Jangan rasa terasing jika anda mempunyai anak sindrom Down. Di Malaysia, ia berlaku dalam setiap 1 daripada 950 kelahiran, lebih kurang sekitar 30,000 bayi. Anda bukan keseorangan. Sindrom ini merupakan antara gangguan genetik paling kerap berlaku di dunia.
Tiada siapa yang boleh menafikan cabaran dalam membesarkan anak istimewa ini. Namun, ia adalah tidak mustahil. Mari kita lihat panduan atau tip yang boleh dipelajari dalam membesarkan anak sindrom Down.
1. Itu adalah anak anda
Anda bukannya melahirkan bayi “sindrom Down”, tetapi anak anda sendiri. Bayi tersebut adalah insan luar biasa yang akan menjadi teman dan tempat anda mencurahkan kasih sayang. Anda tidak perlu untuk menyanyangi sindrom Down untuk menyanyangi anak anda. Cukuplah dengan fakta bahawa itu adalah anak anda untuk melahirkan rasa cinta dan jangan hiraukan label yang diberikan.
2. Anak anda akan membesar seperti bayi lain
Perkara paling penting adalah untuk tidak membandingkan anak anda dengan anak-anak lain yang sebaya dengannya. Anak anda membesar dengan caranya tersendiri yang unik. Perbezaan tersebut adalah normal baginya.
Fokuskan pada apa yang telah berjaya dilakukan olehnya. Memang sedikit lambat tapi akhirnya dia akan mencapainya juga.
3. Terdapat banyak bantuan dan kemudahan
Jangan bimbang. Banyak cara yang tersedia untuk membantu anda. Sesetengah sekolah awam menyediakan kelas pendidikan khas untuk anak-anak istimewa. Selain itu, terdapat juga Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang terletak di daerah-daerah seluruh negara.
Banyak juga komuniti yang berkongsi dan membela nasib penghidap sindrom Down. Ini termasuk:
4. Cari kecantikan pada anak anda
Buang jauh-jauh stereotaip anda terhadap anak sindrom Down. Mereka sebenarnya sangat cantik dan comel serta menghiburkan hati. Senyumannya yang manis mampu menghilangkan keletihan anda. Jari pendeknya begitu comel dan lembut apabila dipegang. Anda hanya perlu cari kecantikan tersebut.
5. Jadikan kekecewaan sebagai motivasi untuk memperbaiki cara didikan anda
Sudah tentu akan ada episod putus asa dan kecewa apabila segalanya seolah-olah tidak menjadi. Berbanding terus dihumban rasa kecewa, jadikan ia sebagai motivasi untuk lebih kreatif dalam mendidik mereka. Cuba tingkatkan ilmu dan skil anda melalui pembacaan, kursus dan latihan.
6. Diagnosis tersebut bukanlah segala-galanya di dalam hidup
Hidup ini jauh lebih luas. Ada masa anda gembira dan tersenyum, ada masa juga anda bersedih dan menangis. Semua itu mungkin tidak ada kaitan pun dengan diagnosis, ujian atau isu tentang anak anda. Jangan biarkan hidup anda dikuasai oleh kata-kata orang. Anda akan menemui terlalu banyak sebab untuk terus bergembira dengan apa yang anda miliki.
[embed-health-tool-child-growth-chart]