Melihat anak makan bersepah pasti membuatkan ramai ibu bapa yang ‘naik angin’. Mana tidaknya, sudahlah anak tidak makan dan bermain-main dengan makanan yang diberikan, sesudah itu mereka siap mengotorkan lagi mulut, baju dan ruang makan mereka.
Sesetengah ibu bapa pula, apabila melihat makanan bersepah dan anak comot, mereka lebih rela menyuapkan anak makan berbanding membiarkan anak makan sendiri. Tambahan lagi jika ibu bapa membawa anak makan di luar. Sabar! Jika anda tahu kebaikan jika membiarkan anak makan bersepah, pasti anda membiarkan si kecil berkelakuan sebegitu.
Kanak-kanak yang baru belajar makan sendiri akan makan bersepah kerana kemahiran motor dan mengunyah mereka masih belum berkembang sepenuhnya. Selain itu, anak kecil makan bersepah kerana mereka ingin menyentuh, menghidu, merasa dan bermain dengan makanan mereka. Kanak-kanak pada usia sebegini gemar bereksperimen dengan benda di sekeliling mereka.
Manfaat anak makan bersepah
Kajian yang dilakukan di University of Iowa mendapati, semakin bersepah tempat makan kanak-kanak, semakin banyak yang dia pelajari. Oleh itu, usahlah ibu bapa gusar melihat anak makan bersepah. Ini kerana, dalam kajian tersebut, penyelidik mendapati bahawa kanak-kanak yang sudah biasa diberikan ruang makan sendiri lebih cepat belajar dalam jangka panjang.
Menurut Journal of Developmental Science, anak kecil yang sering diberikan jenis makanan yang berjuntai, lembik dan sedikit cair akan lebih bijak kerana mereka belajar menggunakan semua deria termasuklah menyentuh, merasa, mengecam dan melempar. Kanak-kanak ini bukan hanya mengenali bentuk dan ukuran makanan, tetapi juga mereka dapat mengenal pasti tekstur makanan tersebut.
Meskipun kelakuan ‘makan sambil bermain’ dapat menjadikan si kecil cepat belajar, namun anda tidak boleh terus membiarkan anak anda selama-lamanya bermain dengan makanan. Anda perlu mengajarnya untuk memasukkan makanan betul-betul ke dalam mulutnya, secara berperingkat. Selain itu, anda juga perlu melatih si kecil untuk makan di kerusi bayi (high-chair) bagi mengurangkan makanan bersepah. Cari kerusi yang mempunyai tali pinggang atau penghadang di sekelilingnya bagi mengelakkan anak anda terjatuh.
Selain itu, bagi mengelakkan anak anda terus comot semasa makan, letakkan bib atau tuala makan pada lehernya dan alas kerusi atau meja makan bayi anda dengan plastik.
Tips galakkan anak makan sendiri
- Temani si kecil semasa dia sedang makan.
- Berikan masa untuknya menikmati makanannya.
- Berikan pujian jika dia berjaya mengurangkan sepahan di ruang makannya.
[embed-health-tool-child-growth-chart]