Bagi ramai wanita, bertindik pada telinga atau muka merupakan cara menghias diri yang mereka gemari. Walaupun hasilnya kelihatan menawan, bahagian badan yang bertindik memerlukan penjagaan lebih untuk memastikan tiada kesan sampingan yang tidak dikehendaki. Berikut adalah beberapa panduan untuk penjagaan selepas bertindik.
Pencegahan
Sebagai cara perlindungan, memilih teknik bertindik menggunakan jarum lebih baik berbanding menggunakan penembak. Penembak membentuk lubang melalui tekanan, yang menyebabkan kecederaan yang tidak perlu pada tisu. Selain itu, mesin ini sukar dipastikan steril kerana mempunyai bahagian plastik.
Dengan penggunaan jarum, anda mempunyai lebih banyak kawalan untuk ketepatan, dan ia benar-benar steril. Ia berfungsi seperti pisau bedah, membuat potongan kecil ke dalam tisu, meninggalkan kecederaan yang minimum pada kawasan tindikan. Selain itu, jika tindikan jarum dilakukan dengan betul, kesakitan adalah sangat sedikit.
Pastikan bersih
Untuk menjaga bahagian yang baru ditindik, bersihkan dengan sabun dan air atau larutan garam- bukannya dengan alkohol- dua kali sehari. Alkohol mengeringkan kawasan yang ditindik. Jika ia terlalu kering, kulit akan merekah dan berdarah, menyebabkan luka kekal terbuka. Sabun berasaskan minyak lebih sesuai untuk tujuan ini. Selain membersihkan luka, ia juga menyediakan minyak untuk melembutkan tisu yang sedang sembuh.
Penjagaan rapi
Tindikan pada tisu rawan seperti bahagian tepi cuping telinga memerlukan penjagaan tambahan berbanding menindik tisu lembut pada bahagian bawah cuping telinga. Bahagian bawah atau lobul telinga hanya mengandungi lemak dia antara dua lapisan kulit.
Manakala bahagian tepi atau pinna telinga mengandungi tulang rawan yang membentuk cuping telinga. Tulang rawan ini lebih sensitif semasa proses penyembuhan. Ia mengambil lebih banyak masa dan penjagaan tambahan untuk sembuh sepenuhnya.
Perhatikan tanda-tanda penyembuhan dan ketahui berapa lama anda mungkin perlu menunggu. Lobul telinga biasanya mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk sembuh sementara tulang rawan perlu sehingga sepuluh bulan. Apabila tidak lagi sakit, bengkak, dan mengeluarkan cecair serta sebarang kemerahan hilang, ia telah sembuh.
Anda perlu bersabar dan menjaga dengan rapi untuk membantu bahagian yang ditindik sembuh 100 peratus. Badan anda bertindak menyingkirkan bahan asing, jadi mempunyai subang atau besi tindik membuatkan badan anda bertindak balas.
Oleh itu, anda perlu penjagaan rapi dengan tekun. Lakukan pembersihan dengan rutin menggunakan sabun dan air. Gunakan ais untuk mengatasi masalah bengkak. Sekiranya anda menjaga dengan rapi, anda dapat mengelakkan komplikasi lanjut.
Sekiranya tindikan tersebut menyakitkan anda, jangan panik. Tanda bengkak, merah, rasa panas, cecair yang keluar mungkin hanya menunjukkan keradangan tetapi bukan jangkitan. Pun begitu, jika keadaan menjadi semakin teruk, dapatkan bantuan perubatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.
[embed-health-tool-bmi]