Petanda anda perlu berjumpa doktor dengan segera
Namun begitu, anda perlu segera berjumpa doktor sekiranya anda terjatuh dalam keadaan yang teruk. Doktor akan memeriksa keadaan kandungan anda dengan menggunakan EFM serta melihat sebarang tanda berlakunya keguguran. Anda perlu peka dengan kondisi tubuh badan anda sejurus selepas anda terjatuh. Berikut merupakan simptom-simptom yang memerlukan anda untuk berjumpa doktor dengan segera untuk mendapatkan rawatan:
- Hentakan kuat berlaku pada perut
- Kesakitan pada abdomen, rahim atau pelvis
- Pening kepala dan muntah-muntah
- Pendarahan vagina atau air ketuban pecah
- Kontraksi pada rahim
- Pergerakan janin semakin lemah
- Sesak nafas
Implikasi ibu hamil terjatuh semasa hamil
Kejadian terjatuh semasa hamil sememangnya akan mendatangkan implikasi terhadap kawasan yang terlibat. Lebam, calar atau kesakitan yang sementara merupakan kesan yang tidak serius selepas kejadian ini berlaku. Walaubagaimanapun, terdapat juga kesan jangka masa panjang kejadian ini terutamanya pada lewa kehamilan kerana ia mampu membawa kepada kelahiran bayi pra matang.
Meskipun kesan jangka masa panjang ini tidak akan terlihat serta-merta, namun ia dapat dilihat secara berperingkat. Selain itu, kejadian ibu hamil terjatuh ini mungin merupakan petanda penyakit atau kondisi perubatan yang lain. Pembengkakan pada tangan dan pergelangan kaki juga mungkin menunjukkan anda mengalami oedema.
Perubahan bentuk dan pertambahan berat badan juga menjadi punca perubahan titik graviti dan kesukaran untuk anda menyeimbangkan badan. Anda tidak perlu risau sekiranya anda terjatuh semasa hamil kerana dalam kebanyakan kes, bayi anda akan selamat. Namun begitu, anda perlu cepat bertindak sekiranya anda dapat melihat simptom-simptom atau petanda yang memerlukan anda berjumpa doktor dengan segera bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.