Ramai ibu bapa tidak menyedari tanda awal kanser pada kanak-kanak kerana ia sering menyerupai masalah kesihatan biasa, terutamanya simptom kanser limfoma.
Malah, simptom kanser kadangkala nampak seperti demam, menjadikannya sukar dikesan pada peringkat awal.
Walaupun kanser limfoma boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, ia lebih kerap didiagnosis dalam kalangan orang dewasa.
Menurut data daripada World Health Organization (WHO) dan American Cancer Society (ACS), kanser limfoma menyumbang kira-kira 5% daripada semua kes kanser dalam kalangan kanak-kanak.
Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan utama dalam mengenali gejala kanser darah pada anak, kerana diagnosis awal dapat meningkatkan peluang kesembuhan dan keberkesanan rawatan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser sila dapatkannya di sini.
Tanda dan simptom kanser limfoma pada kanak-kanak

Kanser limfoma ialah kanser yang menyerang sistem limfa dalam badan.
Kanser in terbahagi kepada dua jenis iaitu Limfoma Hodgkin dan Limfoma Non-Hodgkin.
Antara simptom kanser limfoma dalam kalangan kanak-kanak ialah:
1. Demam berpanjangan
Salah satu simptom kanser limfoma ialah suhu badan anak meningkat tanpa sebab dan berlanjutan selama beberapa minggu.
Demam ini boleh datang dan pergi secara berkala tanpa tanda-tanda jangkitan.
Jika demam tidak reda selepas rawatan biasa, ibu bapa perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut.
2. Bengkak pada kelenjar limfa
Selain itu, bengkak tanpa rasa sakit di bahagian leher, ketiak atau pangkal paha juga adalah antara simptom limfoma pada kanak-kanak.
Bengkak ini tidak berkurangan walaupun selepas beberapa minggu dan boleh menjadi bertambah besar sehingga menyebabkan ketidakselesaan.
3. Banyak berpeluh di waktu malam, antara tanda kanser limfoma

Berpeluh pada waktu malam merupakan antara tanda awal kanser pada kanak-kanak.
Anak mungkin bangun dalam keadaan baju basah akibat peluh yang banyak walaupun suhu bilik tidak panas.
Berpeluh malam yang berterusan boleh mengganggu tidur mereka dan menyebabkan keletihan pada keesokan harinya.
4. Penurunan berat badan yang ketara
Jika kanak-kanak mengalami penurunan berat badan secara mendadak tanpa perubahan dalam diet atau aktiviti fizikal, ini boleh menjadi tanda bahaya.
Dapatkan pemeriksaan doktor serta merta jika anak hilang selera makan sehingga mengalami penurunan berat badan.
5. Rasa lesu, lemah tanpa sebab
Anak mungkin kelihatan lebih letih daripada biasa, sering tidur lama dan hilang minat dalam aktiviti yang mereka gemari.
Mereka juga mungkin sukar melakukan aktiviti harian seperti bermain atau berjalan.
6. Sering sakit sendi atau tulang

Sakit tulang atau sendi merupakan salah satu simptom kanser limfoma.
Keadaan ini boleh mengganggu pergerakan harian dan menyebabkan kanak-kanak tersebut enggan bergerak atau berjalan kerana rasa sakit yang berterusan.
7. Batuk berpanjangan hingga sukar bernafas
Batuk yang tidak sembuh walaupun selepas rawatan boleh menjadi salah satu simptom limfoma pada kanak-kanak.
Anak juga mungkin mengalami kesukaran bernafas, rasa sesak di dada atau nafas berbunyi.
8. Jangkitan berulang
Kanak-kanak dengan limfoma lebih mudah mengalami jangkitan seperti selsema atau demam yang kerap berulang.
Luka mereka mungkin lambat sembuh dan tubuh kelihatan tidak kuat melawan penyakit.
9. Sering sakit perut atau bengkak di abdomen
Perut penghidap kanser limfoma nampak besar atau keras tanpa sebab yang jelas.
Selain itu, anak juga boleh mengalami rasa tidak selesa atau sakit di bahagian perut yang kadangkala disertai dengan masalah pencernaan seperti sembelit atau cirit-birit.
10. Perubahan pada kulit, salah satu tanda kanser limfoma
Kulit kanak-kanak mungkin kelihatan pucat atau terdapat lebam tanpa sebab yang jelas.
Sesetengah kanak-kanak juga mengalami ruam atau bintik merah yang tidak sembuh dalam jangka masa lama.
Kulit mereka mungkin menjadi lebih sensitif atau mudah lebam walaupun hanya mengalami tekanan ringan.
Punca dan faktor risiko kanser limfoma pada kanak-kanak
Punca dan faktor risiko kanser limfoma pada kanak-kanak
- Faktor genetik – Sejarah keluarga yang mempunyai kanser boleh meningkatkan risiko anak mendapat penyakit ini
- Sistem imun lemah – Kanak-kanak yang mengalami masalah sistem imun atau sedang menjalani rawatan perubatan tertentu lebih terdedah kepada limfoma
- Pendedahan kepada bahan kimia atau radiasi – Terlalu banyak terdedah kepada bahan kimia tertentu atau radiasi boleh menjadi penyebab kanser
Pentingnya ibu bapa kenal pasti simptom kanser limfoma
Diagnosis awal adalah kunci utama dalam merawat kanser limfoma dengan lebih berkesan.
Jika ibu bapa melihat gejala kanser darah pada anak, segera dapatkan pemeriksaan pakar.
Selain itu, sokongan emosi dan mental daripada keluarga sangat penting bagi membantu anak menghadapi rawatan dengan lebih positif.
Kanser pada kanak-kanak bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi, tetapi dengan rawatan yang sesuai dan sokongan yang kukuh, peluang untuk sembuh adalah lebih tinggi.