backup og meta

Sering Sesak Nafas & Batuk Berdarah, AWAS Ini Mungkin Komplikasi Akibat Kanser Paru-Paru!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 16/02/2021

    Sering Sesak Nafas & Batuk Berdarah, AWAS Ini Mungkin Komplikasi Akibat Kanser Paru-Paru!

    Apabila kanser paru-paru yang dialami menjadi semakin teruk, pesakit akan mengalami beberapa jenis komplikasi.

    Komplikasi ini terjadi apabila kanser mula merebak ke kawasan badan yang lain ataupun merupakan kesan sampingan rawatan kanser yang diterima.

    Komplikasi yang berlaku kepada pesakit bukan sahaja boleh mengurangkan keberkesanan rawatan yang pesakit terima, malah ia juga boleh mempengaruhi kualiti hidup mereka.

    Antara komplikasi yang disebabkan oleh kanser paru-paru ialah:

    Baca lebih lanjut tentang Kanser Paru-Paru di sini.

    1. Sesak nafas

    Individu yang mempunyai penyakit kanser paru-paru akan sering rasa sesak nafas jika tumor yang terbentuk akibat kanser yang mereka alami sudah membesar dan menghalang saluran pernafasan.

    Masalah pernafasan yang dialami juga dikenali sebagai dyspnea – satu keadaan yang menyebabkan seseorang itu rasa sesak nafas ataupun sesak dada.

    Sesak nafas boleh berlaku apabila pesakit melakukan aktiviti fizikal ataupun ketika berehat. Untuk pengetahuan anda, sesak nafas merupakan salah satu komplikasi lazim akibat kanser.

    Walau bagaimanapun, dsypnea sebenarnya merupakan satu komplikasi yang boleh dirawat.

    Antara penyebab seseorang itu mengalami sesak nafas adalah:

  • Saluran pernafasan yang terhalang – Kadangkala, tumor yang terbentuk akibat kanser boleh membesar lalu menghalang saluran pernafasan. Perkara ini akan membuatkan pesakit sukar untuk bernafas.
  • Paru-paru berair – Ada di kalangan pesakit kanser akan mengalami efusi pleural (pleural effusion) yang menyebabkan paru-paru mereka di penuhi dengan air.
  • Kadar oksigen yang rendah dalam darah – Kanser boleh menyebabkan sel darah merah dalam badan berkurangan. Oleh sebab itu, badan pesakit sukar untuk memenuhi keperluan oksigen yang diperlukan. Akibatnya, pesakit akan sering rasa sesak nafas dan sakit dada.
  • 2. Neuropati

    kanser paru paru

    Neuropati merupakan sejenis kondisi yang mempengaruhi saraf seseorang, terutamanya saraf pada kawasan tangan dan kaki.

    Kanser paru-paru yang telah merebak ke kawasan lengan atau bahu boleh menekan kawasan saraf lalu menyebabkan pesakit rasa sakit. Selain itu, rawatan kanser yang diterima oleh pesakit juga boleh mengakibatkan neuropati.

    Jika anda mengalami neuropati, anda akan rasa kebas pada kawasan tangan atau mengalami sensasi seperti dicucuk jarum pada kawasan badan seperti kaki dan tangan.

    3. Darah beku

    Pesakit yang menghidap kanser ini lebih berisiko untuk menghidap VTE atau venous thromboembolism ataupun lebih dikenali sebagai darah beku.

    Ada dua jenis darah beku yang mungkin berlaku kepada pesakit iaitu deep vein thrombosis (DVT) atau pulmonary embolism (PE).

    Bengkak atau rasa sakit pada kawasan kaki dan sakit dada yang menyerang secara tiba-tiba merupakan antara tanda anda mengalami darah beku.

    Oleh sebab itu, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin untuk sesi konsultasi. Darah beku boleh akibatkan masalah kesihatan lain yang lebih serius jika ia tidak dirawat dalam kadar yang segera.

    4. Batuk berdarah

    kanser paru paru

    Salah satu komplikasi yang boleh terjadi akibat kanser paru-paru ialah batuk berdarah (hemoptysis), ataupun darah dalam kahak.

    Hampir 7-10% pesakit mempunyai simptom ini dan 20% mengalami batuk berdarah sepanjang mereka mengalami kanser.

    Kadangkala, pesakit sukar untuk mengawal pendarahan yang disebabkan oleh batuk berdarah. Walau bagaimanapun, komplikasi ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan yang bersesuaian.

    5. Kesakitan

    Kanser yang sudah merebak ke bahagian lapisan luar paru-paru ataupun organ yang lain seperti tulang, boleh menyebabkan pesakit mengalami kesakitan.

    Jika mengalami kesakitan, pastikan anda memberitahu doktor secepat mungkin. Doktor boleh berikan anda pelbagai pilihan rawatan yang boleh mengurangkan kesakitan yang dialami.

    Kadangkala, kesakitan yang anda alami adalah disebabkan oleh kanser yang telah melalui metastasis. Di mana kanser telah merebak ke organ atau bahagian badan yang lain.

    Selain kesakitan, pesakit mungkin akan alami gejala lain seperti loya, muntah-muntah, dan sakit kepala. Pesakit mungkin akan alami simptom lain bergantung kepada organ yang telah terkesan akibat penyakit kanser.

    Kanser  yang telah merebak ke bahagian organ lain selalunya sukar untuk dipulihkan. Walau bagaimanapun, doktor boleh berikan pesakit rawatan untuk merawat simptom yang dialami.

    6. Kegelisahan dan depresi

    kanser paru paru

    1 daripada 4 pesakit yang menghidap kanser mengalami depresi sebelum dan selepas rawatan. Kajian lain pula menunjukkan bahawa hampir separuh daripada pesakit kanser paru-paru mengalami depresi.

    Selain itu, ramai juga yang mengalami masalah kegelisahan atau anxiety semasa bertarung dengan penyakit ini.

    Walaupun rawatan untuk kanser sudah semakin maju, ramai pesakit yang tidak dapat menerima hakikat tentang penyakit yang mereka hidapi.

    Disebabkan bayangan kematian masih berlegar-legar dalam fikiran mereka, sebab itu ramai yang diserang depresi dan kegelisahan.

    Oleh sebab itu, jangan pernah abaikan perasaan anda jika sedang berlawan dengan kanser paru-paru. Pastikan anda berkomunikasi dengan doktor supaya mereka boleh membantu.

    Kesimpulan

    Komplikasi daripada kanser paru-paru boleh terjadi apabila penyakit menjadi semakin teruk. Kadangkala, komplikasi juga boleh berlaku sebagai kesan sampingan selepas rawatan.

    Sebagai pesakit, penting untuk kenal pasti semua tanda-tanda komplikasi ini supaya anda boleh mendapatkan rawatan dan intervensi awal.

    Kadar kesembuhan kanser paru-paru bergantung kepada tahap kanser yang dialami. Mereka yang didiagnosis dengan kanser paru-paru pada peringkat awal mempunyai harapan yang lebih tinggi untuk sembuh.

    Walau bagaimanapun, disebabkan kanser ini sukar untuk dikesan awal, maka pesakit selalunya akan didiagnos apabila kanser telahpun merebak ke organ yang lain.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 16/02/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan