backup og meta

Anak Autisme Tak Boleh Bercakap Langsung? Mak Ayah Ambil Tahu Punca & Rawatan

Anak Autisme Tak Boleh Bercakap Langsung? Mak Ayah Ambil Tahu Punca & Rawatan

Autisme, atau autism spectrum disorder (ASD) adalah istilah yang digunakan untuk mengenal pasti pelbagai gangguan perkembangan neuro.

Gangguan-gangguan ini dikumpulkan sekali dek aspek persamaan yang menjejaskan kemampuan seseorang untuk berkomunikasi, bersosial, berfikir dan membesar.

Seperti yang kita tahu, kebanyakan individu autistik ada kesukaran berkomunikasi atau lambat bercakap. Tahapnya pula boleh menjadi ringan hingga parah.

Pun begitu, sesetengah individu autisme tidak boleh bercakap sama sekali. Bahkan, sebanyak 40% kanak-kanak dengan ASD mengalami jenis autisme bukan verbal (nonverbal).

Bersempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang jatuh pada tanggal 2 April tahun ini, mari kita fahami apa itu autisme bukan verbal dengan lebih mendalam, teruskan membaca!

Autisme bukan verbal, kenali gejala-gejalanya

Individu autistik mungkin mengalami kesukaran untuk bertutur atau berbual dengan orang lain, tetapi berbeza pula bagi golongan autisme bukan verbal.

Jenis autisme ini tidak mampu untuk bercakap sama sekali! Apa puncanya?

Terdapat beberapa sebab yang berpotensi menjadi punca. Antaranya, mereka mungkin mengalami apraksia.

Untuk makluman, kanak-kanak apraksia tidak boleh menggerakkan lidah dan mulut bagi menghasilkan bunyi pertuturan dengan betul.

Selain itu, ia mungkin disebabkan mereka belum mengembangkan kemahiran bahasa lisan untuk bercakap.

Tambah lagi, sesetengah kanak-kanak juga mungkin akan kehilangan kemahiran lisan apabila gejala gangguan ini bertambah parah dan semakin jelas.

Ada juga kanak-kanak autistik yang mempunyai echolalia, menyebabkan mereka mengulangi suatu perkataan atau frasa secara berulang kali lantas menyukarkan proses komunikasi.

penyakit autisme

Simptom lain boleh dibahagikan kepada 3 kategori utama, merangkumi:

  1. Sosial: Individu autistik sering menghadapi masalah dengan pergaulan sosial. Mereka mungkin berasa malu dan ingin menjauhkan diri. Mereka juga mungkin akan mengelakkan kontak mata dan tidak bertindak balas ketika namanya disebut. Gejala ini boleh menyebabkan mereka merasa terasing yang akhirnya boleh membawa kepada kegelisahan dan kemurungan.
  2. Kelakuan: Rutin adalah penting bagi seseorang yang autistik. Sebarang gangguan dalam jadual harian mereka boleh menjejaskan emosi hingga ke tahap yang parah.
  3. Perkembangan: Individu autistik berkembang dengan kadar yang berbeza. Sesetengah budak mungkin membesar mengikut tahap yang normal selama beberapa tahun, kemudian menghadapi kemunduran pada usia 2 atau 3 tahun. Yang lain pula mungkin mengalami perkembangan yang lebih lambat dan berlanjutan hingga ke usia remaja.

Pun begitu, simptomnya boleh beransur baik mengikut pertambahan usia.

Apabila mereka lebih besar, gejala dialami biasanya tidak akan menjadi separah dahulu dan potensi untuk bertutur juga meningkat dengan bantuan terapi.

Autisme, apa penyebabnya?

Malangnya, hingga kini, punca autisme masih belum diketahui…

Walau bagaimanapun, penyelidik telah mengaitkan beberapa faktor yang berupaya menyumbang kepada puncanya, seperti:

  • Faktor usia ibu bapa: Anak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang lebih tua mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menghidap autisme
  • Pendedahan pranatal: Toksin di persekitaran dan pendedahan kepada logam berat semasa kehamilan turut memainkan peranan
  • Sejarah keluarga: Kanak-kanak yang mempunyai ahli keluarga autisme cenderung menghasilkan bayi autistik
  • Mutasi dan gangguan genetik: Fragile X syndrome dan tuberous sclerosis adalah 2 penyebab yang disiasat kaitannya dengan autisme
  • Kelahiran pramatang: Bayi yang dilahirkan tidak cukup berat juga berkemungkinan besar mengalami gangguan itu
  • Ketidakseimbangan kimia dan metabolik: Gangguan hormon atau bahan kimia boleh menghalang perkembangan otak, menyebabkan perubahan pada kawasan otak yang dikaitkan dengan autisme

Ingin penulis tekankan, vaksin sama sekali tidak menyebabkan autisme!

