Melihatkan ibu lain dapat menyusukan bayi sendiri, pastinya wujud rasa sayu di hati apabila anda sebagai seorang ibu tidak mampu melakukan penyusuan eksklusif. Tetapi sebelum menyalahkan diri sendiri, atau menghukum ibu yang tidak melakukan penyusuan eksklusif, fahami dahulu apakah puncanya, seperti yang dibincang di bawah.
Kenapa ada ibu gagal menyusukan bayi?
Semua ibu tahu, menyusukan bayi amat bermanfaat, sama ada buat ibu sendiri mahupun bayi. Malah, pakar turut menggalakkan ibu untuk melakukan penyusuan eksklusif sepanjang tahun pertama kehidupan si manja.
Malangnya, bukan semua wanita berupaya melakukan penyusuan susu ibu. Ia boleh berlaku disebabkan jumlah bekalan susu ibu yang tidak mencukupi. Salah satu sebab yang paling biasa terjadi adalah kerana masalah kesihatan mahupun kerana pengambilan ubatan, yang membuatkan penyusuan eksklusif tidak selamat dilakukan1 .
Tapi, masih ada ibu yang masih mahu mencuba dengan sehabis baik, lalu memberikan anak susu badan menggunakan botol susu atau menghentikan penyusuan buat sementara waktu sebelum kembali menyusukan bayi.
Pun begitu, ada juga kes di mana bayi tidak boleh menerima susu ibu langsung, sama ada melalui botol susu atau secara terus daripada payudara. Dalam kes ini, sudah tentu memberikan susu formula diperkaya dengan nutrisi lengkap merupakan pilihan terakhir.
4 faktor penyusuan eksklusif tidak boleh dilakukan
Sebelum anda menyalahkan diri sendiri ataupun menghukum ibu-ibu lain di luar sana yang “gagal” menyusukan bayi secara eksklusif, semak dulu 4 faktor utama mengapa sesetengah wanita tidak boleh atau tidak sepatutnya memberikan penyusuan susu ibu kepada anak.
Antara faktor tersebut termasuklah:
1. Bekalan susu ibu rendah
Bekalan susu rendah boleh disebabkan keadaan kesihatan yang dialami ibu 2. Akan tetapi, jika keadaan kesihatan itu mendapat rawatan yang betul, sesetengahnya boleh pulih seperti sedia kala, dan penghasilan bekalan susu badan mencukupi.
Walau bagaimanapun, terdapat isu kesihatan yang tidak berupaya dipulihkan, contohnya seperti:
- Hipoplasia payudara: Tisu kelenjar untuk menghasilkan susu pada payudara tidak mencukupi 3.
- Sindrom ovari polisistik (PCOS): PCOS berkaitan dengan hormon 4.
- Hipotiroidisme: Kelenjar tiroid kurang aktif lalu fungsi badan menjadi perlahan 5.
- Pernah menjalani pembedahan payudara: Prosedur seperti mastektomi yang memotong saluran susu serta saraf pada payudara 6.
- Rawatan terapi radiasi: Terapi kanser payudara yang boleh merosakkan tisu yang menghasilkan susu 7.
2. Pengambilan ubat-ubatan tertentu
Walaupun kebanyakan ubat sesuai diambil oleh ibu yang ingin menyusu badan, namun masih ada juga ubat-ubatan yang tidak sesuai 8. Bagi ubat-ubatan preskripsi tertentu, ia berisiko mendatangkan bahaya kepada bayi, bahkan, ada sesetengah ubat turut boleh mengakibatkan penurunan bekalan susu 9.
Beberapa jenis ubat yang tidak sesuai untuk ibu menyusukan bayi adalah ubat kemoterapi 10, ubat antiretroviral, iodin radioaktif, beberapa ubat penenang, ubat sawan serta ubat yang cenderung mewujudkan rasa mengantuk dan menekan pernafasan 11.
