backup og meta

Menjadi Teman Hidup kepada Seorang Pesakit Kanser

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh JX Chan · Disemak pada 15/05/2023

    Menjadi Teman Hidup kepada Seorang Pesakit Kanser

    Apabila pasangan anda disahkan mempunyai barah/ kanser payudara, terdapat banyak emosi yang barangkali anda rasakan. Sesetengah orang mungkin berfikir bahawa anda berasa takut atau mempunyai pemikiran yang negatif. Tetapi apa yang kebanyakan orang tidak tahu ialah sebahagian dari diri anda merasakan kelegaan kerana mereka yang tersayang masih hidup dan boleh dirawat. Mempunyai banyak emosi dan reaksi yang bercampur-baur adalah sesuatu yang normal. Perkara yang paling penting untuk diingat adalah sentiasa berfikiran positif dan berkomunikasi dengan pasangan anda. Untuk melakukannya, anda perlu memahami emosi dan reaksi anda dengan baik terlebih dahulu.

    Memahami emosi anda

    Kemarahan dan ketakutan

    Anda mungkin berasa terkejut, tidak percaya, marah dan takut apabila anda mendengar bahawa pasangan anda didiagnosis dengan kanser payudara. Anda mungkin merasakan seperti keadaan emosi anda sedang berkecamuk, dengan segala macam pertanyaan yang bermain di fikiran anda tentang apa yang akan berlaku kepada pasangan anda dan apa kesan kanser payudara terhadap hidup anda. Ini adalah reaksi pertama yang biasa terjadi. Ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian. Pasangan anda juga merasai perkara yang sama.

    Merasakan keperluan untuk memendam perasaan

    Kebanyakan orang dalam keadaan sebegini, tindak balas segera adalah untuk menunjukkan reaksi yang berani dan menjadi kuat untuk pasangan mereka. Ini boleh menunjukkan kepada dunia luar mengenai kesetiaan anda, tetapi ia juga bermakna anda mengelakkan diri dari menyelami perasaan anda sendiri. Walaupun anda mungkin percaya bahawa anda mampu mengawal keadaan, anda tidak boleh mengabaikan emosi dan keperluan anda sendiri. Tidak menjadi suatu masalah jika anda menangis dan sedikit sebanyak menzahirkan emosi yang ada.

    Tindak balas yang berlebihan

    Memberi sepenuh tumpuan dan perhatian kepada pasangan anda mungkin boleh membuat mereka berasa lemas dan tidak selesa. Sekiranya anda mendapati bahawa reaksi anda mempengaruhi orang yang tersayang, anda mungkin perlu memberitahu mereka bahawa perasaan anda adalah tindak balas terhadap situasi dan bukannya terhadap mereka. Ia boleh menjadi sedikit sukar untuk mengetahui keperluan masing-masing dan dalam kebanyakan kes mungkin ia tidak sama. Kadang-kadang berlaku jujur dengan pasangan anda mengenai perkara ini boleh membantu.

    Kerisauan dan serba salah

    Anda mungkin merasa bersalah dan tidak berdaya kerana anda tidak tahu bagaimana untuk membantu pasangan anda. Anda mungkin bimbang untuk menjaga pasangan anda sepanjang rawatan mereka, menangani sebarang perubahan fizikal dan emosi yang mungkin mereka alami, serta apa-apa perubahan yang akan berlaku terhadap gaya hidup anda. Sekiranya anda mempunyai anak-anak tidak kira masih kecil atau sudah besar, anda mungkin berasa risau tentang apa yang harus diberitahu. Selain itu, anda mungkin juga merasa bersalah kerana berasa bimbang tentang diri anda. Semua emosi ini adalah normal.

    Bayangan bahawa pasangan anda mungkin mati adalah menakutkan. Anda mungkin bimbang tentang bagaimana anda akan menguruskan hidup tanpa pasangan anda, implikasi kewangan tanpa mereka, atau jika anda mempunyai anak kecil, tentang bacaan prospek bagaimana membesarkan mereka dengan sendiri. Anda mungkin merasa bahawa anda mementingkan diri kerana berfikir tentang perkara ini, namun ia adalah perkara biasa untuk berfikir dan cakna tentang masa depan.

    Walaupun ini adalah sebahagian daripada proses penyesuaian dan penerimaan diagnosis pasangan anda, cuba untuk tidak menjadi patah hati dengan apa yang boleh berlaku, sebaliknya fokus pada apa yang sedang berlaku sekarang. Anda mungkin perlu bercakap dengan seseorang jika reaksi anda terhadap diagnosis pasangan anda mengganggu hidup anda. Meluahkan kepada seseorang yang anda tidak rapat mungkin kadang-kadang lebih mudah daripada bercakap dengan seseorang yang anda kenal. Anda boleh bercakap dengan jururawat atau doktor pasangan anda.

    Berkomunikasi antara satu sama lain

    Keupayaan untuk mendengar dan berkata dengan seseorang melalui cara yang bermakna adalah bahagian penting dalam menjamin hubungan yang bahagia. Anda mungkin merasakan bahawa selepas mengetahui pasangan anda mempunyai kanser payudara, perkara yang anda bicarakan sebelum ini mula kelihatan tidak relevan dan tidak bermakna. Anda juga boleh mengesan bagaimana perasaan semasa pasangan anda tanpa menggunakan kata-kata. Berikut adalah beberapa petua yang boleh membantu anda berkomunikasi:

    Luangkan masa

    Kadangkala agak sukar untuk mempunyai masa yang berkualiti apabila anda dan pasangan anda kedua-duanya mempunyai jadual yang sibuk. Bahkan ia lebih sukar apabila anda mempunyai anak. Diagnosis dengan kanser payudara tidak dinafikan adalah perubahan besar dalam kedua-dua bahagian kehidupan anda. Maka untuk meluangkan masa adalah satu proses yang penting. Dapatkan tempat dan keadaan yang tenang di mana anda tahu anda dan pasangan tidak akan terganggu dan boleh memberi 100% perhatian kepadanya.

    Mulakan dari mana-mana

    Anda mungkin berasa janggal atau tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Cara terbaik untuk memulakan perbualan anda adalah dengan sesuatu yang selesa dan mudah diurus. Ia boleh jadi mengenai cuaca persekitaran atau anak-anak, dan seterusnya boleh bergerak ke sesuatu yang lebih serius. Ini adalah masa yang perlu anda bincangkan tentang ketakutan, kebimbangan dan kepentingan hubungan anda.

    Tenangkan hati pasangan anda

    Pasangan anda sedang mengalami perubahan yang besar, begitu juga dengan anda. Maka amat penting bagi anda untuk mengingatkan pasangan anda bahawa anda berada bersama-sama. Jelaskan bahawa anda mahu memahami bagaimana perasaan dan keadaan mereka.

    Dapatkan pihak ketiga

    Kadangkala ia boleh menjadi sukar bagi anda berdua untuk berkomunikasi secara bersendirian. Perjumpaan bersama pakar terapi atau kaunselor barangkali boleh membantu memulakan perbualan dan perbincangan.

    Mulakan menulis

    Apabila perbualan adalah sukar, anda boleh cuba dengan menulis surat atau jurnal. Kemudian anda boleh bacakan ia apabila bersemuka. Melalui cara ini, anda boleh menyusun fikiran anda dan mencari kaedah yang betul dalam menyampaikannya.

    Apabila anda dapat memahami emosi anda, anda boleh mula berkomunikasi dengan pasangan anda. Naik dan turunnya pasti ada, namun selagi anda mengatasi cabaran secara bersama, hubungan anda pasti lebih kuat dari sebelumnya. Jangan pernah berputus asa. Sentiasa tunjukkan kepada pasangan anda bahawa anda mencintai mereka dan tidak akan meninggalkan mereka.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh JX Chan · Disemak pada 15/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan