backup og meta

Anak Menangis Tak Nak Ke Taska? Ini Rahsia 3 Parent Layan 'Drama' Si Kecil!

Anak Menangis Tak Nak Ke Taska? Ini Rahsia 3 Parent Layan 'Drama' Si Kecil!

Anak menangis ke taska? Aduhai, susahnya nak melayan kerenah anak masuk sekolah. Kalau dilayankan, nanti makin teruk pula mereka meragam! Macam mana nak atasi masalah anak menangis teruk sebelum ke tadika atau pusat asuhan?

Kepada ibu bapa di luar sana, jangan bimbang! Untuk artikel kali ini, Hello Doktor telah menemu ramah 3 ibu bapa berbeza untuk mengetahui ‘rahsia’ mereka ketika menghantar anak ke tadika buat kali pertama.

Bak kata pepatah, ibu bapa perlulah berhati-hati seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak! Dalam ketegasan, emosi anak juga perlu dititikberatkan!

Mari ikuti pengalaman Puan Shavareena, Encik Hazwan dan Puan Fadzilah ketika menghantar anak masuk sekolah tadika buat kali pertama!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

Lakukan persediaan awal, pastikan anak tak terkejut! – Puan Shavareena

anak masuk sekolah
Anak-anak Puan Shavareena bersama lukisan dan hasil seni mereka.

Puan Shavareena merupakan ibu kepada 2 anak perempuan iaitu Qisha dan Qihara, masing-masing berusia 6 dan 8 tahun. Menurutnya, dia dan suami menghantar anak masuk sekolah pada usia yang berbeza – Qisha pada usia 4 tahun manakala Qihara pada usia 2 tahun.

Pada awalnya, Qisha sukar untuk menerima perubahan rutin yang dialami kerana ‘terpaksa’ berdikari secara tiba-tiba. Berjurai-jurai air mata turun pada awalnya kerana enggan ke tadika.

Tetapi, dia dan suami kuatkan juga semangat. Demi anak, mereka perlu bijak mengawal emosi. Tambah Shavareena lagi, pelbagai ‘janji palsu’ perlu ditabur semata-mata untuk pujuk anak tadika.

“Alhamdulillah, akhirnya kami nampak perubahan yang positif pada Qisha. Selepas seminggu ‘drama’ berlangsung, akhirnya anak tidak lagi menangis ke tadika. Malah, ada masa anak minta diambil lewat sedikit, mesti dah jumpa geng!”

Untuk mengelakkan masalah yang sama daripada berlaku semula, Shavareena mula menghantar anak keduanya Qihara seawal usia 2 tahun.

“Anak kedua saya, boleh dikatakan tak ada masalah langsung ke tadika. Seminggu sebelum anak masuk sekolah, saya dah mula bercerita macam-macam mengenai tadika – tentang kawan-kawan yang bakal dia jumpa, aktiviti yang bakal dilakukan supaya dia lebih faham mengenai situasi di tadika nanti.”

Shavareena menekankan kepentingan persediaan awal dalam membendung masalah anak tidak mahu ke tadika. Bawa anak melawat tadika lebih awal supaya anak lebih bersedia. Ibu juga boleh kongsi video dan gambar tadika untuk menarik minat anak ke sekolah.

Namun, tambah Shavareena lagi, jangan sesekali abaikan anak apabila dia mula buat perangai. Jangan lupa, anak menghabiskan banyak masa di sekolah.

“Kadangkala, kita tidak tahu apa yang dilalui mereka di tadika. Mungkin mereka tidak selesa namun tidak tahu untuk menyampaikannya secara lisan. Berbincang dengan pihak tadika jika mempunyai sebarang masalah. Lagipun, pihak tadika pasti akan membantu.”

Sabar ketika hantar anak masuk sekolah – Encik Hazwan

anak masuk sekolah
Encik Hazwan dan anaknya, Fatahul Fateh di tadika.

Berbeza pula dengan Encik Hazwan Afifi, bapa kepada Fatahul Fateh yang berusia 5 tahun. Menurut Hazwan, anak menangis ke taska itu perkara biasa. Namun, bapa perlulah lebih bijak dan sabar dalam mengatasi masalah ini.

Sebelum hantar anak masuk sekolah, Hazwan menggalakkan agar ibu bapa selidik latar belakang tadika terlebih dahulu. Kenali guru-guru di sana, lihat persekitaran sekolah dan sediakan barang keperluan anak seperti beg, uniform, botol air dan pelitup muka secukupnya.

Selain itu, persediaan dari segi kewangan juga penting. Dapatkan info mengenai yuran pendaftaran, yuran bulanan dan sebagainya supaya kita lebih bersedia.

Menurut Hazwan, cabaran utama yang dihadapi ialah ketika anak berdegil tidak mahu ke tadika. Kadang-kadang, anak akan buat-buat demam, hendak bercuti dan mahu berehat sahaja di rumah kerana enggan ke tadika.

“Alhamdulillah, jarak dari rumah ke tadika tidak jauh. Jadi, tiada kekangan masa untuk saya pergi dan balik. Kalau anak tidak mahu ke tadika, selalunya saya akan pujuk dan janjikan ganjaran tertentu untuk lembutkan hati anak.”

Tambah Hazwan lagi, selalunya dia akan bawa anak ke taman permainan, beli aiskrim atau belanja mainan jika Fatahul Fateh bersetuju untuk ke tadika. Apa yang penting, bapa perlulah pujuk secara berhemah dan bersabar dengan kerenah anak.

Dengar cerita anak. Kalau anak menangis, pasti ada sebab! – Puan Fadzilah

anak masuk sekolah

Kalau ibu bapa lain mula hantar anak masuk sekolah pada umur 2 hingga 4 tahun, Puan Fadzilah sudah mula hantar anaknya pada usia 2 bulan, sejurus selepas habis pantang!

Sama seperti Shavareena dan Hazwan, Fadzilah juga menekankan persediaan awal sebelum hantar anak ke tadika. Pastikan barang anak sentiasa cukup. Selain itu, peka juga mengenai kuantiti barang untuk elakkan kecurian.

Tetapi, menurut Fadzilah, kalau anak meragam, pasti ada puncanya. Siapa tahu, mungkin anak tidak selesa atau dibuli. Sebab itulah, penting untuk ibu bapa periksa badan anak sebelum dan selepas pulang dari tadika.

“Jangan terlalu bersangka baik dengan tadika. Kalau anak tak gembira, pasti ada sebabnya. Mungkin pengasuh garang atau anak dibuli dengan orang lain.

Jika boleh, selalulah jenguk anak di tadika atau pusat asuhan. Kadang-kadang, cuba buat ‘surprise’ dan datang awal sikit untuk lihat keadaan sebenar anak. Jika anak sudah besar, ajak mereka bersembang dan tanya mengenai hari mereka.”

Bercakap mengenai cabaran menghantar anak masuk sekolah atau pusat asuhan, anak menangis merupakan perkara biasa. Fadzilah sendiri terpaksa menukar tadika anak berkali-kali sebelum berjumpa tempat yang sesuai dengan anaknya.

“Rasa sedih juga jika terpaksa tinggalkan anak ketika cuti atau terpaksa kerja lebih masa. Malah, sebagai ibu, saya juga akan rasa risau mengenai kesihatan dan keselamatan anak.”

“Banyakkan bertawakkal dan cuba pilih tadika yang terbaik. Jika rasa tidak sedap hati, buat sesuatu dan jangan berdiam diri. Naluri ibu selalunya betul. Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa ada plan B dan bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya mengakhiri temu bual.

[embed-health-tool-vaccination-tool]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. 20 Questions To Ask Before Sending Your Kids Back To School. https://schools.forhealth.org/risk-reduction-strategies-for-reopening-schools/faqs/. Accessed on 23 May, 2022.
  2. 5 Ways Nervous Parents Can Prepare as They Send Young Kids Back to School. https://www.gse.harvard.edu/news/uk/21/08/5-ways-nervous-parents-can-prepare-they-send-young-kids-back-school. Accessed on 23 May, 2022.
  3. Helping Your Child Adjust to Preschool. https://kidshealth.org/en/parents/adjust-to-preschool.html. Accessed on 23 May, 2022.
  4. Preschool Prep: How to Prepare Your Toddler for Preschool. https://www.zerotothree.org/resources/78-preschool-prep-how-to-prepare-your-toddler-for-preschool. Accessed on 23 May, 2022.
  5. Sending Your Child to Preschool. https://www.health.harvard.edu/sending-your-child-to-preschool. Accessed on 23 May, 2022.

Versi Terbaru

15/08/2022

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Dah Vaksin Anak Ke Belum? Ini 5 KEPENTINGAN Vaksin Kanak-Kanak, Mak Ayah Mesti Tahu!

Si Kecil Asyik Minta Phone Sahaja? Ibu Ini Kongsi Tip Elak Anak Ketagih Gajet!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 15/08/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan