backup og meta

Anak Disahkan Moderate Autisme Di Usia 3 tahun, Mummy Ini Kongsi Tip Jaga Anak Istimewa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/07/2022

    Anak Disahkan Moderate Autisme Di Usia 3 tahun, Mummy Ini Kongsi Tip Jaga Anak Istimewa

    “Anak Puan ada ciri moderate autism.” Sudah tentu banyak persoalan yang akan bermain di fikiran ibu bapa apabila mendengar perkhabaran ini daripada mulut doktor. Antaranya, “Apakah maksud moderate autism ini?” “Betul ke apa yang aku dengar, anak aku ada autisme?” 

    Setiap ibu bapa pasti sukar untuk membayangkan anak yang pada awalnya membesar seperti kanak-kanak normal lain, disahkan mengalami autisme tahap pertengahan ketika usia si anak hampir mencecah 4 tahun. 

    Inilah yang dialami oleh ibu ini. Bagaimana dia boleh mengenal pasti anak autisme dan membawanya berjumpa doktor?

    Ini disebabkan kehebatan naluri insan bergelar ibu! Ayuh ikuti kisah Puan Siti Nadirah Hafidzin, 34 tahun, yang mesra dipanggil Dira.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Kuatnya naluri seorang ibu

    Kehadiran anak kedua, Hasya Nur Dhuha sungguh mengujakan dan menambahkan lagi kemeriahan keluarga kecil Dira.

    Hasya dilahirkan secara normal dengan berat 3 kg dan membesar sama seperti bayi lain – meniarap, merangkak, duduk, berdiri, bahkan sudah mula berjalan seawal usia 11 bulan setengah. Hasya juga seorang anak yang sangat sihat dan jarang diserang demam.

    Namun apabila si kecil ini masih tidak bercakap walau sudah menginjak usia setahun lebih, naluri keibuannya tergerak untuk melakukan pemeriksaan kerana merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

    Walaupun Hasya kelihatan normal namun sedikit sebanyak ciri-ciri anak autisme seperti dia agak susah tidur awal pada waktu malam membuatkan saya tak teragak-agak untuk membawanya bertemu pakar,” jelas Dira yang dipanggil Mummy oleh anak-anaknya.

    maksud moderate autism

    Fahami maksud moderate autism

    Hasil pemeriksaan pakar, Hasya yang ketika itu berusia 3 tahun 8 bulan, disahkan mengalami moderate autism (tahap pertengahan).

    Reda adalah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan perasaan Dira apabila menerima perkhabaran anaknya itu mengalami gangguan spektrum autisme. Malah sedari usia Hasya 1 tahun 6 bulan, dia sudah mula menerima sekiranya ada sesuatu yang lain pada diri anaknya.

    Pengalaman bertugas sebagai wartawan di meja wanita dan banyak menemuramah pakar kanak-kanak serta ahli keluarga yang mempunyai anak dengan gangguan spektrum autisme, sedikit sebanyak membuatkan dia telah bersedia lebih awal untuk menerima apa sahaja ketentuan. Begitu juga dengan suami, Hafidzul Hilmi Mohd Noor, 33 tahun, anak sulungnya, Hana Nur Dhia, 8 tahun, dan seluruh ahli keluarga lain.

    Dira dan suaminya juga banyak mendedahkan si kakak, Hana mengenai maksud moderate autism secara perlahan-lahan supaya dia tidak kekok untuk bersama-sama membantu menjaga Hasya. Apa yang harus dibanggakan adalah Hana dapat menerimanya dengan positif.

    Ujar Dira, “Apa yang berlaku bukan satu pengakhiran atau kesedihan yang perlu diratapi tetapi takdir ini adalah satu permulaan baru buat kami sekeluarga. Allah SWT berikan kami Hasya sebagai hadiah tidak bernilai untuk dijaga sebaik mungkin.

    maksud moderate autism
    Siti Nadirah Hafidzin (berdiri: dua, kanan) dan suaminya, Hafidzul Hilmi Mohd Noor (kanan) bersama ibu, Fadilah Hashim (berdiri: tiga, kanan) serta dua cahaya mata mereka: Hana Nur Dhia dan Hasya Nur Dhuha.

    Maksud moderate autism

    Sebelum memahami apakah maksud moderate autism, anda harus ketahui bahawa secara amnya tahap autisme boleh dipecahkan kepada 3 bahagian utama, iaitu:

    1. Tahap 1 – Memerlukan sokongan, dikategorikan sebagai tahap rendah (mild autism).
    2. Tahap 2 – Memerlukan sokongan yang besar, dikategorikan sebagai tahap pertengahan (moderate autism).
    3. Tahap 3 –  Memerlukan sokongan yang sangat besar dan dikategorikan sebagai tahap tinggi (severe autism).
    Ini maksud moderate autism:

    Individu yang didiagnosis dengan tahap ini mempunyai masalah lebih ketara dalam komunikasi lisan dan sosial. Mereka juga akan lebih sukar untuk menukar fokus atau beralih dari satu aktiviti ke aktiviti seterusnya.

    Kanak-kanak tahap 2 ini cenderung mempunyai minat terhad dan melibatkan tingkah laku berulang, serta boleh menyukarkan mereka untuk berfungsi dalam situasi tertentu.

    Kini anda sudah faham maksud moderate autism, ayuh kita terus ikuti kisah Mummy ini.

    Fahami maksud moderate autism: Perlukan kesabaran

    Sabar, kunci menjaga kanak-kanak autisme. Dira tidak menafikan ia bukanlah perkara yang mudah. Menjaga anak autisme memerlukan tahap kesabaran yang tinggi terutamanya ketika Hasya susah tidur malam.

    “Cabaran terbesar semestinya bagi memastikan Hasya dapat menguruskan kehidupan hariannya seperti kanak-kanak lain, selain kami suami isteri juga perlu memastikan emosi Hasya dalam keadaan baik,” jelas Dira.

    Seperti anak autisme yang lain, Hasya yang kini berusia 5 tahun tidak terkecuali mengalami masalah pergaulan dan agak susah untuk bergaul dengan sesiapa sahaja termasuk ahli keluarga

    “Mungkin faktor masih belum boleh bercakap menambahkan lagi kesukaran itu. Jadinya setiap kali kami pulang ke kampung, Hasya lebih banyak menyendiri di dalam bilik ditemani saya, suami atau neneknya,” jelas Mummy ini yang kini sedang hamil 6 bulan.

    Berbicara mengenai kehamilannya, Dira mengakui pada awal kandungan, Hasya ada meragam, tidak mahu tidur dan sering mengajak berjalan menaiki kereta setiap pagi. Mungkin kerana si kecil itu dapat merasakan dirinya bakal mempunyai adik. 

    maksud moderate autism

    Perubahan anak autisme selepas kelas NASOM

    Pada awalnya Dira ada menghantar Hasya mengikuti kelas dan sesi terapi di beberapa pusat terapi. Kemudian Hasya diterima masuk ke The National Autism Society of Malaysia (NASOM).

    Pada mulanya, Hasya akan menangis setiap kali ke kelas namun kini keadaan dia semakin baik dan sangat teruja menghadiri kelas,”

    Tambah Mummy ini lagi, “Kini banyak perubahan positif yang ketara dapat dilihat, Hasya semakin dapat memahami setiap arahan diberikan. Dia juga tidak lagi terlalu bergantung kepada saya sahaja. Perubahan yang paling jelas adalah Hasya kini dapat pergi ke kelas dengan perasaan gembira dan tanpa menangis.”

    Apabila ditanyakan mengenai harapan buat si kecil ini, Dira memberitahu dia dan suami hanya mahu melihat Hasya dapat berdikari dan mampu menguruskan dirinya sendiri dengan bantuan kakaknya, Hana dan adiknya nanti.

    Baca juga:

    Maksud moderate autism: Terima dengan hati terbuka

    Berkongsi tip dengan ibu bapa yang turut mempunyai anak istimewa ini, Dira menyatakan setiap ibu bapa perlu kuat dan reda.

    Lapangkan dada dan terima sahaja ketentuan ini. Jangan sesekali menidakkan takdir kerana percayalah ini adalah yang terbaik buat kita. Usah menyorokkan anak autisme ini kerana mereka juga ada hak untuk hidup gembira seperti kanak-kanak lain.” 

    Tambah Dira lagi, “Paling penting bawalah bertemu pakar bagi membantu perkembangan anak autisme ini supaya mereka dapat membesar dengan cara dan kaedah bersesuaian.”

    Dira tidak menafikan terdapat ramai ibu bapa yang seolah-olah tidak dapat menerima ketentuan ini, malah ada yang tidak mahu anaknya dipanggil autisme. Namun bagi dirinya, tiada apa yang perlu disorokkan atau dimalukan kerana mereka adalah hadiah tidak ternilai dalam kehidupan ini.

    Sentiasa peka dengan perubahan anak

    Berdasarkan pengalamannya sendiri, Dira menasihatkan ibu bapa di luar sana untuk segera membawa anak berjumpa pakar sekiranya menyedari sebarang kelainan yang berlaku. Ini kerana ia adalah jalan terbaik sebelum keadaan bertambah teruk.

    Janganlah malu atau bersedih kerana yakinlah setiap anak-anak mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri yang tiada pada individu lain,” ujar Dira mengakhiri temubual.

    Semoga perkongsian ini dapat membuka mata anda untuk lebih memahami apakah maksud moderate autism dan gangguan autisme secara amnya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan