Mungkin ramai dalam kalangan kita yang terlepas atau terlupa bahawa tanggal 5 Mei pada setiap tahun adalah Hari Kebersihan Tangan Sedunia.
Saban tahun, hari ini sentiasa disambut dengan pelbagai nukilan artikel, infografik atau trivia menarik mengenai keperluan dan kepentingan kebersihan tangan terhadap kesihatan tubuh badan.
Tahun 2020, hari ini seakan tiba pada ketika yang sangat sesuai ekoran penularan virus korona baharu di seluruh dunia yang berada pada tahap sangat membimbangkan kini.
Hakikatnya, tiada senjata terkuat melawan COVID-19 kecuali ini – mencuci tangan menggunakan sabun dan air atau hand sanitizer.
Jadi, bersamalah kita menyambut Hari Kebersihan Tangan Sedunia 2020 ini sebagai satu tarikh keramat untuk memperingati manusia sejagat akan kewajiban mencuci tangan, demi keselamatan nyawa masing-masing!
‘Selamatkan nyawa: Cuci tangan anda!’
Di atas adalah tema sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia 2020 yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Pada tahun ini, segala penghargaan akan diberikan kepada barisan hadapan COVID-19 termasuklah golongan doktor dan jururawat yang sanggup berkorban hanya demi selamatkan nyawa individu lain.
Tanpa mereka, siapa tahu nasib kita ketika dilanda pandemik ini?
Bersempena dengan tarikh 5 Mei 2020 yang bersejarah ini juga, WHO telah melancarkan kempen ‘Global Hand Hygiene Day’.
Ini bertujuan untuk memperingatkan manusia akan 1 senjata terkuat dalam melawan pelbagai jenis penyakit iaitu mencuci tangan menggunakan sabun dan air atau hand sanitizer.
Kempen ini menyasarkan 3 objektif utama iaitu:
- Menjadikan amalan kebersihan tangan sebagai 1 kepentingan global
- Mengilhamkan perubahan sikap terhadap amalan kebersihan tangan
- Memperkuatkan barisan hadapan pekerja kesihatan dalam usaha melawan jangkitan penyakit
Dalam erti kata yang lebih mudah, kempen ini sangat penting bagi seluruh dunia untuk saling memperingatkan diri akan keperluan dan kepentingan kebersihan tangan dalam usaha melawan pandemik yang sedang melanda kini.
Jadi, sila cuci tangan anda dengan kerap!
Mungkin sebelum munculnya virus korona baharu di dunia, ramai yang mengambil ringan tentang perkara ini.
Hakikatnya, ia adalah senjata utama kita semua dalam memerangi pandemik wabak COVID-19 ini.
Menurut Elizabeth Scott yang merupakan Pengarah Bersama Center for Hygiene and Health in Home and Community di Simmons University, Boston, Amerika, tangan merupakan anggota yang paling penting kerana ia adalah ‘penghubung’ tubuh badan kita.
“Kita tidak boleh kawal apa yang kita sentuh. Kita juga tidak boleh kawal apa yang orang lain sentuh. Pun begitu, kita boleh menjaga kebersihan tangan kita sendiri dalam usaha melawan pandemik wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini”, jelas beliau lagi.
Jadi, sila cuci tangan anda menggunakan air dan sabun dengan kerap dan betul jika mahu selamat dari menjadi salah seorang mangsa pandemik ini.
Persoalannya, bagaimana?
Berikut adalahcara cuci tangan menggunakan air dan sabun yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
#1. Basuh tangan dengan sabun dan air secukupnya.
#2. Gosok tapak tangan.
#3. Gosok setiap jari dan celah jari.
#4. Gosok kuku di tapak tangan.
#5. Gosok belakang tangan.
#6. Basuh tangan dengan air secukupnya.
#7. Keringkan tangan dengan kain bersih.
Akhir kata, kita boleh menang dalam peperangan wabak COVID-19 sekiranya kita mengamalkan senjata utama iaitu cuci tangan dengan air dan sabun.
Selain itu, kita juga wajar patuh dan akur dengan penjarakan sosial serta pemakaian topeng muka tatkala berada di tempat awam bagi meminimumkan risiko jangkitan.
Bersempena Hari Kebersihan Tangan Sedunia ini, bersamalah kita memperingatkan diri masing-masing dalam usaha melawan pandemik yang melanda dunia kini!
[embed-health-tool-bmi]