Tahukah anda, selain alahan susu dan telur, kanak-kanak juga boleh mengalami alergi terhadap produk-produk soya? Jika anak anda mempunyai alahan makanan seperti tempe, kicap, susu soya dan tofu, ia boleh menyebabkan mereka terkena reaksi alergi.
Sebenarnya, soya merupakan salah satu punca alahan yang lazim. Soya datang daripada kacang soya dan tergolong di dalam kumpulan legum.
Kadangkala, mereka yang mempunyai alahan soya turut mengalami alahan yang sama terhadap kekacang lain.
Bayi dan kanak-kanak yang mempunyai alahan soya sejak kecil selalunya akan membesar dengan normal. Kebanyakannya juga tidak akan mengalami alahan terhadap soya apabila berumur 10 tahun ke atas.
Apakah simptom alahan soya?
Ramai yang sangka alahan soya muncul hanya dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Namun, tanggapan itu salah! Sebenarnya, alergi terhadap soya boleh berlaku pada bila-bila masa.
Reaksi alahan terhadap makanan akan muncul dalam masa beberapa minit hingga beberapa jam setelah seseorang makan makanan yang mengandungi soya.
Walau bagaimanapun, keseriusan simptom mungkin berbeza-beza mengikut individu.
Mereka yang mengalami alahan yang teruk boleh merasakan simptom yang serius dan mengancam nyawa seperti kesukaran bernafas dan tekak yang membengkak.
Tetapi, pesakit yang mengalami alahan soya jarang menunjukkan simptom yang serius. Untuk kebanyakan orang, alahan ini akan memberikan ketidakselesaan, namun tidak membahayakan nyawa.
Ada banyak simptom alahan soya. Antaranya ialah:
- Rasa pedih di dalam mulut
- Ruam, gatal-gatal atau kulit bersisik (ekzema)
- Mulut, muka, lidah atau tekak bengkak
- Hidung berair atau sukar bernafas
- Sakit perut, cirit-birit, mual atau muntah-muntah
- Muka merah
Jika pesakit terkena alahan yang teruk (anafilaksis), mereka akan mengalami simptom seperti:
- Sukar bernafas
- Penurunan tekanan darah secara mengejut
- Denyutan nadi yang laju
- Pening kepala, rasa hendak pitam dan pengsan
Anafilaksis merupakan tindak balas yang amat jarang berlaku kepada pesakit yang mempunyai alahan soya.
Jika ia berlaku, berkemungkinan besar pesakit turut mempunyai alahan terhadap makanan lain seperti kacang.
Makanan berasaskan soya yang perlu dijauhi
Jika anda atau anak anda mempunyai alahan soya, elakkan pengambilan makanan berikut:
- Tempe.
- Susu soya.
- Tofu.
- Kicap.
- Susu berasaskan soya, yogurt, aiskrim atau keju.
- Kacang edamame.
- Tepung soya.
Walau bagaimanapun, pesakit yang mempunyai alahan soya mungkin perlu mengambil langkah yang lebih proaktif untuk mengelakkan reaksi alergi.
Selain makanan di atas, soya juga merupakan salah satu bahan yang sering digunakan di dalam makanan yang diproses.
Untuk mengelakkan diri anda atau anak anda daripada alahan soya, anda perlulah:
- Selalu membaca label pada pembungkusan makanan. Kebanyakan syarikat pemprosesan makanan akan menyenaraikan soya di dalam label makanan. Jika anda mempunyai alahan, anda perlu belajar cara yang betul untuk membaca label makanan.
- Berhati-hati ketika makan di luar. Di Malaysia, kita menggunakan pelbagai bahan yang berasaskan soya. Oleh itu, ada kemungkinan makanan anda mengandungi soya disebabkan pencemaran silang.
- Bersedia untuk sebarang reaksi alahan. Berbincanglah dengan doktor anda tentang cara untuk merawat reaksi alahan sama ada dengan mengambil ubat secara oral ataupun membawa suntikan epinephrine untuk kecemasan.
Menjauhi soya merupakan langkah terbaik
Seperti alahan makanan yang lain, cara yang terbaik untuk mengelakkan reaksi alergi adalah dengan tidak mengambil makanan tersebut.
Jika anda mempunyai bayi yang alah terhadap soya, elakkan memberi susu formula yang berasaskan soya. Berikan susu badan kepada anak jika boleh.
Pastikan anda tahu apa yang anda makan dan minum.
Selain itu, baca senarai makanan pada belakang pembungkusan supaya anda tidak termakan makanan yang mengandungi soya secara tidak sengaja.
Jika anda atau anak anda mengalami reaksi alahan yang teruk, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar segera.
[embed-health-tool-bmr]