Walaupun buah buahan tempatan boleh dikatakan agak sedap dan menarik, namun tidak ramai kanak-kanak yang menyukainya. Apatah lagi jika ibu bapa tidak membiasakan anak makan buah, lama-kelamaan mereka akan kurang memakannya meskipun terdapat banyak kebaikan makan buah buahan.
Apa kata anda ikuti tip didik anak minat makan buah yang dikongsikan oleh ibu ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Keibubapaan, anda boleh klik di sini.
Muhammad Nawfal, anak yang pandai berdikari
Pasangan suami isteri iaitu Puan Nurul Najibah Muhamad Yusoff dan suaminya, Mohd Saifulamry Dolah Sajad telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki sejak mendirikan rumah tangga mereka.
Anak sulungnya ini dinamakan Muhammad Nawfal atau lebih mesra dikenali sebagai Nawfal sahaja.
Kini, Nawfal sudah pun berusia 3 tahun.
Menurut Nurul Najibah, anaknya ini boleh dikatakan sebagai seorang yang pandai berdikari.
Walau bagaimanapun, Nawfal juga mempunyai karakter yang agak manja.
Dapat banyak nasihat daripada group ibu mengandung
Sewaktu mengandungkan anak pertamanya itu, Nurul Najibah banyak menyertai kumpulan atau group sokongan untuk ibu-ibu hamil.
Melalui kumpulan tersebutlah, dia mendapat banyak panduan berguna untuk menyokong fasa kehamilan serta kelahiran bayi.
Bermula daripada itu, dia juga banyak mendapat idea perkongsian daripada ibu-ibu lain berkenaan pemakanan anak setelah mencapai usia 6 bulan.
Menurut Nurul Najibah,
“Nawfal dilahirkan dan membesar di Mesir, jadi pelbagai jenis buah buahan tempatan mudah untuk didapati. Saya mula memberikan Nawfal snacking buah semenjak dia boleh makan dengan mengisar buah-buahan sehinggalah dia boleh memegang buah dengan tangannya sendiri”.
Ini 3 tip galakkan anak makan buah buahan tempatan
Berdasarkan pengalaman Nurul Najibah membesarkan Nawfal di negara orang, terdapat tiga kaedah paling penting untuk menggalakkan minat anak makan buah.
Tiga tip tersebut ialah:
#1. Perkenalkan buah sejak awal
Menurut ibu ini, dia dan suami sudah mula memperkenalkan buah buahan tempatan kepada Nawfal sejak awal lagi.
Seingatnya, dia telah cuba mengajarkan anaknya mengenali buah bermula selepas anaknya itu sudah boleh makan.
Walaupun agak awal, ia sebenarnya adalah fasa yang amat penting untuk anak mula mengenali jenis makanan yang sihat dan patut dimakan setiap hari.
#2. Kenalkan buah kepada anak sebelum usia 2 tahun
Berdasarkan pengalaman Nurul Najibah, Nawfal tidak gemar atau sukar untuk makan buah-buahan yang tidak dikenalinya selepas umur 2 tahun.
Hal ini berkemungkinan disebabkan masih tidak biasa atau agak sukar menerima buah-buahan tersebut.
Oleh itu, amat penting untuk ibu bapa mula memperkenalkan buah-buahan tempatan kepada anak sebelum mereka mencapai usia 2 tahun.
Ini supaya anak lebih biasa dengan buah-buahan tersebut sebelum mula mengenali jenis makanan yang lain.
#3. Makan buah bersama anak
Antara rutin atau amalan yang biasa dilakukan oleh suami isteri ini adalah dengan membiasakan makan buah di hadapan anak.
Untuk menarik minat anak makan buah, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh terlebih dahulu dengan kerap memakan buah.
Kesannya, anak juga akan mula mencontohi rutin memakan buah dan akan menimbulkan minat mereka untuk kerap mengambil buah setiap hari.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Anak cepat sembuh bila selalu makan buah buahan tempatan!
Ramai ibu bapa yang mungkin terlepas pandang mengenai hal ini. Sebenarnya, anak akan mudah sembuh daripada sakit ketika diberikan makan buah buahan tempatan.
Apabila kita sudah mendidik anak untuk minat makan buah, ia bukanlah satu masalah yang besar untuk meminta anak makan buah sewaktu mereka sedang sakit.
Ini kerana, anak yang kurang sihat memerlukan makanan segera yang bernutrisi tinggi agar mereka cepat sembuh.
Selain itu, tidak dinafikan bahawa antara kebaikan makan buah buahan adalah dapat memberikan kandungan vitamin yang mencukupi setiap hari kepada mereka.
Agak leceh bila berikan buah yang berair dan berbiji
Salah satu cabaran utama yang dilalui oleh Nurul Najibah ialah sewaktu memberikan anak makan buah yang berair dan berbiji.
Untuk jenis buah berair seperti tembikai, anak akan menjadi agak comot selain bersepah ketika dimakan.
Bagi jenis buah yang berbiji kecil pula, dia perlu memastikan tiada biji buah yang melekat pada isinya sebelum memberikannya kepada Nawfal.
Ini untuk memastikan agar tiada sebarang kejadian yang tidak diingini sewaktu anak makan buah.