home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Jangan Ambil Mudah Jika Anak Terkena Beguk, Ia BERJANGKIT & Ada Komplikasi

Jangan Ambil Mudah Jika Anak Terkena Beguk, Ia BERJANGKIT & Ada Komplikasi

Masalah beguk leher sering dianggap tidak berbahaya. Namun, sakit beguk ini amat berjangkit dan boleh mengakibatkan komplikasi kesihatan kepada anak jika tidak mendapatkan rawatan sewajarnya.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

Beguk leher & puncanya

Penyakit beguk ini adalah penyakit virus sangat menular yang menjangkiti kelenjar air liur di depan telinga.

Walaupun ia sering terjadi kepada kanak-kanak, namun mana-mana individu tanpa mengira usia tetap terdedah dengan risiko untuk mengalaminya.

Punca sakit beguk merebak adalah melalui titisan air dalam udara keluar daripada mulut, hidung dan tekak daripada seorang individu kepada yang lain dengan cara bersin, batuk mahupun bercakap.

Ia juga menular melalui sentuhan. Contohnya, anak menyentuh permukaan yang tercemar dengan titisan dijangkiti seperti tombol pintu, kemudian menyentuh mata, mulut atau wajah mereka.

Seorang kanak-kanak lebih berisiko untuk terkena penyakit ini jika berada di sekitar individu yang menghidapnya dan tidak mempunyai vaksin beguk.

Simptom sakit beguk

Simptomnya boleh berbeza bagi setiap kanak-kanak yang dijangkiti. Ia mungkin mengambil masa antara 16 hingga 18 hari untuk mengembangkan tanda setelah bersentuhan dengan penyakit ini.

beguk leher

Antara gejala beguk leher paling biasa adalah:

#Fasa awal

#Dalam tempoh 24 jam selain daripada gejala sakit beguk di atas

  • Sakit telinga atau muka
  • Kesakitan lebih teruk semasa mengunyah
  • Rasa sakit meningkat dengan pengambilan makanan yang menyebabkan peningkatan air liur seperti makanan masam

#Tempoh 24 jam seterusnya

  • Bengkak pada salah satu kelenjar air liur yang terletak pada sisi wajah, berhampiran bahagian telinga luar. Mungkin menyebabkan seluruh pipi bengkak
  • Untuk kes jarang berlaku menyebabkan bengkak di kedua-dua kelenjar air liur lain – di bawah lidah dan di bawah dagu

Jika demam anak berlanjutan lebih 3 hari, bengkak lebih daripada seminggu dan menyakitkan, bawa anak berjumpa doktor segera.

Baca juga:

Merawat sakit beguk

Umumnya, kaedah rawatan adalah bergantung kepada simptom, usia dan tahap kesihatan keseluruhan anak. Ia juga bergantung kepada keterukan tahap penyakit ini.

Antibiotik tidak digunakan untuk merawat beguk leher dan biasanya rawatan dilakukan untuk membantu meredakan gejala yang dialami.

Anda boleh membantu meredakan ketidakselesaan yang dialami anak dengan cara:

Memantau dan merawat demam akibat penyakit beguk

Sekiranya anak demam atau sakit, anda boleh memberikan mereka acetaminophen atau ibuprofen. Tetapi bagi anak di bawah usia 6 bulan, hanya diberikan jika doktor membenarkannya.

Jangan memberikan aspirin kepada anak kerana ia boleh mengakibatkan masalah kesihatan serius dikenali sebagai sindrom Reye.

Berikan mampatan hangat atau sejuk pada kelenjar untuk melegakan kesakitan.

Pengambilan cecair

Tawarkan anak dengan sakit beguk pengambilan air secukupnya bagi memastikan mereka kekal terhidrasi.

beguk leher

Pengasingan dan rehat

Anak tidak boleh ke sekolah atau dihantar ke pusat asuhan selama 5 hari setelah kelenjar mula membengkak.

Komplikasi beguk leher

Komplikasi penyakit ini lebih kerap terjadi kepada individu dewasa berbanding kanak-kanak. Antaranya:

Meningitis

Keradangan membran yang menutupi otak dan saraf tunjang. Gejala yang mungkin dialami:

Encephalitis

Merupakan masalah berkaitan keradangan otak.

Orchitis

Adalah keradangan buah zakar. Ia menyebabkan kesakitan pada bahagian tersebut. Dalam kes jarang berlaku, boleh mengakibatkan kemandulan.

Antara simptomnya adalah:

  • Demam
  • Menggigil
  • Sakit kepala
  • Mual dan muntah
  • Sakit perut
  • Bengkak pada salah satu atau kedua-dua testis
Mastitis

Salah satu komplikasi sakit beguk adalah mastitis – masalah berkaitan keradangan tisu payudara.

Ooforitis

Keradangan ovari. Antara simptomnya:

  • Demam
  • Sakit perut dan sensasi menyucuk
  • Mual dan muntah
  • Sakit pada sebelah bahagian pelvis atau kedua-duanya
Komplikasi beguk leher, pancreatitis

Melibatkan keradangan pada pankreas. Ia komplikasi jarang berlaku tetapi serius.

Antara simptomnya seperti:

  • Kesakitan teruk pada perut
  • Demam
  • Menggigil
  • Muntah
  • Lemah badan
Pekak

Kehilangan pendengaran boleh berlaku pada sebelah atau kedua-dua belah telinga. Ia jarang berlaku tetapi boleh mengakibatkan kehilangan kekal.

Masalah jantung

Jarang terjadi tetapi ia boleh mengakibatkan degupan jantung tidak normal dan penyakit pada otot jantung.

beguk leher

Mencegah beguk leher

Cara utama untuk mencegah penyakit beguk ini adalah melalui pemberian kombinasi vaksin untuk campak, beguk dan rubella – MMR.

Suntikan vaksin 2 dos MRR dapat memberikan imunisasi bagi kebanyakan kanak-kanak seumur hidup.

Berdasarkan Program Imunisasi Kebangsaan, dos pertama akan diberikan ketika anak berusia 9 bulan dan dos kedua ketika anak berusia setahun.

Langkah mencegah beguk daripada menular kepada individu lain adalah dengan:

  • Mengasingkan anak daripada sekolah atau pusat jagaan sehingga gejala hilang
  • Basuh tangan anda dengan baik sebelum dan selepas merawat anak yang sakit
  • Pastikan ahli keluarga lain turut mengamalkan mencuci tangan, khususnya sebelum makan
  • Minta anak untuk menutup mulut dan hidung ketika batuk dan bersin
  • Bersihkan permukaan keras, mainan dan tombol pintu dengan pembasmi kuman

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

Mumps Symptoms & Causes, https://www.childrenshospital.org/conditions-and-treatments/conditions/m/mumps/symptoms-and-causes, accessed on Sept 2, 2021

Mumps, https://www.aboutkidshealth.ca/Article?contentid=753&language=English,accessed on Sept 2, 2021

Mumps in Children, https://www.cedars-sinai.org/health-library/diseases-and-conditions—pediatrics/m/mumps-in-children.html, accessed on Sept 2, 2021

Mumps, https://www.nhs.uk/conditions/mumps/, accessed on Sept 2, 2021

Protect Your Child with Mumps Vaccine, https://www.cdc.gov/mumps/vaccination.html, accessed on Sept 2, 2021

Mumps, https://www.kidshealth.org/en/parents/mumps.html, accessed on Sept 2, 2021

Mumps, https://www.cdc.gov/mumps/index.html, accessed on Sept 2, 2021

Jadual Imunisasi, http://www.myhealth.gov.my/jadual-imunisasi/ , accessed on Sept 2, 2021

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 20/09/2021
Fakta Disemak oleh Nurul Halifah