Ubat kemoterapi berbahaya bagi bayi yang menyusu kerana ia boleh mengganggu pembahagian sel normal dan sihat di dalam tubuh mereka 10. Selain itu, ubat yang boleh mengurangkan bekalan susu ibu pula termasuklah ubat selesema dan sinus dengan pseudoephedrine 12 serta sesetengah pil kontraseptif hormon yang mengandungi estrogen 13.
3. Menghidap penyakit berjangkit
Kebanyakan penyakit berjangkit boleh dirawat tanpa menjejaskan penyusuan eksklusif atau membahayakan bayi 14. Pun begitu, terdapat beberapa penyakit berjangkit yang boleh menular kepada bayi melalui susu badan, contohnya seperti HIV.
Yang lebih membimbangkan adalah risiko penularannya jauh lebih tinggi berbanding manfaat penyusuan susu ibu itu sendiri 15 .
4. Mengalami tekanan persekitaran
Jangan terkejut jika tekanan berlebihan juga boleh jadi punca kemerosotan bekalan susu ibu16! Ini khususnya terjadi pada beberapa minggu pertama selepas bersalin.
Tidak mendapat tidur yang mencukupi, kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan jadual bayi serta peningkatan kadar hormon tertentu seperti kortisol boleh mengurangkan bekalan susu badan secara dramatik 17.
Bagaimana ingin menyusukan bayi walaupun tanpa susu badan?
Jika ini pengalaman pertama anda bergelar ibu, ketahuilah menjadi ibu itu sendiri satu tanggungjawab berat kerana ia menguji ketahanan mental, fizikal dan emosi. Paling dikhuatiri adalah jika tekanan akibat tidak dapat melakukan penyusuan eksklusif boleh menyebabkan kemurungan dalam diri anda.
Usah rasa bersalah seandainya anda tidak dapat menyusukan anak secara eksklusif. Sekiranya keputusan telah dibuat untuk memberi susu formula, yakin dengan keputusan tersebut dan percayalah itu yang terbaik buat si manja.
Jom ikut tips di bawah ini jika anda mahu memberi susu formula ataupun susu badan melalui botol, agar nutrisi yang dibekalkan kepada si manja masih kekal sama:
1. Mengepam susu badan + susu formula
Jika anda menghadapi masalah untuk menghasilkan bekalan susu yang mencukupi atau perlu berehat daripada mencuba, pilihan terbaik adalah dengan menambah susu yang dipam bersama susu formula yang diperkaya dengan nutrien.
2. Memberikan susu formula
Semestinya keputusan untuk beralih daripada penyusuan susu ibu kepada susu formula boleh menjadi perkara emosional, apatah lagi apabila anda merasakan perbuatan tersebut akan mengurangkan ikatan antara ibu dan anak.
Tapi anda perlu faham, jalinan kasih sayang antara ibu dan anak itu adalah ikatan istimewa. Kasih sayang seorang ibu tetap akan dapat dirasai si manja tanpa mengira bagaimana anda menyusukannya 18.
Jangan lupa untuk memenuhi keperluan nutrisi anak
Adakah dengan memberi susu formula kepada si manja, keperluan nutrisi yang diperlukan mereka mencukupi? Bagaimana pula dengan sistem imun mereka? Umum tahu, penyusuan susu badan memainkan peranan penting dalam sistem imun badan si manja.
Jangan risau, ibu. Di pasaran kini, terdapat pelbagai susu formula yang diperkaya dengan nutrien dan dapat memenuhi keperluan nutrisi anak anda. Tapi harus diingatkan, anak di bawah usia setahun tidak boleh diberikan susu lembu! 19.
Sudah tentu penyusuan susu ibu adalah yang terbaik, tetapi jika anda perlu memberikan susu formula kepada si manja, pastikan kandungan susu formula tersebut mengandungi 7 nutrisi penting ini:
1) Laktoferin
Ia adalah protein pengikat zat besi 20 penting yang juga boleh ditemui dalam susu badan. Laktoferin membantu menyokong kesihatan pencernaan 21 malah berfungsi menghalang pembiakan bakteria.
Bukan itu sahaja, berdasarkan kajian klinikal, protein ini berupaya menyokong kesihatan imun si manja 22 , serta memainkan peranan penting dalam perkembangan otak dan sistem kognitif bayi baru lahir, terutamanya dalam proses tumbesaran 23.
2) MFGM
Terdapat dalam setiap titisan susu ibu, MFGM membantu menyokong perkembangan kognitif anak 24. Milk fat globule membrane merupakan sumber penggalak imuniti yang juga merupakan lapisan semula jadi tinggi nutrien yang mengelilingi lemak susu.
Ia mempengaruhi tindak balas sistem imun secara positif, sekali gus menjadikan MFGM sebagai komponen terbaik dalam diet harian untuk meningkatkan imuniti tubuh 25.
3) DHA
DHA yang terdapat dalam susu adalah asid lemak omega-3 – komponen struktur otak yang penting untuk perkembangan si manja 26. Ia antara nutrien paling penting untuk tumbesaran dan perkembangan imuniti kanak-kanak 27.
Prebiotik yang mempunyai impak pada kesihatan saluran pencernaan ini juga merupakan antara makanan penggalak imuniti terbaik 28.
4) Kolin
Kolin adalah prebiotik yang menawarkan khasiat penting untuk perkembangan otak serta kecerdasan anak 29.
5) PDX dan GOS
PDX dan GOS juga adalah prebiotik yang berperanan membantu menyokong perkembangan sistem imun dan kesihatan usus anak 30.
Polydextrose, sejenis serat berfungsi sebagai “makanan” kepada bakteria baik untuk keseluruhan saluran usus besar. Ia merangsang pertumbuhan dan mengembangkan aktiviti mikroorganisma bermanfaat, terutamanya bakteria yang memenuhi usus.
Galactooligosaccharide pula adalah serat yang tidak tercerna oleh prebiotik. Gabungan PDX dan GOS dapat menyokong pertumbuhan bakteria baik dalam usus, sekali gus meningkatkan fungsi sistem pencernaan si manja. Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan risiko sembelit dan cirit-birit pada anak!
Kedua-duanya tergolong dalam kumpulan serat makanan ini juga membantu mencegah jangkitan pernafasan pada si manja 31.
6) Vitamin D, C, E
Ketiga-tiga vitamin ini mempunyai peranan dalam perkembangan imun dan kesihatan anak.
Vitamin D penting dalam penggunaan kalsium dan fosforus tubuh. Ia berkaitan dengan imuniti dan mengawal pertumbuhan sel 32. Anak anda memerlukan vitamin D yang mencukupi untuk perkembangan tulang yang kuat dan gigi yang sihat.
Vitamin C pula berperanan dalam menyokong sistem ketahanan badan, dan sangat diperlukan bagi menjaga kesihatan tubuh, terutamanya buat perkembangan dan tumbesaran 33. Manakala vitamin E pula memberi manfaat kepada tubuh dengan bertindak sebagai antioksidan dan melindungi vitamin A dan C, sel darah merah, dan asid lemak penting daripada dimusnahkan 32.
7) Nukleotida
Nukleotida berfungsi meningkatkan tindak balas imun dan pertumbuhan, dan pembaikan usus 29. Beberapa kajian klinikal menunjukkan suplemen ini memberi kesan baik dalam meningkatkan fungsi imun dan mikroflora usus serta mengurangkan masalah cirit-birit.
Jangan risau, jalinan kasih antara ibu dan anak masih tetap utuh
Walaupun sukar untuk diterima, namun menyusukan bayi bukanlah satu-satunya cara untuk membina ikatan erat dan membekalkan nutrisi anak. Hubungan antara ibu dan anak akan bertambah utuh setiap kali anda mendukungnya, berbual mahupun memberikan penyusuan melalui susu botol.
Bagi memenuhi keperluan nutrisi anak pula, pelbagai cara tersedia untuk membantu. Tidak boleh menyusukan anak tidak bermakna anda bukan seorang ibu hebat kepada si manja yang sihat dan bahagia.
Semoga perkongsian ini berguna buat anda!
[embed-health-tool-baby-poop-tool]