Tonsil tekak anda selalu sakit? Jangan ambil mudah kerana ia mungkin disebabkan kanser atau barah tekak. Jom teruskan pembacaan bagi mengetahui info lengkap mengenai kanser ini di sini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.
Definisi
Apa itu barah tekak?
Barah atau kanser tekak merujuk kepada kanser pada kotak suara, pita suara, dan bahagian lain tekak.
Ia boleh dibahagikan kepada dua kategori: kanser farinks yang terbentuk dalam bahagian farinks dan kanser larinks yang terbentuk dalam bahagian larinks.
Apakah kebarangkalian kanser tekak?
Barah ini adalah masalah yang biasa walaupun agak jarang berlaku jika dibandingkan dengan kanser jenis lain. Kanser tekak lebih cenderung berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita.
Terdapat 1.1% kebarangkalian orang dewasa untuk didiagnosis dengan kanser farinks sepanjang hayat mereka – dianggarkan oleh Institut Kanser Kebangsaan; dan juga sekitar 0.4% kebarangkalian lelaki dan wanita akan didiagnosis dengan kanser larinks.
Baca juga:
Simptom
Apakah simptom-simptom barah tekak?
Sebenarnya, agak sukar untuk mengesan kanser tekak pada tahap awal. Tanda-tanda dan simptom barah tonsil tekak termasuklah:
- Perubahan suara, suara serak atau tidak bercakap dengan jelas
- Kesukaran menelan
- Kehilangan berat badan yang tidak dapat dijelaskan
- Sakit tekak yang berterusan
- Keperluan yang kerap untuk membersihkan kerongkong atau tonsil tekak anda
- Batuk berterusan (mungkin batuk darah)
- Kelenjar limfa bengkak di leher
- Nafas yang berdehit
- Sakit telinga
Di samping itu, sebahagian penghidap kanser tekak boleh mengalami komplikasi. Ini termasuklah:
- Kesukaran menelan
- Kecacatan rupa pada leher atau muka
- Ketidakupayaan untuk bercakap
- Kesukaran bernafas
- Pengerasan kulit di sekitar leher
- Semua di atas, terutamanya apabila sedang memberi ucapan
Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.
Bila saya harus berjumpa doktor?
Anda perlu menghubungi doktor sekiranya terdapat tanda-tanda dan simptom baru yang berterusan atau jika tempoh mana-mana simptom di atas berlangsung lebih daripada 2 minggu.
Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda.
Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Jadi, adalah dinasihatkan untuk anda berbincang dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.
Punca
Apakah punca barah tekak?
Walaupun penyebab sebenar barah tonsil tekak masih tidak jelas, namun sel-sel kanser didapati berkembang apabila mutasi genetik berlaku.
Ia akan membolehkan sel-sel tumbuh tanpa kawalan untuk membentuk tumor yang mungkin merebak ke kawasan lain di dalam tubuh.
Antara faktor yang boleh menyebabkan mutasi genetik dalam sel-sel tekak termasuklah merokok, jangkitan virus papilloma manusia (HPV), dan pendedahan kepada bahan toksik seperti asbestos atau alkohol dalam kadar yang banyak.
Faktor risiko
Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada barah tekak?
Tabiat gaya hidup tertentu berupaya meningkatkan risiko kepada kanser tekak. Ini termasuklah:
- Pengambilan alkohol yang berlebihan
- Kekurangan vitamin
- Pendedahan kepada asbestos
- Kebersihan gigi yang tidak baik
- Penggunaan tembakau, termasuk merokok dan mengunyah tembakau
- Virus papilloma manusia (HPV)
- Kekurangan buah-buahan dan sayur-sayuran
- Gejala pedih ulu hati (GERD)
Diagnosis dan rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimana pesakit kanser tekak didiagnosis?
Kebanyakan simptom barah tonsil tekak adalah tidak khusus untuk kanser, jadi doktor anda mungkin akan menyiasat berkenaan punca-punca lain yang lebih lazim.
Anda akan ditanya mengenai simptom dan riwayat perubatan anda.
Sekiranya anda mengalami sakit tekak, suara serak, dan batuk berterusan tanpa penambahbaikan atau penjelasan lain, doktor mungkin akan mengesyaki anda hidap barah tekak.
Doktor mungkin akan melakukan laringoskopi dengan memasukkan tiub fleksibel yang panjang ke dalam kerongkong untuk melihat sama ada terdapat sebarang kelainan yang timbul.
Sampel tekak anda akan diambil dan diuji. Sekiranya terdapat beberapa sel kanser di dalam kerongkong anda, sel-sel tersebut akan menjalani ujian tambahan untuk menentukan tahap semasa kanser tersebut.
Peringkat-peringkat tahap ini termasuk:
- Tahap 0: Tumor tidak menyerang tisu di luar tekak
- Tahap 1: Tumor kurang daripada 7 cm dan terhad kepada tonsil tekak
- Tahap 2: Tumor lebih besar sedikit daripada 7 cm, tetapi masih terhad kepada tekak
- Tahap 3: Tumor telah berkembang dan merebak ke tisu dan organ berdekatan
- Tahap 4: Tumor telah merebak ke nodus limfa dan/atau organ yang jauh
Bagaimana pesakit dirawat?
Penghidap barah tekak boleh dirawat dengan cara:
- Pembedahan: Jika anda hanya mempunyai tumor kecil, doktor boleh membuangnya dengan pembedahan. Prosedur ini akan dilakukan semasa anda diberikan sedatif
- Terapi sinaran: Terapi radiasi yang menggunakan sinaran bertenaga tinggi untuk menghancurkan sel-sel kanser yang agresif (malignan). Tujuannya adalah untuk memusnahkan sel-sel kanser berbaki yang ditinggalkan oleh tumor yang telah dibuang
- Kemoterapi: Kemoterapi melambatkan dan menghalang pertumbuhan sel-sel malignan. Sekiranya tumor anda besar dan melibatkan kelenjar limfa dan tisu lain, doktor mungkin akan mencadangkan terapi sinaran serta kemoterapi
Anda juga mungkin memerlukan terapi lain selepas rawatan untuk mempelajari cara menelan dan bercakap.
Pencegahan
Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani barah tekak?
Kanser tekak mempunyai kadar peluang sembuh yang tinggi jika berjaya didiagnosis pada peringkat awal.
Tetapi jika sel-sel malignan telah merebak ke bahagian lain badan di luar leher dan kepala, kanser tekak tidak lagi dapat disembuhkan.
Walau bagaimanapun, pesakit masih boleh memanjangkan hayat mereka dan melambatkan tumbesaran kanser dengan meneruskan rawatan.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.