Adalah sukar bagi ibu bapa dan penjaga untuk menentukan bila mereka patut mula mengajar kanak-kanak mengenai keselamatan diri. Adalah lebih sukar untuk memulakan topik tentang pemangsa yang mungkin mengambil kesempatan terhadap mereka. Pun begitu, melihatkan epidemik pedofilia yang semakin meluas dan mula memberi kesan kepada kanak-kanak di sekolah, tempat awam atau di dunia digital, mengajar anak anda tentang langkah keselamatan yang perlu dilakukan adalah satu keperluan sedari usia kecil lagi. Sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat patut menjadi pengetahuan asas bagi setiap kanak-kanak. Berbekalkan pengetahuan ini, mereka akan lebih bersedia untuk melindungi diri mereka.
Ajar kanak-kanak nama semua bahagian tubuh mereka, termasuklah bahagian sulit
Kanak-kanak sering merasa sukar untuk memberitahu orang dewasa mengenai penderaan seksual kerana mereka tidak tahu perkataan yang patut digunakan. Mempelajari istilah yang betul (anatomi) terhadap bahagian sulit mereka memberikan kanak-kanak kosa kata yang mereka perlukan dan membantu mereka tahu bahawa tidak mengapa untuk bercakap tentang bahagian badan mereka. Apabila mengajar anak-anak kecil bahagian tubuh yang berbeza, gunakan perkataan yang betul untuk bahagian sulit mereka seperti kemaluan dan punggung.
Anda boleh memberikan lebih banyak maklumat kepada anak yang lebih tua, kerana mereka dapat memahami lebih lanjut. Mengajarkan anak anda nama bahagian sulit mereka sepertimana nama anggota tubuh mereka yang lain membuatkan anak anda percaya tiada apa yang memalukan jika melaporkan tentang sebarang sentuhan pada bahagian tersebut (bahagian sentuhan tidak selamat).
Ajar kanak-kanak “Anda adalah bos badan anda”
Ajar anak anda untuk memahami bahawa mereka berhak menentukan siapa yang menyentuh mereka dan bagaimana. Wujudkan suasana rumah yang menghormati hak peribadi masing-masing termasuklah tubuh badan anak-anak anda. Bina latihan bersama mereka untuk belajar mengekspresikan diri, sebagai contoh, anak anda mungkin menyatakan kepada adiknya “Kakak tidak suka adik bermain rambut kakak, tolong berhenti,”. Anda sebagai ibu bapa atau penjaga juga perlu segera menghormati hasrat mereka untuk tidak disentuh dengan cara tertentu.”Kakak tak mahu emak dukung sekarang? Baiklah”. Semasa anda mengawasi interaksi anak-anak anda, jelaskan bahawa mereka perlu berhenti menggeletek atau menggasak adik-beradik yang lain jika ada yang berkata “Hentikan! ”