backup og meta

Sakit Jahitan Bersalin Boleh Dikurangkan Dengan 7 Cara Ini, Ibu Akan Rasa Lebih Selesa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 17/11/2022

    Sakit Jahitan Bersalin Boleh Dikurangkan Dengan 7 Cara Ini, Ibu Akan Rasa Lebih Selesa

    Luka episiotomi adalah torehan pembedahan pada perineum anda, iaitu kawasan berotot antara faraj dan saluran belakang. Torehan atau gunting episiotomi ini dibuat bagi membantu memudahkan bayi keluar semasa bersalin. Normal untuk anda berasa sakit akibat episiotomi pada minggu-minggu terawal selepas bersalin.

    Artikel ini menyediakan tips untuk membantu ibu lepas bersalin mengurangkan kesakitan selepas episiotomi.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    1. Ubat penahan sakit untuk luka episiotomi 

    Ubat penahan sakit seperti paracetamol boleh membantu melegakan kesakitan, malah ianya selamat diambil jika anda menyusukan bayi.

    Walau bagaimanapun, jangan ambil ibuprofen jika:

    • Anda menyusukan bayi dan bayi anda lahir pramatang (sebelum usia kandungan 37 minggu)
    • Bayi lahir kurang berat badan
    • Bayi alami masalah kesihatan

    Ibu juga tidak digalakkan untuk mengambil aspirin kerana ia akan berpindah kepada bayi anda melalui susu badan.

    Jika anda mengalami kesakitan teruk akibat episiotomi sehingga menjejaskan aktiviti dan kualiti hidup anda, anda mungkin perlu merawatnya dengan  mengambil ubat penahan sakit yang lebih kuat preskripsinya, seperti codeine. Pun begitu, pengambilan ubat di bawah preskripsi ini mungkin akan menjejaskan keupayaan anda menyusukan bayi dengan selamat. Namun, jangan risau kerana doktor anda akan menasihatkan anda tentang perkara ini.

    2. Kiub ais

    Bagi melegakan kesakitan, anda boleh cuba letakkan pek ais ataupun kiub ais yang dibalut dengan tuala pada torehan luka bersalin anda. Ais dapat membantu bahagian sekeliling luka torehan rasa kebas dan mengurangkan bengkak pada bahagian tersebut.

    Walau bagaimanapun, elakkan daripada meletakkan ais secara terus pada kulit anda kerana ia boleh menyebabkan kecederaan pada jahitan. Juga, jangan lakukan cara ini lebih daripada 10-20 minit bagi sekali penggunaan.

    3. Guna kusyen semasa duduk

    Gunakan kusyen berbentuk donat ataupun tekan punggung anda semasa duduk bagi membantu mengurangkan tekanan dan kesakitan pada bahagian yang berjahit atau gunting episiotomi. 

    4. Biarkan luka episiotomi terdedah pada udara segar

    Tahukah anda bahawa luka jahitan yang dibiarkan terdedah kepada udara boleh membantu menggalakkan proses penyembuhan?

    Jadi, anda tidak perlu selalu memakai seluar dalam ataupun anda boleh berbaring dengan memakai kain/ tuala sekitar 10 minit sekali atau dua kali sehari.

    Walau bagaimanapun, kesakitan akibat episiotomi tidak akan berpanjangan melebihi dua atau tiga minggu. Anda perlu berjumpa dengan doktor jika kesakitan yang anda rasai berlarutan.

    5. Jika ingin ke tandas… 

    Pastikan luka torehan dan kawasan sekeliling luka episiotomi bersih untuk mengelakkan jangkitan.

    Selepas ke tandas, siram air suam pada bahagian faraj anda untuk membilasnya. Anda boleh menyiram air suam pada bahagian luar faraj anda semasa anda sedang membuang air kecil. Cara ini dapat membantu meredakan ketidakselesaan.

    Anda juga boleh mencangkung semasa membuang air, berbanding duduk di atas jamban, bagi mengurangkan rasa pedih semasa mengeluarkan air kencing.

    Jika anda hendak membuang air besar pula, anda boleh meletakkan pelapik bersih pada bahagian torehan dan kemudian menekannya semasa anda mengeluarkan najis. Cara ini dapat membantu meredakan tekanan pada bahagian torehan.

    Begitu juga jika anda hendak membersihkan bahagian punggung anda, pastikan anda mengelapnya dari depan ke belakang. Cara ini dapat membantu mengelakkan bakteria dalam anu anda daripada menjangkiti torehan dan tisu kawasan gunting episiotomi. 

    Jika anda sukar atau merasai kesakitan semasa sedang membuang air besar, anda boleh mengambil julap untuk melancarkan pembuangan najis anda.

    6. Pelapik materniti

    Semasa minggu-minggu awal selepas bersalin, anda perlu memakai pad atau pelapik materniti bagi menampung darah yang keluar. Jadi, penjagaan luka ketika ini amat penting.

    Tukar pelapik materniti anda dengan kerap. Anda juga perlu memastikan tangan anda dibasuh sebelum dan selepas menukar pelapik materniti, dan mandi sekurang-kurangnya sekali sehari. Ini dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan pada luka episiotomi. 

    7. Senaman kegel

    Senaman kegel yang dilakukan bagi menguatkan otot di sekeliling vagina dan anu anda boleh membantu merangsang penyembuhan luka episiotomi. Senaman lantai pelvik ini juga mengurangkan tekanan pada torehan dan tisu sekelilingnya.

    Berapa lama luka episiotomi saya akan sembuh?

    luka episiotomi

    Lazimnya, ibu akan kembali pulih daripada sakit episiotomi dalam masa 10 hari, dan sepatutnya luka tersebut akan sembuh tidak lebih daripada sebulan, sementara jahitan pula akan lenyap. Jangan risau jika anda lihat jahitan tersebut tertanggal kerana ia tidak menimbulkan masalah.

    Segera berjumpa dengan doktor jika anda lihat sebarang tanda-tanda jangkitan seperti luka berbau, atau anda menghadapi masalah apabila hendak membuang air.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 17/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan