Bermain buaian taman permainan boleh membantu anak membesar dan berkembang dalam pelbagai aspek. Untuk berhayun lebih tinggi, mereka mesti mengembangkan teknik tertentu melalui latihan dan ketekunan.
Tetapi apa perkara penting berkaitan aspek keselamatan yang perlu parents perhatikan sebelum membenarkan anak bermain di taman permainan ya?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Manfaat bermain buaian taman permainan
Bagi membolehkan anak menghayunkan diri dengan betul, ia memerlukan diri mereka untuk menyelaraskan beberapa kumpulan otot sekali gus.
Kesannya, faedah terbesar untuk bermain buaian adalah aktiviti fizikal dan senaman dalam mengendalikan peralatan permainan.
Lengan dan bahagian atas badan akan memegang rantai buaian, mengimbangi perut dan menyokong badan.
Manakala bahagian kaki pula digunakan untuk menjana momentum bagi menghasilkan lonjakan dan mendorong buaian berhayun.
Di samping itu, peningkatan kadar denyutan jantung dan pernafasan dapat menguatkan jantung, paru-paru, tulang dan otot bagi membantu meningkatkan tindak balas imun badan dan prestasi kardiovaskular.
Sebarang peningkatan dalam prestasi kardiovaskular akan meningkatkan aliran darah ke otak anak yang boleh membantu dalam penumpuan, tahap tenaga dan prestasi kognitif.
Baca juga:
Gerakan hayunan buaian taman membantu badan untuk mengetahui bagaimana rasanya berada di udara yang disebut sebagai proprioception.
Proprioception merupakan bahagian penting dalam memahami bagaimana tubuh boleh dan harus bergerak untuk berinteraksi dengan persekitaran sekeliling kita.
Berhayun ke depan dan belakang sentiasa melibatkan sistem keseimbangan telinga dalam untuk memahami bagaimana kedudukan badan berubah.
Ini memberikan otak anak latihan hebat untuk memahami cara menyeimbangkan badan dalam kedudukan berbeza.
Secara mudahnya faedah bermain buaian bukan sekadar untuk fizikal semata-mata. Bahkan ia menawarkan manfaat lain seperti perkembangan sosial, kemahiran deria dan emosi anak.
Tetapi sebelum membenarkan anak bermain buaian di playground, beberapa aspek keselamatan perlu anda perhatikan.
Petua keselamatan buaian taman
Buaian adalah antara punca kecederaan kanak-kanak paling biasa semasa bermain di taman permainan.
Tetapi beberapa langkah berjaga-jaga boleh diambil bagi membantu memastikan anak dapat berhayun dengan selamat.
- Buaian perlulah diperbuat daripada bahan lembut seperti getah atau plastik dan bukannya material kayu mahupun logam
- Anak yang ingin bermain buaian perlu sentiasa berada dalam keadaan duduk, bukannya berdiri atau melutut. Mereka harus berpegang erat kepada rantai dengan kedua-dua belah tangan semasa berhayun dan memastikan buaian berhenti sepenuhnya sebelum turun
- Pastikan kanak-kanak lain berada dalam jarak selamat semasa anak bermain dalam buaian. Elakkan daripada membiarkan kanak-kanak berlari atau berjalan di hadapan atau belakang semasa buaian berhayun
- Pastikan hanya seorang anak yang bermain buaian pada satu-satu masa. Ini kerana alat permainan ini direka untuk menampung seorang individu sahaja dengan selamat
- Penutup rantai dan kabel boleh menjadi bahagian pertama sebagai petanda buaian tidak lagi sesuai untuk dinaiki. Jadi pastikan anda memeriksa terlebih dahulu sebelum membenarkan anak bermain buaian
Tip keselamatan lain di playground selain buaian taman
Sudah tentu apabila ke taman permainan, anak juga akan bermain permainan lain selain buaian, betul tak? Jadi terdapat beberapa aspek keselamatan yang perlu anda fahami.
Cara terbaik untuk membantu anak mengelakkan lebam atau mengalami kecederaan semasa bermain adalah dengan sentiasa mengawasi mereka.
Sentiasa berada berdekatan dengan anak, terutamanya apabila mereka ingin mencuba sesuatu peralatan permainan yang baharu atau rumit.
Dengan cara ini anda boleh memastikan anak bermain secara selamat dan memberikan keyakinan diri kepada mereka untuk mengembangkan kemahiran pergerakan.
Selain itu, perkara penting lain yang boleh diberikan perhatian adalah dengan memilih aktiviti dan peralatan yang bersesuaian dengan kemahiran dan kebolehan anak.
Garis panduan berikut boleh membantu apabila anda perlu memutuskan peralatan permainan yang terbaik untuk anak:
- Jika anak berumur di bawah 3 tahun, cuba untuk bermain pada peralatan di taman permainan yang ketinggiannya kurang daripada 1 meter
- Jika anak berumur 3-5 tahun, cuba untuk bermain pada peralatan taman permainan yang ketinggiannya kurang daripada 1.5 meter
- Jika anak anda berumur lebih daripada 5 tahun, biarkan mereka bermain dengan peralatan yang tidak lebih tinggi daripada 2 meter dari tanah
Memberikan anak banyak peluang untuk bermain dan melakukan aktiviti fizikal, membolehkan mereka mengembangkan kemahiran yang diperlukan untuk menggunakan dan bermain monkey bars, bingkai memanjat, buaian taman permainan dan gelongsor dengan selamat.
Sebagai contoh, apabila anak sudah boleh memanjat dengan yakin, mereka boleh mencuba untuk menaiki tangga pendek menuju ke gelongsor dengan sokongan anda.
Kesimpulan
Bermain di taman permainan sangat bagus untuk perkembangan fizikal, sosial dan pemikiran anak.
Walau bagaimanapun anda perlu memastikan anak sentiasa berada dalam keadaan selamat. Ini kerana wujud risiko untuk mengalami kecederaan kecil seperti luka dan lebam diiringi tangisan air mata.
Dalam kes yang jarang berlaku, jatuh ketika bermain menggunakan peralatan di taman permainan boleh menyebabkan kecederaan lebih serius.
Kanak-kanak paling kerap mengalami kecederaan terjatuh akibat peralatan permainan memanjat seperti monkey bars yang kebanyakannya tinggi. Namun ada juga kanak-kanak yang cedera apabila terjatuh semasa bermain gelongsor atau buaian taman.
Risiko kecederaan adalah besar untuk anak kecil kerana mereka masih dalam proses mengembangkan koordinasi fizikal dan kekuatan otot.
Jadi pastikan anak sentiasa berhati-hati, okay?
[embed-health-tool-child-growth-chart]