Apa itu sirosis hati?
Sirosis hati atau liver cirrhosis adalah keadaan di mana struktur dan fungsi hati terganggu.
Ia disebabkan oleh pelbagai jenis penyakit yang melibatkan hati.
Penyakit-penyakit ini merosakkan serta mencederakan tisu hati.
Sebagai tindak balas, sel-sel hati yang baru akan dihasilkan semula oleh badan untuk menggantikan sel-sel yang telah rosak.
Proses pemulihan hati oleh sel-sel baru tersebut menghasilkan pengumpuan sel (nodule) dan parut pada hati menyebabkan struktur hati terganggu sehingga menjejaskan fungsinya.
Apa punca sirosis hati?
Terdapat banyak puncanya. Sebab utama sirosis hati adalah:
- Hepatitis B.
- Hepatitis C.
- Alkohol.
Selain itu, beberapa sebab lain organ hati terjejas adalah:
- Penyakit autoimun.
- Penyakit hati berlemak (fatty liver).
- Hemokromatosis.
- Saluran hempedu tersumbat (biliary atresia).
Apakah simptom-simptom organ hati terjejas?
Keadaan ini sedikit atau tidak menunjukkan simptom. Jika ada, ia adalah tidak spesifik kepada sirosis hati, melainkan jika komplikasi berlaku.
Antara simptom-simptomnya adalah:
- Kulit dan putih mata menjadi warna kuning (jaundis).
- Mudah penat.
- Hilang selera makan.
- Kulit mudah lebam dan berdarah.
- Gatal-gatal.
Apakah kesan kepada keadaan ini?
Hati adalah organ yang sangat penting dengan pelbagai fungsi termasuk detoksifikasi, menghadam makanan, menghasilkan protein, membunuh bakteria di dalam darah, menghasilkan hempedu dan mengawal pembekuan darah.
Hati menerima bekalan darah yang banyak, terutamanya daripada salur darah vena.
Salur darah ini akan masuk ke dalam hati dan berpecah menjadi saluran kecil yang berhubung dengan sel-sel hati.
Darah yang masuk akan ditapis dan menerima bahan-bahan tertentu daripada hati.
Dalam kes sirosis hati, hubungan ini telah terganggu.
Sel-sel baru yang terhasil gagal mengembalikan struktur asal hati.
Tambahan pula, parut yang terbentuk menyebabkan saluran darah tersumbat sehingga darah mengalir ke belakang (back flow).
Keadaan ini menyebabkan tekanan darah di dalam abdomen meningkatkan, satu keadaan yang disebut sebagai portal hypertension.
Masalah lain pula adalah saluran hempedu yang tersumbat.
Ia akan menjejaskan penghadaman serta pembuangan bahan-bahan toksik.
Kesannya, bahan-bahan ini terkumpul di dalam badan.
Apakah komplikasi sirosis hati?
Bengkak (edema) pada tangan dan kaki serta busung (ascites)
Sirosis hati menyebabkan perubahan pada nisbah protein di dalam badan yang penting dalam mengekalkan kestabilan cecair.
Apabila ia terganggu, cecair akan terkumpul termasuk pada tangan dan kaki serta ruang abdomen.
Spontaneous bacterial peritonitis (SBP)
Dalam keadaan normal, ruang di dalam abdomen mengandungi jumlah air yang sedikit.
Apabila air bertambah (ascites), ia menyediakan keadaan yang kondusif untuk bakteria membiak.
Jangkitan bakteria di dalam cecair ini disebutkan sebagai spontaneous bacterial peritonitis atau SBP.
Gabungan antibiotik diperlukan untuk merawat keadaan ini.
Muntah darah
Tekanan darah di dalam abdomen yang tinggi (potal hypertension) menyebabkan darah mengalir ke belakang (back flow) sehingga beberapa salur darah, termasuk di dalam esofagus (saluran makan) menjadi kembang.
Apabila salur darah ini pecah, pesakit akan mengalami muntah darah.
Kanser hati
Sirosis hati meningkatkan risiko kepada kanser hati primer atau hepatocellular carcinoma.
Ensefalopati hepatik
Kegagalan hati untuk melakukan detoksifikasi ke atas bahan-bahan toksik di dalam usus menyebabkan ia terkumpul di dalam badan.
Sebahagiannya, seperti ammonia, boleh pergi ke otak sehingga menyebabkan ensefalopati hepatik dimana pesakit mengalami gangguan tidur, memori, keliru dan tidak sedarkan diri.
Sindrom hepatorenal
Sindrom ini dicirikan dengan kegagalan fungsi pada buah pinggang disebabkan kegagalan fungsi hati, meskipun tiada kecederaan fizikal dapat dikesan pada buah pinggang.
Ini dipercayai disebabkan oleh pengumpulan bahan toksik di dalam badan.
Apakah rawatan sirosis hati?
Keadaan ini malangnya tidak boleh diundurkan semula.
Apa yang boleh dilakukan adalah:
- Mencegah keadaan daripada menjadi lebih teruk. Sesetengah ubat-ubatan mungkin diberikan dan pemakanan harus dikawal dengan mengelakkan alkohol, sesetengah ubat-ubatan serta mengambil suplemen vitamin.
- Mengawal komplikasi. Ubat-ubatan tertentu mungkin digunakan. Untuk kes SBP, khususnya, gabungan antibiotik diperlukan.
- Mencegah kanser hati melalui ujian saringan.
- Pemindahan hati. Tidak semua pesakit boleh menerima pemindahan hati. Banyak faktor perlu dilihat dan dipertimbangkan termasuk tahap sirosis, keadaan pesakit secara am serta umur.