Pada tahun 1998, sebuah kajian kontroversial mengaitkan hubungan antara autisme dan vaksin.

Tetapi, penyelidikan tambahan telah menolak laporan tersebut. Bahkan, para penyelidik tersebut telah menarik balik tuntutan vaksin sebagai punca autisme pada tahun 2010.

Bagaimana autisme bukan verbal didiagnosis?

Proses mendiagnosis jenis autisme ini memerlukan fasa pemeriksaan yang berbeza.

Pakar mungkin akan menjalankan pelbagai ujian untuk bantu menyingkirkan kemungkinan penyebab lain.

Ini termasuklah:

  • Ujian fizikal
  • Ujian darah
  • Ujian pencitraan seperti imbasan MRI atau CT

Sebilangan pakar pediatrik mungkin akan merujuk kanak-kanak ini kepada pakar pediatrik perkembangan tingkah laku.

Doktor-doktor ini juga adalah pakar dalam merawat gangguan seperti autisme dan ujian tambahan lain mungkin perlu dijalankan.

Pilihan-pilihan rawatan

Sebenarnya, tiada ubat yang dapat merawat autisme. Sebaliknya, rawatan seperti terapi dan campur tangan tingkah laku dapat bantu atasi gejala dan kelewatan perkembangan.

Kanak-kanak jenis autisme ini turut memerlukan bantuan setiap hari, ketika dalam proses untuk belajar berinteraksi dengan individu lain.

Terapi ini membantu anak anda mengembangkan kemahiran bahasa dan komunikasi.

Rawatan untuk autisme bukan verbal boleh merangkumi:

autisme

  • Campur tangan pendidikan: Kanak-kanak autistik sering bertindak balas dengan baik pada sesi berstruktur dan intensif, yang mengajar tingkah laku berorientasikan kemahiran. Program-program ini membantu mereka belajar kemahiran sosial dan berbahasa di samping meningkatkan mutu pendidikan dan perkembangan
  • Ubat-ubatan: Ubat tertentu mungkin berguna untuk sesetengah kondisi dan gejala yang berkaitan. Ini termasuklah, kegelisahan atau kemurungan, dan gangguan keperibadian obsessive compulsive personality disorder (OCPD). Ubat antipsikotik pula dapat mengatasi masalah tingkah laku yang teruk, dan ubat-ubatan ADHD mengurangkan tingkah laku impulsif dan hiperaktif
  • Kaunseling keluarga: Ibu bapa dan adik beradik penghidap autistik boleh mendapatkan manfaat daripada terapi one-on-one. Sesi ini bakal mengajar anda cara mengendalikan cabaran autisme bukan verbal

Akhir kata, cara terbaik untuk membantu anak anda membina kemahiran komunikasi dan bertutur adalah dengan memulakan rawatan secepat mungkin!

Campur tangan awal adalah kunci utama buat penghidap autisme bukan verbal.

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://researchautism.org/i-have-nonverbal-autism-heres-what-i-want-you-to-know/
  2. http://www.myhealth.gov.my/interaksi-dengan-anak-autisme/
  3. http://www.myhealth.gov.my/autism/
  4. http://www.myhealth.gov.my/apraksia-di-kalangan-kanak-kanak/
  5. http://www.myhealth.gov.my/en/antipsikotik/
  6. https://www.nidcd.nih.gov/health/apraxia-speech
  7. https://www.psychiatry.org/patients-families/autism/what-is-autism-spectrum-disorder
  8. https://www.cdc.gov/ncbddd/actearly/autism/case-modules/diagnosis/08-closer-look.html

Versi Terbaru

06/09/2021

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

7 Perkara Ibu Bapa Anak Autisme Mahu Anda Tahu

Anak Lambat Bercakap TAK Bermaksud Ada Autisme, Ibu Bapa Kena Tahu Perbezaannya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 06/09/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan