Menurut pakar, bayi tidak mendiskriminasikan bahasa sehingga usia mereka 6 bulan, malahan bayi juga tidak memilih tentang jenis muzik. Namun, apabila bayi berusia 10 hingga 12 bulan, mereka akan mula menunjukkan kegemaran mereka terhadap pilihan muzik yang biasa ibu dan bapa mereka minati. Contohnya, jika anda kerap mendengar muzik jazz semasa memasak, si comel anda mungkin akan tertarik kepada muzik jazz.
Selain itu, ada juga pakar yang mencadangkan muzik klasik untuk diperdengarkan kepada bayi. Ini kerana muzik klasik mempunyai struktur muzik yang lebih kompleks. Bayi seawal usia tiga bulan lagi sudah boleh memilih struktur dan juga mengenali pilihan muzik klasik yang pernah didendangkan kepada mereka.
Malahan itu, penyelidik juga percaya bahawa kerumitan muzik klasik mampu menjana otak untuk menyelesaikan masalah spatial dengan lebih cepat. Jadi, dengan memperdengarkan anak anda kepada muzik klasik dapat memberikan kesan yang berbeza kepada otaknya, berbanding jika anda memperdengarkan si comel kepada jenis muzik lain.
Permainan susun suai gambar & perkembangan bayi

Selain muzik, permainan susu suai gambar atau ‘jigsaw puzzle’ juga mampu membantu perkembangan bayi, atau lebih tepat lagi ketika mereka mula menjangkau usia kanak-kanak.
Apakah itu permainan susun suai gambar?
Permainan susun suai gambar merupakan sebuah permainan yang sangat bermanfaat dan sesuai dimainkan oleh kanak-kanak. Selain dapat mengisi masa lapang dengan permainan yang berfaedah, permainan susun suai gambar ini juga dapat membantu melatih fungsi otak anak anda. Oleh itu, segera kenalkan anak anda dengan permainan susun suai gambar dan ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai manfaatnya.
Menanam keyakinan diri anak anda
Permainan ini adalah sangat mencabar dan memerlukan skil dan strategi yang baik bagi anak anda menyelesaikannya. Sepanjang proses menyiapkan set permainan susun suai gambar ini, pelbagai kemahiran akan diperolehi oleh anak anda. Kejayaan anak anda dalam menyempurnakan suatu set susun suai gambar ini akan mendatangkan perasaan puas hati dan bangga terhadap diri mereka sendiri. Ini merupakan permulaan yang baik dalam usaha menanam keyakinan diri anak anda.
Meningkatkan tumpuan dan memori anak anda
Permainan ini dapat meningkatkan tumpuan anak anda. Ini kerana permainan ini memerlukan fokus yang sangat lama dalam meneliti dan mencari kepingan yang sesuai dalam permainan susun suai gambar ini. Selain itu, permainan ini juga dapat meningkatkan memori anak anda. Ini kerana kanak-kanak kebiasaannya gemar untuk bermain set permainan susun suai gambar yang sama lalu menyebabkan mereka mudah untuk mengingati setiap kepingan dalam suatu set permainan tersebut. Ini sekali gus dapat membantu dalam meningkatkan daya tumpuan dan ingatan anak anda.
Melatih kemahiran motor dan koordinasi anak anda
Permainan ini merupakan antara cara yang terbaik dan menarik untuk membantu melatih kemahiran motor anak anda. Ini kerana permainan ini memerlukan anak anda untuk memegang, mengangkat serta mencantum kepingan set permainan susun suai gambar ini setepatnya. Selain itu juga, permainan ini dapat melatih koordinasi mata dan tangan anak anda. Ini kerana permainan ini turut memerlukan manipulasi koordinasi mata dan tangan yang sesuai. Permainan ini akan menjadi latihan yang bagus untuk kemahiran menulis anak anda kelak.
Melatih kemahiran sosial anak anda
Kadangkala, permainan ini juga boleh dimainkan secara berkumpulan. Selain dapat menanam semangat bekerjasama dan berkomuniti, permainan ini secara tidak langsung dapat melatih anak anda untuk berkomunikasi antara satu sama lain dalam usaha mereka berbincang mengenai kesesuaian kepingan set permainan susun suai gambar yang dimainkan mereka. Ini sekali gus dapat melatih kemahiran sosial anak anda.
Mengajar anak anda erti kesabaran
Permainan ini adalah sangat mencabar dan memerlukan masa dan kesabaran yang sangat tinggi. Sepanjang proses mencantum dan menyempurnakan setiap kepingan set permainan susun suai gambar ini, anak anda akan mula mengajar diri mereka sendiri akan erti kesabaran. Secara tidak langsung juga, mereka turut akan menanam sikap tidak putus asa dalam diri.
Menajamkan skil penyelesaian masalah anak anda
Tentu sahaja permainan ini adalah tidak mudah bagi kanak-kanak. Mereka memerlukan pemikiran yang logik dan kreatif demi menyelesaikan masalah dalam set permainan susun suai gambar yang dimainkan mereka. Sepanjang bermain permainan ini, mereka dapat menajamkan skil penyelesaian masalah mereka menerusi pemikiran logik dan kreatif yang dapat digunakan untuk permainan susun suai gambar yang seterusnya. Skil ini juga sangat penting bagi menjalani kehidupan mereka dewasa kelak.
Menambahkan pengetahuan kognitif anak anda
Permainan ini boleh wujud dalam bentuk gambar yang pelbagai tema dan topik. Contohnya gambar haiwan, tumbuh-tumbuhan, kenderaan dan makanan. Selain itu juga, permainan ini turut mempunyai kepelbagaian dalam bentuk, warna malahan saiznya. Ini secara tidak langsung dapat merangsang kepekaan visual dan sekali gus menambahkan pengetahuan kognitif anak anda yang gemar bermain permainan ini.
Jika hendak dibandingkan dengan permainan dalam talian yang terdapat dalam komputer atau telefon pintar, permainan tradisi susun suai gambar ini merupakan pilihan terbaik untuk anak anda. Ini kerana permainan ini bukan sahaja dapat memberi hiburan malahan secara tidak langsung dapat mendidik dan melatih fizikal dan mental anak anda.
Untuk membiasakan mereka dengan permainan ini, mungkin anda boleh beri mereka bermain-main dan berjinak-jinak dengannya seawal usia bayi lagi! Cuma pastikan permainan tersebut tidak berbahaya buat mereka yang masih kecil.
Konklusi
Konklusinya, terdapat banyak perkembangan bayi berumur 3 tahun yang menarik dan seronok untuk anda lihat. Dari tahun ke tahun, anda sebagai ibu bapa boleh mencatatkan setiap perkembangan bayi anda untuk melihat tumbesarannya dari aspek mental dan fizikal. Sudah pasti ia akan mengujakan anda, bukan?
Sebagai ibu bapa, anda memainkan peranan yang penting dalam menjadi ‘role model’ mereka. Selain itu, anda juga boleh membantu mereka untuk menjadi kanak-kanak yang bijak dengan mendedahkannya kepada muzik dan juga permainan susun suai gambar. Kedua-duanya mampu memberi pelbagai impak yang positif terhadap perkembangan bayi anda.
Oleh itu, jadilah ibu bapa yang baik demi perkembangan bayi anda yang lebih sihat dan sejahtera!
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen