brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Suami Teratozoospermia Punca Isteri Susah Hamil, Kaum Adam Kena Ambil Tahu!

Adakalanya struktur sperma boleh menjadi punca masalah ketidaksuburan sekali gus menipiskan peluang untuk hamil. Antara keadaan yang boleh berlaku adalah teratozoospermia, iaitu bentuk sperma tidak normal.

Artikel ini akan menjelaskan lebih lanjut mengenai keadaan tersebut. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

Struktur sperma teratozoospermia

Teratozoospermia – juga dipanggil Teratospermia – adalah kelainan dalam morfologi sperma. Morfologi sperma merujuk kepada saiz dan bentuk sperma.

Ia merupakan keadaan di mana seorang lelaki mempunyai jumlah sperma berbentuk tidak normal yang tinggi.

Setiap kiraan sperma mempunyai peratusan besar sperma berbentuk tidak normal, tetapi apabila peratusan ini melebihi 96% daripada sampel, ia dikenali sebagai teratozoospermia. Kesannya? Wujud masalah kesuburan.

Keadaan ini boleh didiagnosis dengan melakukan analisis air mani yang lengkap.

struktur sperma

Keadaan sperma yang normal

Bagaimana menentukan sperma tidak normal dan yang normal? Umumnya sperma normal terdiri daripada:

  • Kepala licin berbentuk bujur dengan panjang 5-6 mikrometer dan lebar 2.5-3.5 mikrometer (kurang daripada saiz mata jarum)
  • ‘Penutup kepala’ yang jelas – akrosom – yang meliputi 40% hingga 70% daripada kepala sperma
  • Tiada kelainan yang kelihatan pada leher, bahagian tengah atau ekor
  • Tiada titisan cecair dalam kepala sperma yang lebih besar daripada separuh saiz kepala sperma

Kesan sperma tidak normal

Lelaki yang mengalami masalah teratozoospermia boleh menyebabkan wujudkan isu ketidaksuburan kerana sperma mempunyai masa yang sukar untuk menembusi dan mensenyawakan telur.

Kemandulan yang terjadi atas apa juga sebab boleh memberikan kesan mendalam kepada diri dan pasangan. Ini kerana isu kesuburan boleh menjadi perkara yang sukar untuk dihadapi dan memenatkan setiap pasangan.

Punca struktur sperma abnormal terjadi

Antara faktor yang mendasari teratozoospermia adalah:

  • Genetik
  • Kencing manis
  • Pembalikan vasektomi
  • Kecederaan 
  • Merokok 
  • Malnutrisi
  • Penyalahgunaan dadah atau alkohol
  • Rawatan kanser
  • Umur 
  • Jangkitan saluran mani
  • Masalah testis 

struktur sperma

Bolehkah struktur sperma abnormal mensenyawakan telur?

Walaupun bentuk sperma adalah tidak normal, namun persenyawaan telur boleh terjadi.

Tetapi berdasarkan kajian, sperma berbentuk abnormal mempunyai risiko lebih tinggi untuk dikaitkan dengan masalah kesuburan, seperti melibatkan ketidakteraturan air mani – bilangan sperma rendah atau motiliti.

Jika persenyawaan dengan struktur sperma tidak normal terjadi, adakah risiko kelainan genetik lebih tinggi?

Sejujurnya tiada jawapan pasti dapat diberikan. Ini kerana tiada hubungan antara bentuk sperma dan bahan genetiknya.

Bahkan, sebaik sahaja sperma dapat menembusi telur – tidak kira normal atau abnormal – peluang untuk persenyawaan berlaku adalah tinggi. 

Pun begitu, oleh kerana beberapa keabnormalan dalam sperma mungkin terjadi disebabkan gangguan genetik, maka terdapat kemungkinan untuk anak lelaki mewarisi jenis keabnormalan morfologi yang sama seperti sperma bapa mereka. 

Merawat teratozoospermia

Terdapat beberapa pilihan rawatan berbeza yang boleh dicadangkan oleh pakar kesuburan bagi membantu merawat masalah teratozoospermia ini.

Adakalanya pengambilan vitamin dan antioksidan boleh membantu memperbaiki bentuk sperma. Pakar juga boleh mengesyorkan terapi hormon sebagai pilihan rawatan.

Kaedah lain yang boleh dicuba adalah:

Kaedah semula jadi cegah bentuk sperma tidak normal

  • Kaedah merawat teratospermia yang paling penting dan terbaik untuk dilakukan adalah dengan mengamalkan gaya hidup lebih sihat. Seorang lelaki mesti berusaha untuk berhenti merokok dan mengehadkan pengambilan minuman beralkohol. Ini kerana kedua-dua tabiat ini mempunyai kesan ketara terhadap kualiti sperma
  • Memilih diet seimbang adalah satu lagi elemen penting. Pastikan anda mengambil buah-buahan dan sayuran dengan lebih banyak – terutamanya yang kaya dengan antioksidan dan asid amino
  • Pilihlah ikan berbanding jenis daging lain kerana ikan kaya dengan asid lemak omega-3 – yang sesuai dalam penghasilan sperma berkualiti
  • Mereka dengan masalah sperma ini juga disarankan untuk mengambil suplemen yang mengandungi vitamin E – bertindak sebagai sumber antioksidan yang kuat

Rawatan kesuburan untuk mengatasi struktur sperma abnormal

Bagi masalah teratozoospermia ringan serta kiraan dan pergerakan sperma adalah normal, kaedah inseminasi intrauterin (IUI) boleh dijadikan antara pilihan rawatan kesuburan.

IUI adalah prosedur di mana sel sperma berkualiti baik dimasukkan terus ke dalam ovum, bagi memastikan persenyawaan berlaku.

Kaedah ini boleh dipilih untuk mencapai kehamilan hanya jika pasangan wanita bebas daripada sebarang masalah kesuburan.

Secara asasnya, ia adalah pilihan apabila teratozoospermia adalah satu-satunya masalah kesuburan dalam pasangan.

Dalam kes teratospermia sederhana hingga teruk, atau dalam kes kombinasi masalah sperma yang berbeza-beza, IVF adalah pilihan rawatan terbaik.

Persenyawaan in Vitro atau dalam istilah lokal dikenali sebagai bayi tabung uji melibatkan rangsang ovari untuk menghasilkan beberapa telur pada 1 masa, mengeluarkan telur daripada ovari, persenyawaan telur di makmal dan akhirnya meletakkan embrio ke dalam rahim. 

Kesimpulan 

Didiagnosis dengan masalah kesuburan tidak bermakna impian untuk mendapat zuriat terkubur begitu sahaja.

Sebaliknya terdapat pelbagai pilihan rawatan yang boleh membantu mengatasi masalah tersebut. Jangan berputus asa!

Jika terdapat sebarang pertanyaan dan kebimbangan, berundinglah dengan doktor untuk mendapatkan lebih kepastian.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 2 hari lalu