backup og meta

Kanser Tekak: Apakah Selepas Diagnosis?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 12/05/2022

    Kanser Tekak: Apakah Selepas Diagnosis?

    Mendapat berita bahawa anda menghidap kanser ialah sesuatu yang sangat berat. Ada yang menyangka bahawa kanser ialah hukuman mati bagi seseorang kerana tiada apa yang dapat dilakukan selepas diagnosis. Ini mungkin benar 40 atau 50 tahun lepas tetapi cara menguruskan kanser pada hari ini sudah berbeza.

    Kebanyakan kanser masih tidak boleh mencapai tahap sembuh 100% tetapi banyak yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit.

    Diagnosis kanser tekak

    Apabila doktor mengesyaki kebarangkalian kanser melalui aduan dan simptom yang anda berikan, beberapa pemeriksaan dan ujian akan dilakukan untuk melihat sama ada ia benar-benar kanser atau sebaliknya.

    Ujian yang mungkin dijalankan ialah:

  • Endoskopi iaitu menggunakan sejenis kamera khas untuk melihat tanda-tanda tidak normal pada tekak.
  • Biopsi daripada tisu tekak mungkin diambil ketika pemeriksaan endoskopi untuk dilihat di bawah mikroskop. Ujian ini boleh mengesahkan diagnosis melalui penemuan sel kanser.
  • Ujian pengimbasan termasuk X-ray, CT, MRI, dan PET.
  • Doktor juga mungkin akan bertanya tentang tabiat merokok, pengambilan alkohol, hubungan seksual, dan kesihatan secara am untuk membuat penilaian yang lebih menyeluruh.

    “Anda mempunyai kanser tekak” bukan satu pengakhiran

    Tiada orang yang boleh mengatakan bahawa menghidap kanser merupakan satu hal yang ringan. Walau bagaimanapun, peluang untuk menjalani kehidupan yang berkualiti masih ada. Diagnosis kanser tekak bukan satu pengakhiran kepada hidup.

    Rawatan yang diberikan bergantung kepada tahap kanser mengikut angka Roman I, II, III, dan IV. Secara amnya, tahap I paling rendah manakala tahap IV pula paling lanjut. Doktor juga akan mengambil kira tahap kesihatan secara am dan pilihan pesakit.

    Pilihan yang ada ialah:

    1. Radioterapi

    Menggunakan sinaran berkuasa tinggi untuk membunuh sel kanser. Radioterapi diberikan sama ada dari luar melalui mesin khas atau dari dalam menggunakan biji radioaktif dan wayar yang diletakkan berhampiran kanser tersebut.

    2. Pembedahan

    Dilakukan melalui potongan di bahagian leher atau menggunakan kamera khas (endoskop) yang dimasukkan melalui mulut. Bergantung kepada kes, kanser mungkin dibuang bersama dengan nod limfa, peti suara, sebahagian atau keseluruhan tekak.

    3. Kemoterapi

    Ubat-ubatan tertentu diberikan untuk membunuh sel kanser.

    4. Rehabilitasi

    Ini mungkin diperlukan semasa atau selepas menjalani rawatan untuk membantu pesakit menangani kesukaran bercakap, makan, dan rasa sakit pada leher.

    5. Rawatan sokongan (paliatif)

    Rawatan ini sangat penting untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit semasa dan selepas rawatan atau bagi pesakit kanser tekak tahap lanjut. Ia termasuk membantu pesakit makan dan mengurangkan rasa sakit serta simptom lain yang dialami.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 12/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan