Kehamilan merupakan satu perkara yang paling menyeronokkan dan ditunggu-tunggu oleh pasangan suami isteri terutamanya yang baru berkahwin. Kadangkala, kehamilan akan berlaku tanpa diduga dan dirancang. Bagaimanakah untuk mengetahui bahawa anda sebenarnya sedang hamil? Ikuti artikel ini untuk mengetahui petanda awal kehamilan yang anda perlu tahu.
Selain daripada lewat datang bulan dan mual dan muntal di pagi hari yang umum ketahui adalah petanda awal kehamilan, terdapat beberapa perkara lain yang mungkin memberi petunjuk bahawa anda sebenarnya sedang hamil, antaranya:
7 Petanda Awal Kehamilan
#1. Mood swing
Menurut kajian, perubahan mood ini merupakan petanda paling awal kehamilan. Ini berlaku disebabkan oleh peningkatan hormon dalam badan anda yang akan memberi kesan kepada perubahan mood. Ini akan berlaku lebih-lebih lagi jika anda baru pertama kali hamil kerana anda masih keliru dengan keadaan anda dan dalam proses penafian kerana belum bersedia.
#2. Payudara membengkak
Selain itu, kebanyakan wanita yang sedang dalam fasa awal kehamilan akan mengalami pembengkakan pada payudara mereka. Ini berlaku akibat daripada penghasilan susu pada payudara. Namun begitu, ia agak mengelirukan kerana payudara membengkak juga merupakan petanda anda sedang dalam tempoh datang haid.
#3. Kerap membuang air kecil
Kerap membuang air kecil juga merupakan petanda awal kehamilan. Anda mungkin akan berasa ingin kencing walaupun anda baru sahaja pergi ke tandas tidak lama sebelum itu. Dalam pada itu, perbuatan atau pergerakan secara tiba-tiba seperti bersin, batuk atau ketawa juga mampu menyebabkan air kencing anda terkeluar. Ini kerana pundi kencing wanita hamil akan menjadi lebih sensitif berbanding sebelum hamil.
#4. Sembelit
Selain kerap membuang air kecil, wanita yang sedang dalam fasa awal kehamilan juga akan mengalami sembelit. Ini terjadi akibat perubahan hormon progesteron yang tinggi dalam badan anda. Ini sekali gus menyebabkan makanan bergerak lebih lambat dalam usus anda lalu menyebabkan senbelit.
#5. Perubahan pada kulit dan rambut
Anda mungkin akan perasan terdapat perubahan pada pigmentasi kulit terutamanya pada leher, muka dan kawasan lain yang kerap terkena cahaya matahari. Segala tanda lahir atau tahi lalat juga akan berubah menjadi lebih gelap ketika sedang hamil. Selain itu juga, anda mungkin akan perasan terdapat pertumbuhan rambut di tempat yang aneh seperti muka, payudara, perut dan lain-lain.
#6. Selalu berasa keletihan
Ya, keletihan juga mungkin merupakan petanda awal anda sedang hamil. Ia biasa terjadi setelah satu minggu kehamilan. Ia terjadi ekoran daripada pelbagai faktor seperti kadar hormon progesteron tinggi, kadar gula dalam darah rendah serta tekanan darah mula menurun. Keletihan ini juga merupakan faktor pendorong kepada pening kepala yang teruk atau lebih bahaya, ia juga boleh menyebabkan pengsan.
#7. Masalah perut
Antara petanda yang paling jelas adalah anda akan mengalami masalah pada perut. Anda mungkin akan berasa perut anda kembung dengan angin, kenyang pedih ulu hati atau kekejangan perut. Masalah-masalah ini akan berterusan sepanjang kehamilan anda akibat perubahan hormon dalam badan anda. Namun anda tidak perlu risau kerana ia adalah sama sekali normal dan tidak akan mengakibatkan kondisi kesihatan yang lain.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Baca juga:
- Sakit Pinggul yang Biasa Berlaku Semasa Kehamilan
- Urutan Kehamilan: Adakah Idea yang Baik?
- Makanan Meningkatkan Peluang Kehamilan Anda
[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]