-anak lebih yakin dan selesa untuk mengekspresikan kesenian dan kreativiti mereka kepada umum.
Kebanyakan ibu bapa hanya menekankan tentang kepentingan aspek pelajaran semata-mata kepada anak mereka sedangkan terdapat banyak lagi aspek yang membantu pembentukan diri anak-anak misalnya aspek sukan, aspek kemahiran mahupun aspek seni kreatif.
Malah, anak kreatif memerlukan rangsangan serta senarai aktiviti yang berbeza! Jika anak suka mewarna dan melukis, jangan padam minat mereka ini! Sebagai ibu bapa, anda haruslah menyokong minat anak.
2. Mengasah kemahiran motor halus anak
Kemahiran motor halus anak anda dapat dipupuk dengan menggunakan latihan seni seperti melukis mahupun menulis. Ini adalah praktis yang terbaik untuk menguatkan motor halus mereka.
Dalam pada itu, dengan praktis ini juga ibu bapa dapat mengetahui tangan dominan anak mereka sekali gus lebih memudahkan proses dan praktis pengawalan motor halus atau tangan mereka. Ini akan membuatkan anak anda lebih cepat dan pandai menulis kelak.
3. Menghubungkan neuron-neuron anak anda
Seni merupakan aktiviti yang dapat menghubungkan setiap deria yang terdapat pada manusia iaitu deria lihat, dengar, sentuh, bau dan rasa.
Oleh itu aktiviti seni seperti melukis yang melibatkan deria lihat dan sentuh atau lain-lain jelas sekali dapat membantu dalam pembentukan neuron anak anda sekali gus menghubungkannya.
4. Memupuk anak kreatif
Anak-anak boleh diajar untuk meluahkan perasaan mereka melalui seni agar mereka mempunyai satu medium alternatif selain ibu bapa untuk meluahkan perasaan gembira, sedih atau marah mereka.
Ibu bapa dapat mengesan perasaan anak anda dengan melihat kepada penggunaan warna, corak atau bentuk lukisan mereka lalu memudahkan ibu bapa membaca perasaan anak mereka dan mengambil tindakan yang sepatutnya.
Baca juga:
- Bagaimana Ingin Menjadi Kreatif?
- Ini 2 Cara Buat Slime Mudah Dan Selamat Untuk Anak, Ibu Pun Pasti Suka!
5. Membina ikatan seisi keluarga
Anda boleh jadikan aktiviti kesenian dan kreatif seperti melukis sebagai satu aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama dengan ahli keluarga.
Dengan aktiviti seperti ini, ibu bapa bukan sahaja dapat meluangkan masa bersama anak-anak, tetapi hasil lukisan tersebut juga boleh dijadikan kenangan untuk masa hadapan.
Cara memastikan anak kreatif
1. Bersedia
Memberikan peluang kepada anak anda untuk mengekspresikan kreativiti bermakna anda perlu bersedia dengan kekotoran, ruang yang berselerak dan keadaan yang mungkin sedikit huru-hara.
Sediakan ruang untuk anak-anak anda bebas bereksperimen dan mengekspresikan imaginasi mereka dengan keadaan yang akan menjadi sedikit berselerak. Mungkin jika cuaca bersesuaian, anda boleh membenarkan anak-anak anda untuk melakukannya di halaman rumah.
2. Arahan
Hindari daripada memberikan sebarang arahan kepada anak kreatif. Usah memberitahu kepada anak anda apa yang perlu atau bagaimana untuk melakukannya. Sebaliknya, benarkan anak anda untuk melakukan apa yang dirasakannya dan berikan galakan.
3. Berbual
Cuba untuk berbual dan berbicara mengenai seni. Apabila bercakap bersama anak anda tentang hasil seni yang melibatkan aspek mewarna dan melukis ini, cuba untuk memberikan komen yang lebih spesifik.
Sebagai contoh, anda boleh bertanyakan, “Mama tengok awak lebih suka menggunakan warna biru. Kenapa awak memilih warna tersebut?”
4. Meneroka
Sebagai ibu bapa kepada anak kreatif, pastikan anda berikan ruang untuk anak meneroka.
Sebagai contoh, cara yang terbaik untuk menggalakkan komunikasi berkaitan dengan seni yang dihasilkan oleh anak anda adalah seperti menyatakan, “Ceritalah pada mama apa yang awak hasilkan ini,” atau tanyakan, “seronok tak mewarna dan melukis gambar ini?”
5. Sendiri
Elakkan daripada melukis atau mewarna bersama dengan anak. Apabila ibu bapa mewarna atau melukis sesuatu sementara anak anda turut melakukan perkara yang sama, ia mungkin mendatangkan kecenderungan untuk menyebabkan wujudnya rasa kecewa dalam diri anak.
Cara yang terbaik adalah dengan berada dekat bersama dengan anak anda dan membiarkan mereka tahu bahawa anda tertarik dan menyokong dengan apa yang dilakukannya.
6. Biarkan anak kreatif dengan cara sendiri!
Sebagai ibu, cuba elakkan daripada memberi cadangan untuk sebarang penambahan atau perubahan pada hasil kerja mereka.
Ini kerana adalah penting untuk anak anda merasakan apa yang dilakukan dan dihasilkannya adalah sudah mencukupi, walaupun ia hanyalah sekadar titik pada satu kertas lukisan.
[embed-health-tool-child-growth-chart]