Setiap ibu bapa pasti teruja menantikan perkembangan tumbesaran bayi mereka. Daripada reaksi mata, suara dan genggaman jari, semuanya ditunggu dengan penuh sabar. Begitu juga apabila si manja mula duduk atau merangkak.
Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group
Setiap ibu bapa pasti teruja menantikan perkembangan tumbesaran bayi mereka. Daripada reaksi mata, suara dan genggaman jari, semuanya ditunggu dengan penuh sabar. Begitu juga apabila si manja mula duduk atau merangkak.
Namun adakah anda tahu, bilakah waktu mula bayi merangkak dan bayi duduk?
Bagi bulan-bulan pertama, ia adalah satu fasa di mana bayi anda membesar dengan begitu pantas. Fasa ini adalah fasa yang paling penting untuk anda melihat perkembangannya.
Kesemua perkembangan dan pergerakan bayi setiap hari adalah disebabkan perkembangan fizikal dan juga motor si manja. Kedua-duanya berfungsi mengembangkan potensi fizikal dan mental bayi bagi mempelajari sesuatu yang baharu setiap hari.
Fasa antara bulan ke-4 sehingga ke-10 dianggap sebagai antara fasa yang paling penting.
Ini kerana pada waktu inilah bayi sudah mula belajar menggerakkan kepala, duduk, berguling dan juga merangkak.
Jadi anda pasti tertanya-tanya, pada waktu bilakah bayi sudah mula pandai duduk dan juga merangkak? Ini jawapannya.
Untuk membolehkan bayi duduk dengan sempurna, mereka mestilah berkemampuan untuk menyeimbangkan kepala tanpa sebarang sokongan.
Selain itu, si manja mestilah mempunyai kekuatan bahagian tubuh atas yang mencukupi bagi menyokong bayi duduk.
Pada kebiasaannya, bayi akan mula berkemampuan untuk mengangkat kepala mereka sewaktu berusia sekitar 2 bulan.
Pada usia sekitar 4 bulan pula, biasanya bayi sudah mula pandai mengangkat kepala tanpa sebarang sokongan.
Pada usia ini juga, mereka sudah mampu untuk belajar duduk, tetapi masih memerlukan pertolongan.
Bayi melakukan kaedah duduk yang disebut sebagai tripod sit. Pada usia 12 bulan pula, bayi sudah mula mampu untuk duduk dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan.
Anda boleh membantu si manja seawal umurnya 6 bulan dengan menggalakkannya untuk duduk.
Sediakan sebarang sokongan untuk bayi anda belajar duduk seperti dengan menyediakan bantal sebagai tempat bersandar.
Untuk pengetahuan anda, bayi akan mula belajar menggulingkan dirinya seawal umur 4 bulan.
Mereka akan mula menggoyangkan tubuh ke kiri dan ke kanan bagi memudahkan mereka untuk belajar berguling selepas itu. Pada usia 6 bulan, bayi biasanya akan mula berguling ke arah kiri dan juga kanan.
Untuk membantu dan menggalakkan bayi anda berguling, letakkan si manja di atas kain selimut atas lantai.
Kemudian, letakkan alat permainan di sebelahnya. Kaedah ini akan menggalakkan bayi untuk berguling bagi mendapatkan permainan tersebut.
Bayi merangkak bermula sekitar umurnya 6 bulan. Pada umur 6 bulan, bayi akan mula belajar mengangkat badan ke atas dan ke bawah dengan menggunakan tangan dan lutut mereka.
Ini bertujuan sebagai asas kekuatan untuk mereka mula merangkak nanti. Pada ketika ini juga, bayi mungkin akan melakukan sedikit pergerakan merangkak ke belakang sebelum kembali ke hadapan.
Apabila usianya sudah mencecah 9 bulan, si kecil sudah mula belajar merangkak dengan sendiri. Untuk membantu dan menggalakkan bayi anda merangkak, biarkan mereka merangkak di kawasan lantai yang bersih dan selamat.
Cuba letakkan sebarang permainan di hadapan mereka sebagai umpan untuk bayi merangkak.
Galakkan bayi merangkak untuk mendapatkan permainan tersebut.
Dalam keterujaan untuk melihat perkembangan dan pergerakan si manja, pastikan ibu bapa sentiasa menjaga keselamatan anak.
Pertama sekali, jangan sesekali membiarkan bayi anda ditinggalkan berseorangan walaupun anda rasa mereka akan selamat.
Kedua, jauhkan bayi anda daripada sebarang kawasan yang berbahaya seperti tangga, pintu, dapur dan barang-barang berbahaya bagi bayi.
Ketiga, sentiasa kunci pintu dan gunakan pagar keselamatan yang memisahkan kawasan ruang tamu dengan tempat lain agar bayi anda tidak bergerak sehingga ke kawasan yang berbahaya.
Jangan biarkan keterujaan kita melihat tumbesaran bayi berakhir dengan sebarang tragedi yang tidak diingini.
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen