backup og meta

Ini Jarak Bayi Dapat Lihat Dengan Jelas, Barulah Puas Si Manja Tatap Wajah Mama Papa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/05/2022

    Ini Jarak Bayi Dapat Lihat Dengan Jelas, Barulah Puas Si Manja Tatap Wajah Mama Papa

    Untuk tahun pertama kehidupan, penglihatan si manja akan berkembang cepat tetapi berbeza berbanding individu dewasa. Ini yang perlu anda fahami mengenai penglihatan bayi baru lahir.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Perkembangan penglihatan bayi baru lahir 

    Semasa di dalam kandungan lagi, bayi sudah boleh membezakan antara cahaya terang dan gelap.

    Selepas dilahirkan, mereka akan melihat bentuk dengan mengikut garis di mana cahaya terang dan gelap bertemu.

    Pun begitu, si manja memerlukan tempoh beberapa minggu sebelum melihat warna pertama mereka iaitu merah. 

    Umumnya, pada minggu dan bulan pertama, bayi belajar menggunakan mata – atau lebih tepat mata mereka ‘belajar’ bagaimana untuk melihat. 

    Walaupun setiap mata mempunyai struktur fizikal yang diperlukan untuk melihat secara normal, namun kedua-dua belah mata masih perlu belajar untuk ‘bekerjasama’. 

    Binocular vision ini cenderung untuk berkembang dengan pantas bagi tempoh beberapa minggu dan bulan pertama kehidupan. 

    Ayuh, kita mendalami beberapa fakta menarik penglihatan bayi baru lahir!

    Penglihatan bayi baru lahir: Perkembangan 3 bulan pertama

    Bayi yang baru lahir hanya boleh memusatkan jarak penglihatan mereka sekitar 8 hingga 12 inci daripada wajah mereka. 

    Ini adalah jarak terbaik untuk menatap wajah ibu dan ayah yang merupakan kegemaran si kecil.

    Untuk jarak yang lebih jauh daripada itu, bayi hanya akan dapat melihat bentuk kabur kerana mereka pada ketika ini adalah rabun jauh!

    Secara amnya, bayi hanya akan dapat melihat warna hitam, putih dan kelabu. Tak ubah seperti siaran televisyen lama, bukan?

    penglihatan bayi baru lahir

    Penglihatan bayi baru lahir: Bila bayi mula dapat melihat dengan jelas?

    Persepsi kedalaman dan koordinasi tangan-mata bayi  hanya akan mula berkembang apabila mereka mencapai usia sekitar 5 bulan. 

    Pada usia 4 hingga 6 bulan, bayi akan mula mencapai dan menyentuh objek. Jika sebelum ini si manja mungkin mencapai sesuatu daripada anda, ia hanyalah berlaku secara kebetulan.

    Anda mungkin pernah mendengar istilah penglihatan 20/20, yang dianggap sebagai ketajaman penglihatan normal, betul tak?

    Walau bagaimanapun, pada usia 6 bulan, ketajaman penglihatan si manja hanya pada sekitar 20/100.

    Anak akan dapat mencapai tahap ketajaman penglihatan individu dewasa sehingga mereka berusia 4 atau 5 tahun.

    Anda akan melihat bagaimana penglihatan menjadi elemen penting dalam kemampuan bayi untuk menyelaraskan pengerakan seluruh tubuh seperti berdiri dan berjalan

    penglihatan bayi baru lahir

    Perkembangan koordinasi mata

    Menjelang usia 8 hingga 12 bulan, si manja semakin menghampiri ulang tahun pertama kelahirannya, koordinasi antara mata, pergerakan dan memori adalah sangat kuat.

    Anda pastinya menyedari peningkatan luar biasa si manja dalam kemampuannya untuk menggolekkan bola, mengambil mainan dan barangan kecil serta menyuap diri sendiri makanan seperti bijirin atau hirisan buah.

    Sebarang aktiviti yang mendorong koordinasi mata-tangan bayi, seperti bermain susunan kotak atau blok, boleh membantu mendorong memperkuatkan kemampuan bayi untuk melihat, menyentuh dan mengingati perkara tertentu mengenainya.

    Baca juga:

    Penglihatan bayi baru lahir: Aspek kesihatan

    Bagaimana pula aspek penjagaan kesihatan mata si kecil?

    Sudah tentu cara terbaik untuk menjaga tahap kesihatan mata mereka adalah melalui pemeriksaan mata profesional secara berkala.

    Jadi ibu ayah perlu membawa bayi untuk berjumpa pakar pediatrik atau pakar mata bertauliah, sejurus selepas bayi dilahirkan. 

    Kebaikan penyusuan untuk mata

    Dalam kajian perbandingan, si manja menyusu badan menunjukkan ketajaman penglihatan lebih baik berbanding dengan bayi yang diberikan susu formula.

    Penemuan ini amat ketara bagi bayi pramatang.

    Kehadiran bahan kimia yang dikenali sebagai asid docosahexaenoic (DHA) dalam susu ibu mungkin menjadi antara penyumbang untuk kelebihan ini. 

    DHA adalah salah satu komponen struktur utama retina mata.

    Sama seperti tisu, semakin banyak nutrien yang diberikan maka tisu akan tumbuh dan berfungsi dengan baik. Begitu juga keadaannya dengan fungsi retina.

    penglihatan bayi baru lahir

    Merangsang perkembangan penglihatan bayi baru lahir 

    Pada tahun pertama, otak dan mata si manja akan mula menyelaraskan gambar dan mengingati apa yang dilihatnya. 

    Sebagai ibu bapa, anda boleh memainkan peranan penting dalam membantu perkembangan dan kesihatan mata si manja yang baru lahir.

    Ini kerana seawal minggu pertama, bayi akan mula bertindak balas terhadap pergerakan dan mula fokus pada wajah anda.

    Dengan memberikan rangsangan betul, anda dapat meningkatkan rasa ingin tahu, jangka masa perhatian, ingatan dan perkembangan sistem saraf bayi.

    Selain wajah manusia, warna terang, corak kontras dan pergerakan adalah perkara yang paling disukai bayi baru lahir.

    Pastikan si manja mempunyai banyak perkara menarik untuk dilihat setiap hari, seperti pemandangan di taman pada waktu petang.

    Gambar atau sebarang mainan berwarna hitam putih akan dapat menarik minat bayi untuk tempoh yang lebih lama berbanding objek sama dengan warna lebih bervariasi.

    Tidak lama lagi bayi akan tersenyum apabila anda menghampiri mereka.

    Bukankah itu momen yang paling mengujakan bagi setiap ibu bapa? 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan