Sakit tekak merupakan simptom yang biasa dialami oleh individu dalam pelbagai jenis masalah kesihatan. Ia merupakan presentasi yang paling lazim yang menjadi sebab individu untuk mengunjungi klinik bagi mendapatkan rawatan. Jika anda ingin memulihkan sakit tekak namun tidak mahu berjumpa dengan doktor, di sini kami ada senaraikan beberapa penawar yang boleh meringankan simptom tersebut. Teruskan membaca.
Fahami simptom sakit tekak
Tekak merujuk kepada bahagian anterior (hadapan) pada struktur leher. Ia mengandungi beberapa struktur asas yang membentuk sistem pernafasan seperti larinks dan farinks. Walau bagaimanapun, ciri penting pada saluran ini adalah struktur yang dipanggil sebagai epiglotis. Ia merupakan injap yang bertanggungjawab dalam menghalang pergerakan makanan dan minuman daripada memasuki saluran pernafasan. Tanpanya atau jika ia tidak berfungsi dengan baik, manusia mudah mendapat pneumonia sedutan (aspiration pneumonia).
Sakit tekak merupakan satu terma yang sering digunakan apabila terdapat keradangan pada tekak kesan daripada jangkitan kuman. Ia tergolong dalam kelas jangkitan saluran pernafasan atas (upper respiratory tract infection). Kebiasaannya, individu akan mengalami simptom-simptom yang lain seperti demam, batuk, selesema dan pening kepala. Komplikasinya boleh dibahagikan kepada dua. Kebiasaannya, ia boleh menyebabkan komplikasi yang sering dikaitkan dengan pernanahan seperti sinusitis akut, otitis media akut dan abses peritonsil. Komplikasi yang tidak membabitkan pernanahan kebiasaannya serius seperti glomerulonefritis akut (sakit buah pinggang) dan masalah demam reumatik.
Antibiotik: Perlu atau tidak?
Penggunaan antibiotik merupakan topik yang paling hangat diperbincangkan, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan simptom yang sering dipandang enteng, seperti sakit tekak. Antibiotik cuma berkesan apabila digunakan terhadap bakteria. Ia tidak akan memberikan apa-apa tindak balas terhadap virus memandangkan ia tidak mempunyai struktur penting yang menjadi asas kepada fungsi antibiotik tersebut. Kira-kira 90% kes sakit tekak disebabkan oleh virus dan dianggarkan 200 daripada 200 strain virus yang boleh menyebabkan simptom sakit tekak. Namun, apakah yang akan terjadi jika kita tidak menggunakan antibiotik terhadap jangkitan bakteria yang menyebabkan sakit tekak?
Walaupun kurang daripada 10% bakteria sering dikaitkan dengan sakit tekak, kesannya boleh membawa komplikasi kronik yang teruk. Sebagai contoh, salah satu bakteria yang lazim menyebabkan terjadinya simptom sakit tekak adalah bakteria streptokokal. Jika tidak dirawat dengan baik, ia boleh menyebabkan komplikasi demam reumatik. Kajian yang dijalankan pada tahun 1987 oleh sekumpulan doktor telah mendapati bahawa mereka yang dijangkiti oleh bakteria akan baik 16 jam lebih awal daripada mereka yang dijangkiti virus dengan bantuan rawatan antibiotik. Namun, mereka yang dijangkiti virus akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh masa 1 minggu sama ada mereka dirawat ataupun tidak.
Dilema yang bermain di fikiran para doktor adalah kerisauan berkenaan dengan populasi bakteria rintang antibiotik. Jika disalahguna, pesakit bakal menghadapi masalah kelak disebabkan oleh populasi bakteria tersebut. Oleh sebab itu, jika simptom sakit tekak ini berlarutan atau ada bukti yang membuatkan ia seperti jangkitan bakteria, ujian darah akan dilakukan. Jika benar ia disebabkan bakteria, antibiotik akan diberikan dan jika tidak, pesakit akan dipantau dari semasa ke semasa.
Penawar semula jadi untuk sakit tekak
Walaupun anda sudah berjumpa dengan doktor atau sudah mengambil ubat untuk sakit tekak tersebut, ia mungkin akan mempengaruhi keselesaan anda untuk melakukan aktiviti harian atau mendapatkan tidur malam yang cukup. Bayangkan, dilema anda ingin batuk namun jika batuk, tekak akan rasa seperti terbakar. Rasa terseksa, bukan?
Di sini kami ingin menyenaraikan beberapa penawar semula jadi yang boleh melegakan sakit tekak anda.
Madu
Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2013 oleh Jull AB, madu mempunyai potensi untuk bertindak sebagai pemulih luka yang berkesan untuk situasi tertentu. Ia mempunyai banyak khasiat dan sering menjadi tumpuan sebagai penawar semula jadi yang berkesan untuk pelbagai jenis simptom penyakit. Selalu kita lihat, ibu bapa menyediakan minuman bermadu untuk anak-anak mereka yang mengalami simptom batuk-batuk. Selepas minum, simptom tersebut beransur-ansur reda. Hebatkan? Fenomena ini turut dibuktikan melalui kajian sains.
Pada tahun 2007, Paul IM telah menerajui sekumpulan pengkaji untuk mengenal pasti jenis rawatan yang efektif dalam menangani simptom batuk malam yang sering menganggu ketenteraman tidur anak-anak. 105 kanak-kanak dan remaja di antara umur 2 ke 18 tahun telah terlibat di dalam kajian tersebut. Dapatan menunjukkan madu lebih berkesan dalam merawat sakit tekak berbanding dengan mereka yang mengambil ubat batuk (dextromethorphan) dan sekumpulan kanak-kanak yang tidak diberikan apa-apa rawatan. Ia membantu mengurangkan kekerapan batuk dan menjaga keharmonian fisiologi ketika kanak-kanak tersebut tidur.
Jadi, jika anda mengalami sakit tekak, cubalah madu. Ia berkesan bukan sahaja menurut petua orang tua-tua, malah menurut kajian sains.
Air garam
Tujuan utama untuk berkumur air garam adalah untuk membunuh bakteria yang telah menjangkiti tekak. Ia berkesan dalam melegakan keradangan tekak dan dalam masa yang sama melancarkan aliran lendiran di dalam tekak. Letak garam separuh sudu teh ke dalam air suam dan kumurlah. Ia boleh menurunkan kebengkakan dan mengekalkan kebersihan tekak. Perkara ini perlu diulang 3 jam sekali.
Kajian yang dijalankan oleh Satomura K pada tahun 2005 telah mendapati bahawa, mereka yang berkumur dengan air setiap hari untuk tempoh masa dua bulan mempunyai kadar jangkitan salur pernafasan atas yang rendah berbanding dengan mereka yang tidak berkumur dan mereka yang menggunakan iodin povidon sebagai bahan kumur. Mereka hanya menggunakan air biasa untuk berkumur. Berdasarkan daripada kajian ini, ubat yang dikhususkan untuk berkumur seperti pengkumur mulut listerine dan air garam dapat membantu mengelakkan kejadian jangkitan kuman kesan daripada penjagaan kebersihan mulut yang teliti.
Teh Kamomil (Chamomile tea)
Kamomil merupakan salah satu herba yang tertua di dalam dunia perubatan tradisional. Ia sering digunakan bagi mengubati penyakit seperti keradangan, spasme otot, masalah berkaitan haid, insomnia, ulser dan masalah gastrousus. Pelbagai jenis kajian pernah dilakukan untuk mengenal pasti kebaikan kamomil terhadap penyakit-penyakit lain termasuk kanser.
Pada tahun 2011, Janmejai, Eswar dan Sanjay telah menerbitkan artikel di platform penerbitan jurnal Spandidos. Dalam artikel tersebut, mereka menyenaraikan kebaikan kamomil beserta kajian terhadap keberkesanan mereka. Salah satu daripada kebaikan tersebut adalah untuk merawat sakit selesema termasuk sakit tekak. Ini dapat dicapai melalui penghiduan wap kamomil dan minuman tehnya. Herba ini juga dapat membantu memperkuatkan sistem imuniti badan bagi melawan jangkitan mikroorganisma.
Peppermint
Seperti teh kamomil, peppermint juga merupakan salah satu herba yang sering menarik perhatian ahli sains berkaitan dengan kebaikannya terhadap rawatan perubatan. Orang asli di Eropah dan Asia telah menggunakannya untuk beribu tahun lamanya bagi tujuan menyegarkan bau pernafasan dan memperoleh kebaikan kesihatan. Jika anda suka mengunyah gula-gula getah, anda pasti tahu bahawa makanan tersebut mengandungi peppermint. Ia diperbuat daripada mentol yang memberikan rasa kesejukan di dalam mulut jika dikunyah dengan baik.
Mentol juga mempunyai keupayaan untuk mencairkan kahak dan melegakan sakit tekak. Ia bertindak sebagai agen antiradang, antibakteria dan antiviral memberikan ruang kepada tekak untuk beransur pulih dengan kadar yang segera. Jika anda belum pernah mencampurkan daun peppermint bersama dengan minuman teh panas di waktu sarapan, cubalah. Ia akan memberikan kesegaran dan aroma yang mengasyikkan di samping menjaga laluan pernafasan atas daripada sebarang jangkitan.
Fenugreek atau Halba
Jika anda tidak pernah tahu apa itu halba, anda tidak keseorangan. Rempah yang berasal dari Timur Tengah ini agak asing walaupun ia sering digunakan dalam pelbagai resepi masakan. Halba yang digoreng tanpa minyak dapat memberikan aroma yang enak dan kelazatan makanan yang melibatkan penggunaannya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Halba juga bermanfaat dari sudut pandang perubatan. Ini berikutan ia mempunyai sifat antiradang dan boleh digunakan untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria serta kulat. Kajian yang dijalankan pada tahun 2018 oleh Sajad Ahmad Wani dan Pradyuman telah mendapati halba mempunyai khasiat yang banyak. Ia mengandungi bahan bioaktif yang mempunyai potensi untuk merawat penyakit kencing manis, masalah kesuburan, kolesterol tinggi dan jangkitan mikroorganisma.
Jika ia dapat dieksploitasi kepada bahan suplemen atau ubat-ubatan, halba mungkin dapat memberikan impak kepada rawatan penyakit-penyakit kronik dan dalam konteks artikel ini, masalah sakit tekak. Namun, bagi mereka yang mengandung, pengambilan halba adalah tidak digalakkan kerana ia boleh mempengaruhi kontraksi uterus.
Akar manis (Licorice root)
Akar manis telah digunakan sebagai penawar bagi sakit tekak sejak dahulu lagi. Apabila bahan kumur yang diperbuat daripada akar manis diberikan kepada pesakit 5 minit sebelum diberikan ubat bius, ia dapat mengurangkan insiden terjadinya fenomena sakit tekak selepas tempoh pembedahan (postoperative sore throat). Ini merupakan dapatan kajian yang dibuat oleh sekumpulan doktor, yang diketuai oleh Agarwal Anil pada tahun 2009. Namun, akar manis ini tidak sepatutnya diambil pada kuantiti yang banyak untuk jangka masa yang panjang.
Menurut laman web, National Center for Complementary and Integrative Health, mereka yang berbuat demikian berisiko untuk mendapat hipertensi dan masalah tahap potassium rendah, seterusnya menyebabkan masalah jantung dan otot. Jika anda ingin mengambilnya untuk tujuan merawat sakit tekak, ambillah pada jumlah yang sedikit dan berhenti setelah anda sembuh.
Cuka epal sider (Apple cider vinegar)
Banyak kajian telah membuktikan keberkesanan cuka epal sider untuk melawan jangkitan bakteria. Ini sedikit sebanyak disebabkan oleh sifat bahan tersebut yang berasid. Ia mampu untuk mencairkan kahak dan menghalang bakteria daripada terus membiak. Namun, perlu diingatkan bahawa tidak semua individu boleh menahan rasa cuka ini. Jika anda sensitif terhadapnya, adalah lebih baik jika anda tidak menggunakannya langsung. Rujuk doktor sebelum anda mengambilnya sebagai suplemen untuk melegakan sakit tekak.
Bawang putih
Baunya mungkin tidak menyenangkan namun khasiatnya dapat melindungi badan daripada jangkitan bakteria. Bau busuk bawang putih datang daripada satu kompaun yang dipanggil sebagai organosulfur. Ia mempunyai sifat antibakteria semula jadi menjadikan ia satu agen yang sangat bernilai dalam menghindarkan diri daripada jangkitan bakteria.
Kajian pada tahun 2001 yang dijalankan oleh Josling telah membuktikan bahawa penggunaan suplemen yang mengandungi ekstrak bawang putih dapat melindungi diri daripada penyakit selesema. Orang tua-tua kadangkala berpesan jika sakit tekak, hisap bawang putih. Namun, jika anda berbuat demikian, jangan lupa untuk memberus gigi. Ini adalah untuk melindungi gigi anda daripada enzim dan yang paling penting, untuk menghilangkan bau busuk bawang tersebut.
Anak-anak sakit tekak?
Orang dewasa boleh mencuba pelbagai jenis herba yang terbukti berkesan untuk merawat sakit tekak, namun bagaimana pula dengan kanak-kanak? Walaupun, simptom ini seringkali bukan tanda kepada penyakit perubatan yang berbahaya, namun ia merumitkan. Anak kecil kebiasaannya akan terganggu dari tidur dan menangis memberikan tekanan fizikal dan emosi kepada ibu bapa yang ingin berehat. Penting buat anda untuk membawa anak anda berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut. Namun terdapat beberapa tip yang anda boleh gunakan untuk mengurangkan kesakitan yang dialami oleh si manja.
- Pasangkan pelembab udara di dalam bilik anak anda. Lembapan di dalam udara dapat membantu melegakan sakit tekak berbanding dengan jika tiada rawatan diberikan
- Galakkan anak anda untuk minum air kosong secukupnya. Hindari minuman sejuk, minuman berjus atau aiskrim kerana ia boleh membuatkan simptom tersebut bertambah teruk
- Jika anak anda berusia kurang daripada 1 tahun, jangan beri madu kepadanya. Ini kerana madu mengandungi spora daripada bakteria Clostridium botulinum yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Jika anda tidak sengaja memberikan makanan tersebut, pantau keadaan kesihatan anak anda. Jika perlu, bawa mereka berjumpa dengan doktor pada kadar segera
- Kanak-kanak di bawah usia 5 tahun tidak patut diberikan lozeng yang boleh merawat sakit tekak seperti Strepsil dan lain-lain. Pemberiannya akan meningkatkan risiko kanak-kanak tersebut tercekik
Hindari diri anda daripada penyakit ini
Jika anda mengalami simptom tersebut, pakailah topeng mulut pada setiap masa. Ini bagi menghindari penyebaran penyakit tersebut kepada mereka yang sihat. Jika anda sihat, cuba untuk duduk berjauhan daripada mereka yang mengalami simptom tersebut. Elakkan daripada mengambil makanan yang pedas dan jauhkan diri anda daripada sumber asap yang boleh menyebabkan keradangan pada saluran pernafasan anda.
Penawar semula jadi yang telah disenaraikan di atas sepatutnya dijadikan sebagai suplemen dan bukan rawatan utama individu. Jika anda disahkan mempunyai jangkitan bakteria dan diberikan antibiotik, makanlah ubat tersebut mengikut arahan doktor. Sekiranya anda alergi terhadap ubat tersebut, dapatkan nasihat pakar berkenaan dengan langkah seterusnya yang perlu anda ambil. Mereka mungkin akan memberikan ubat lain yang lebih sesuai digunakan oleh anda. Acetaminophen (paracetamol) juga merupakan ubat yang efektif dalam merawat sakit tekak. Walaupun sakit tekak kebiasaannya tidak menyebabkan masalah kesihatan yang serius, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil kerana komplikasinya boleh mengancam nyawa. Bak kata pepatah “Mencegah lebih elok daripada mengubati”.
Konklusi
Walaupun sakit tekak boleh mendatangkan kesan yang buruk, kebanyakan individu tidak mengambil endah akan perkara tersebut. Jika anda mengalami simptom sakit tekak, kebiasaannya ia tidak akan datang bersendirian. Sakit tekak boleh menjadi manifestasi fizikal untuk pelbagai jenis penyakit. Oleh itu, amat penting buat anda untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan daripada pakar agar kesihatan secara menyeluruh dapat dikekalkan pada tahap optimum.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
[embed-health-tool-bmi]