Tandukan bola sepak sememangnya bergaya, apatah lagi jika tandukan tersebut tepat memasuki gawang gol pihak lawan. Walau bagaimanapun, ada sesuatu yang perlu diambil berat berkenaan isu tandukan bola ini. Teruskan pembacaan anda.
Tandukan membawa ‘maut’
Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak England menyatakan bahawa mereka akan mengehadkan kekerapan tandukan bola oleh pemain muda mereka semasa latihan dijalankan. Ini berikutan terdapat kebimbangan berkenaan isu kesihatan berkaitan kepala yang semakin meningkat.
Hal ini kerana terdapatnya desakan ke atas Persatuan Bola Sepak Inggeris untuk menerima pakai hasil kajian yang menunjukkan hubungan antara dua perkara; kecederaan otak traumatik sederhana dan risiko yang lebih tinggi untuk mendapat demensia.
Untuk pengetahuan anda, kecederaan otak traumatik sederhana ini boleh berlaku disebabkan oleh tandukan bola dengan menggunakan kepala. Hasil kajian ini juga mendorong Persatuan Bola Sepak Scotland untuk mengharamkan kanak-kanak sekolah rendah di Scotland daripada melakukan sebarang tandukan bola sepak.
Risiko demensia lebih tinggi jika menanduk bola
Kajian terbaharu menunjukkan, bekas pemain bola sepak mempunyai kecenderungan sebanyak 3.5 kali ganda untuk mati disebabkan oleh demensia berbanding individu biasa pada umur yang sama.
Kajian yang dijalankan oleh University of Glasgow ini turut mendapati, terdapat peningkatan risiko untuk mengalami Alzheimer sebanyak 5 kali ganda dalam kalangan bekas pemain bola tersebut. Selain itu, mereka turut mempunyai risiko peningkatan sebanyak 4 kali ganda untuk mendapat penyakit neuron motor dan 2 kali ganda bagi penyakit Parkinson. Menggerunkan bukan?
Para penyelidik turut mendapati, bekas pemain bola ini juga mempunyai peningkatan risiko sebanyak 3% bagi kadar kematian yang disebabkan oleh penyakit neurologi atau saraf berbanding individu biasa.
Pelaksanaan kajian hasil kempen keluarga bekas pemain bola sepak
Anda mungkin tidak tahu, kajian yang dijalankan ini adalah hasil daripada kempen yang dijalankan oleh keluarga bekas pemain pasukan West Brom dan England, Jeff Astle. Jeff Astle telah meninggal dunia pada usia 59 tahun akibat daripada penyakit demensia.
Inkues kematian Jeff Astle menyebut bahawa penyakit saraf yang dialaminya, ensefalopati traumatik kronik (CTE), adalah disebabkan oleh kesan berulang daripada tandukan bola sepak menggunakan kepala. Selain daripada Jeff Astle, terdapat juga beberapa bekas pemain lain yang turut terkesan daripada tandukan bola menggunakan kepala. Antaranya ialah:
- Aaron Hernandez: mempunyai simptom awal keagresifan, niat membunuh diri dan perubahan emosi pada umur yang sangat muda. Beliau telah membunuh diri pada usia 27 tahun.
- Martin Peters: mengalami Alzheimer semasa hidupnya. Beliau meninggal dunia pada bulan Disember 2019 dan berusia 76 tahun pada saat kematiannya.
- Sue Lopez: bekas pemain bola sepak bagi pasukan England ini turut menyatakan bahawa demensia yang dialami adalah akibat daripada tandukan bola yang dilakukan sepanjang kariernya.
- Alan Shearer: bekas kapten pasukan bola sepak England turut menyatakan kebimbangannya untuk mendapat demensia memandangkan dia pernah melakukan tandukan bola sebanyak 100 kali sehari!
Bukan sahaja demensia, malah risiko penyakit lain
Menanduk bola dengan menggunakan kepala bukan sahaja menyebabkan penyakit saraf seperti demensia dan juga Alzheimer, malah boleh menyebabkan penyakit lain yang berkaitan.
Pada bulan Februari 2019, penyelidik dari Liverpool Hope University mendapati, kekerapan melakukan tandukan bola boleh menyebabkan kehilangan memori jangka pendek dan juga tumpuan mata. Tandukan bola boleh menyebabkan kesan negatif terhadap memori dan juga kemampuan penggunaan dua mata untuk memberi fokus terhadap perkara yang berbeza dengan pantas (pergerakan mata saccadic).
Kajian tersebut hanya melibatkan dua puluh tandukan bola yang dilakukan oleh dua puluh orang pemain bola sepak amatur. Ini baru melibatkan hanya dua puluh kali tandukan, bayangkan jika seseorang itu melakukan ratusan tandukan yang jelas akan memberikan lebih banyak kesan negatif.
Apakah yang sepatutnya anda lakukan?
Jika anak anda merupakan seorang pemain bola yang aktif, cuba hadkan aktiviti sukannya daripada sering menanduk bola. Nasihatkan si kecil anda agar tidak menanduk bola atau kurangkan kekerapannya apabila mereka berlatih di sekolah.
Namun, ini tidak bermakna bahawa anda sebagai individu dewasa boleh menanduk bola sesuka hati tanpa kawalan. Anda juga perlu mengehadkan kekerapan melakukan tandukan bola dengan menggunakan kepala bagi mengurangkan risiko mendapat demensia, Alzheimer, kehilangan memori dan juga tumpuan mata.
Bersukan sememangnya baik untuk kesihatan tetapi perlulah dilakukan secara berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kecederaan.
[embed-health-tool-bmi]