backup og meta

Bayi Umur Setahun Pun Perlu Bersenam? Ini Jumlah Masa Aktiviti Fizikal Sehari Ikut Umur Anak

Bayi Umur Setahun Pun Perlu Bersenam? Ini Jumlah Masa Aktiviti Fizikal Sehari Ikut Umur Anak

Tahukah ibu bapa, ketika umur anak berada dalam lingkungan 5-17 tahun, senaman atau aktiviti fizikal kanak kanak adalah satu cara mereka untuk bersosial. 

Semasa usia sebegini, anak anda akan menunjukkan minat terhadap sukan tertentu. Malahan, kanak-kanak yang gemarkan aktiviti fizikal boleh menangis sampai hilang suara kalau ibu bapa tidak mahu bawa ke taman permainan.

Kanak-kanak sememangnya suka berlari dan bermain. Itu merupakan sifat semula jadi mereka di samping rasa ingin tahu yang mendalam.

Tetapi, berapa lama ibu bapa perlu biarkan anak-anak mereka bermain?

Sama jugalah dengan anak yang sudah menginjak remaja, adakah mereka perlu melakukan aktiviti fizikal dan bersenam sama seperti orang dewasa?

Pasti ibu bapa ingin tahu mengenai faedah senaman kepada anak kan?

Sebenarnya, ada banyak lagi faedah senaman selain membantu mengeluarkan peluh yang ibu bapa mungkin tidak tahu!

Jom kita ketahui lebih lanjut tentang perkara ini sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 20 November nanti.

Aktiviti fizikal berbeza mengikut usia

faedah senaman

Penting untuk ibu bapa tahu bahawa senaman yang diperlukan oleh kanak-kanak berbeza mengikut usia mereka.

Namun, secara umumnya, kanak-kanak dan remaja perlu lakukan dua jenis senaman setiap minggu iaitu senaman aerobik serta senaman yang boleh menguatkan otot dan tulang.

Menurut The Australian Parenting Website, bayi yang berumur 1 tahun ke bawah perlukan banyak masa bermain. Jika mereka masih belum berjalan, sudah memadai jika mereka meniarap lebih dari 30 minit sehari.

Kanak-kanak yang berumur 1 tahun ke atas pula perlu kekal aktif sekurang-kurangnya 3 jam sehari. Jumlah jam ini termasuklah masa yang mereka gunakan untuk bermain. Sama jugalah dengan kanak-kanak yang berumur 3 hingga 5 tahun.

Bagi kanak-kanak 5 hingga 18 tahun pula, mereka perlu melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya satu jam dan diikuti pula dengan aktiviti yang ringan selama beberapa jam setiap hari.

Lebih baik jika mereka boleh lakukan aktiviti yang boleh menguatkan tulang dan otot 3 kali seminggu.

Nampak seperti banyak senaman yang perlu dilakukan bukan? Jangan risau, sebahagian besar kanak-kanak dan remaja telahpun melakukan aktiviti fizikal yang mencukupi.

Cuba sesuaikan senaman mengikut umur anak-anak anda. 

Aktiviti seperti lompat tali dan bermain di tapak permainan antara contoh senaman yang bagus untuk mereka. Dua aktiviti ini sebenarnya sudah cukup untuk memenuhi tuntutan 1-2 jam senaman setiap hari. 

Selain itu, anda juga boleh galakkan anak yang lebih dewasa untuk bermain bola sepak, badminton ataupun futsal untuk kekal cergas.

Namun, kebaikan bersenam bukan terhad kepada aktiviti sukan sahaja! 

Ada banyak lagi aktiviti lain yang boleh mengeluarkan peluh seperti menari, mendaki, berbasikal, bermain papan luncur dan macam-macam lagi.  

Ibu bapa perlu lebih kreatif memilih aktiviti fizikal kanak kanak!

faedah senaman

Bagaimana jika anak seorang yang pendiam dan tidak suka bersenam? Ketika inilah ibu bapa perlu menjadi lebih kreatif dalam mengajak mereka bersenam.

Sebagai contoh, jika anak sukakan alam sekitar, cuba ajak mendaki bersama-sama sambil menghayati keindahan alam semula jadi.

Jika anak suka melukis pula, mungkin anda boleh bawa mereka melawat pameran seni secara berkala. Gunakan pengangkutan awam untuk banyak berjalan.

Ini juga boleh merapatkan hubungan sesama ahli keluarga.

Selain itu, jika anda ingin bersenam, cuba ajak ahli keluarga untuk turut serta. Selain memastikan anak anda kekal sihat, ibu bapa juga perlu menjadi teladan yang baik untuk anak-anak.

Ibu bapa yang cergas dan sihat adalah contoh yang terbaik untuk mereka. Terapkan dalam diri anak-anak anda bahawa kesihatan merupakan sesuatu yang amat penting dan sangat bernilai.

Kanak-kanak dan remaja yang kerap bersukan bukan sahaja akan bertambah cergas, malah mempunyai kekuatan otot dan stamina yang baik.

Tambahan lagi, senaman juga boleh membuatkan fungsi kognitif jadi bertambah baik. Mereka akan lebih mudah untuk belajar dan mengingat jika melakukan senaman pada masa yang sama.

Bagaimana ibu bapa boleh pastikan anak kekal aktif?

faedah senaman

Sebagai ibu bapa, anda bertanggungjawab untuk memastikan anak anda bersenam dengan baik. Ada beberapa cara yang boleh diamalkan supaya anak faham tentang faedah senaman.

Antaranya ialah:

  1. Mulakan ketika mereka masih kecil. Disebabkan kanak-kanak sememangnya suka bermain, tunjukkan galakan anda kepada mereka dengan menyediakan peralatan dan tempat yang selamat untuk bermain.
  2. Pastikan anda boleh jadi contoh yang baik kepada mereka. Jangan abaikan senaman dan lakukannya secara berkala supaya anda kekal sihat dan cergas.
  3. Lakukan aktiviti fizikal bersama ahli keluarga anda. Terangkan kepada mereka mengenai kebaikan bersenam.
  4. Berikan anak hadiah berbentuk alatan permainan seperti basikal, bola sepak, raket, kasut roda dan sebagainya untuk menggalakkan mereka bermain secara aktif.
  5. Bawa anak anda ke tempat yang sesuai untuk bersenam seperti taman permainan, padang bola, ataupun gelanggang badminton.
  6. Kekal selamat ketika bermain. Ibu bapa jangan lupa untuk membelikan anak-anak peralatan perlindungan seperti helmet jika anak anda melakukan aktiviti yang mempunyai risiko kecederaan yang tinggi.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. CDC. 2020. Making Physical Activity a Part of a Child’s Life. September 17. Accessed November 12, 2020. https://www.cdc.gov/physicalactivity/basics/adding-pa/activities-children.html.
  2. CDC. 2020. Physical Activity. October 7. Accessed November 12, 2020. https://www.cdc.gov/physicalactivity/basics/children/index.htm.
  3. Mayo Clinic. 2019. How much exercise a day do children need? May 17. Accessed November 12, 2020. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/fitness/expert-answers/kids-and-exercise/faq-20058336.
  4. NHS. 2019. Physical activity guidelines for children and young people. October 8. Accessed November 12, 2020. https://www.nhs.uk/live-well/exercise/physical-activity-guidelines-children-and-young-people/?tabname=how-much-exercise.
  5. Raising Children Network. 2020. Physical activity for babies and children: why and how much. April 20. Accessed November 12, 2020. https://raisingchildren.net.au/toddlers/nutrition-fitness/physical-activity/physical-activity-how-much.

Versi Terbaru

18/01/2023

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: [email protected]


Artikel Berkaitan

Usia Baru Masuk 30-an Tapi Badan Rasa 'Lemau'? Ini Ada Senaman Sesuai Untuk Anda Kuatkan Otot

Jangan Ingat Ibu Bersalin Cesarean Tak Boleh Bersenam! Nak Cepat Sembuh, Buat Senaman Ini


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 18/01/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan