Tahukah anda, terdapat 3 jenis kanser darah yang berbeza?
Kanser tersebut ialah leukemia, limfoma dan juga myeloma dan ketiga-tiga kanser ini mempunyai penyebab dan simptom yang berbeza.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser sila dapatkannya di sini.
Kanser darah: Apa itu leukemia dan limfoma?
Leukemia ialah sejenis kanser yang bermula daripada sumsum tulang.
Sel leukemia tersebut akan membesar secara abnormal dan mengganggu sel-sel darah normal lain dalam salur darah manusia.
Limfoma pula ialah sejenis kanser yang menyerang sistem limfa badan. 2 jenis kanser limfoma yang utama ialah limfoma Hodgkin (Hodgkin lymphoma) dan limfoma bukan Hodgkin (non-Hodgkin lymphoma).
Sel darah putih dalam badan pesakit limfoma membesar dan membahagi tanpa kawalan. Sel-sel ini kemudiannya berkumpul di nodus limfa dan limpa pesakit lalu membentuk tumor.
Leukemia dan limfoma kedua-keduanya merupakan jenis kanser darah. Tambah lagi, kedua-dua kanser ini juga memberi kesan terhadap sel darah putih dalam badan.
Walau bagaimanapun, punca dan cara merawat kedua-kedua penyakit ini adalah sangat berbeza.
Menurut Aaron Gerds, leukemia merupakan sejenis kanser yang mengalir dalam saluran darah.
Manakala, limfoma pula ialah sejenis kanser yang boleh membentuk tumor akibat penggumpalan sel darah putih.
Menurut kajian, lebih ramai yang menghidap limfoma jika dibandingkan dengan leukemia.
Laporan yang sama juga menyatakan bahawa kedua-dua jenis kanser ini lebih banyak menyerang lelaki daripada perempuan.
Walau bagaimanapun, limfoma mempunyai kadar kesembuhan yang lebih tinggi daripada leukemia.
Pada tahun 2018 sahaja, lebih 24 ribu individu telah meninggal dunia akibat punca leukemia. Manakala 20 ribu lagi meninggal dunia akibat limfoma.
Jenis kanser darah leukemia dan limfoma: Kenali simptom yang membezakan
Simptom kanser darah sukar untuk dibezakan. Disebabkan punca leukemia dan penyebab limfoma berasal dari jenis kanser yang sama, kedua-duanya mempunyai simptom yang hampir serupa.
Pesakit limfoma akan rasa penat yang amat sangat ketika menjalani aktiviti harian. Mereka juga akan kehilangan berat badan dengan banyak.
Selain itu, pesakit limfoma akan alami:
- Demam.
- Berpeluh pada waktu malam.
- Sesak nafas.
- Batuk.
- Kulit gatal.
Leukemia pula mempunyai simptom yang berbeza mengikut individu. Pada awalnya, kebanyakan pesakit yang menderita dengan leukemia mungkin anggap mereka diserang demam.
Namun, ada beberapa gejala yang hanya berlaku kepada pesakit leukemia, misalnya:
- Senang untuk berdarah, lebam atau alami hidung berdarah.
- Hati atau limpa membengkak.
- Kerap mendapat jangkitan.
- Kulit pucat.
- Ada bintik merah pada kawasan kulit yang dipanggil petechiae.
Jika anda alami simptom di atas, anda digalakkan untuk berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Walaupun leukemia banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak, penyakit ini juga turut menyerang orang dewasa.
Jenis kanser darah berbeza, faktor risiko pun berbeza
Punca kanser darah leukemia dan penyebab limfoma mempunyai faktor risiko dan penyebab yang berbeza.
Golongan yang berisiko untuk mendapat leukemia ialah:
Individu yang pernah menerima rawatan kanser.
- Mempunyai masalah genetik.
- Pernah terdedah dengan beberapa jenis bahan kimia.
- Merokok.
- Mempunyai ahli keluarga yang menghidap leukemia.
Baca juga: