backup og meta

Nak Kurangkan Risiko Masalah Kardiovaskular? Makanlah Lebih Banyak Kacang Walnut!

Nak Kurangkan Risiko Masalah Kardiovaskular? Makanlah Lebih Banyak Kacang Walnut!

Apabila pemakanan walnut digabungkan dengan diet yang rendah kandungan lemak tepu, ia boleh membantu menurunkan tekanan darah pada individu yang berisiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular. Ini berdasarkan penyelidikan baharu yang dilaksanakan oleh Penn State University.

Dalam percubaan rawak yang terkawal, para penyelidik mengkaji kesan penggantian beberapa lemak tepu dalam diet para peserta dengan walnut. Mereka mendapati bahawa apabila peserta makan walnut setiap hari dalam kombinasi dengan jumlah keseluruhan lemak tepu yang lebih rendah, mereka mempunyai tekanan darah pusat yang lebih rendah.

Menurut para penyelidik, tekanan pusat adalah tekanan yang dikenakan pada organ seperti jantung. Langkah ini, seperti tekanan darah yang diukur secara tradisional pada lengan, memberikan maklumat tentang risiko seseorang untuk mendapat penyakit kardiovaskular (CVD).

Penny Kris-Etherton, Profesor Ulung dalam bidang nutrisi di Penn State University berkata, penyelidikan tersebut menunjukkan bahawa disebabkan kacang ini menurunkan tekanan pusat, risiko untuk mendapat CVD juga mungkin menurun.

Manfaat lain walnut

Menurut Kris-Etherton lagi, apabila para peserta memakan kacang ini, pasukan penyelidikannya melihat manfaat yang lebih besar berbanding apabila peserta memakan makanan lain dengan profil asid lemak yang sama sepertimana walnut, tanpa memakan kacang tersebut. Oleh itu, kelihatannya terdapat sedikit perkara tambahan dalam jenis kacang ini yang bermanfaat – berkemungkinan sebatian bioaktif walnut tersebut, serat, atau mungkin sesuatu yang lain yang mungkin tidak anda dapati melalui sumber asid lemak lain semata-mata.

Alyssa Tindall, pelajar baharu dalam makmal Dr. Kris-Etherton yang juga lulusan Ph.D. dalam bidang pemakanan berkata, penyelidikan tersebut adalah salah satu daripada penyelidikan pertama dengan cubaan untuk mengetahui bahagian mana walnut yang membantu menyokong kesihatan jantung.

Menurut Tindall, kacang mengandungi alpha-linolenic acid (ALA), omega-3 berasaskan tumbuhan yang boleh memberi kesan terhadap tekanan darah secara positif. Pasukan penyelidikan tersebut mahu melihat jika ALA adalah penyumbang utama kepada manfaat yang sihat ini, atau jika ianya disebabkan oleh komponen bioaktif yang lain di dalam kacang ini, seperti polyphenols. Mereka merancang penyelidikan ini untuk menguji jika komponen ini mempunyai manfaat tambahan lain.

Kaedah kajian penggunaan walnut dalam diet

Untuk penyelidikan ini, para penyelidik merekrut 45 peserta dengan berat badan berlebihan atau obesiti yang berumur di antara 30 dan 65 tahun. Sebelum penyelidikan bermula, para peserta ditempatkan di diet “run-in’ selama dua minggu.

Menurut Tindall, penyelidikan tersebut meletakkan semua individu pada diet yang sama selama dua minggu sebelum permulaan kajian bagi membantu meletakkan semua individu pada tahap dan permulaan yang sama. Diet tersebut termasuklah 12 peratus kalori mereka yang terdiri daripada lemak tepu yang menggambarkan diet purata penduduk Amerika Syarikat. Dengan cara ini, apabila para peserta memulakan diet kajian, para penyelidik mengetahui sekiranya kacang jenis ini atau minyak lain telah menggantikan lemak tepu.

Selepas diet “run-in”, para peserta diletakkan secara rawak untuk salah satu daripada tiga diet kajian, yang mengandungi kurang lemak tepu berbanding daripada kandungan yang terdapat dalam diet “run-in”. Diet tersebut termasuklah salah satunya yang memasukkan walnut sebagai sebahagian daripada diet, satu diet yang memasukkan jumlah ALA dan asid lemak tidak tepu yang sama tanpa walnut, dan satu diet yang menggantikan asid oleik (sejenis asid lemak) dengan jumlah ALA yang sama yang terdapat dalam walnut, tanpa sebarang kandungan walnut.

Ketiga-tiga diet menggantikan walnut atau minyak sayuran dengan sebanyak lima peratus daripada kandungan lemak tepu diet “run-in”, dan semua peserta mengikuti setiap diet selama enam minggu, dengan rehat antara tempoh-tempoh diet.

Dengan setiap tempoh diet, para penyelidik menilai peserta untuk beberapa faktor risiko kardiovaskular termasuk tekanan darah sistolik dan diastolik pusat, tekanan brachial, kolesterol, dan kekakuan arteri.

Hasil kajian pemakanan walnut

Para penyelidik mendapati bahawa walaupun semua diet rawatan mempunyai kesan positif ke atas hasil kardiovaskular, diet dengan kandungan walnut memberikan manfaat terbesar, termasuk tekanan darah diastolik pusat yang lebih rendah. Berbeza dengan tekanan brachial – iaitu tekanan yang bergerak jauh daripada jantung anda dan diukur dengan arm cuff, tekanan pusat pula adalah tekanan yang bergerak ke arah jantung anda.

Tindall berkata bahawa hasil penyelidikan tersebut yang baru diterbitkan dalam Journal of the American Heart Association, telah menggariskan kepentingan menggantikan lemak tepu dengan alternatif yang lebih sihat.

Menurut Tindall, diet penduduk Amerika Syarikat secara puratanya mempunyai kira-kira 12 peratus kalori daripada lemak tepu, dan semua diet rawatan kami mempunyai kira-kira tujuh peratus kandungan, dengan menggunakan walnut atau minyak sayuran sebagai pengganti. Oleh itu, dengan melihat manfaat positif dari ketiga-tiga diet ini telah menghantar mesej bahawa tanpa mengira sama ada anda menggantikan lemak tepu dengan lemak tidak tepu daripada walnut atau minyak sayuran, anda harus melihat manfaatnya terhadap kardiovaskular.’

Kris-Etherton menambah bahawa penyelidikan tersebut menyokong walnut sebagai sebahagian daripada diet yang sihat. Menurut beliau lagi, daripada mengambil daging merah berlemak atau produk tenusu penuh lemak sebagai snek, pertimbangkan untuk mengambil susu skim dan walnut sebagai gantian sumber lemak tepu.

Baca juga:

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Alyssa M. Tindall, Kristina S. Petersen, Ann C. Skulas‐Ray, Chesney K. Richter, David N. Proctor, Penny M. Kris‐Etherton. Replacing Saturated Fat With Walnuts or Vegetable Oils Improves Central Blood Pressure and Serum Lipids in Adults at Risk for Cardiovascular Disease: A Randomized Controlled‐Feeding Trial. Journal of the American Heart Association, 2019; 8 (9) DOI: 10.1161/JAHA.118.011512
  2. https://www.sciencedaily.com/releases/2019/05/190501161226.htm

Versi Terbaru

19/06/2020

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Ayu Idris


Artikel Berkaitan

Betulkah Biji Chia Berkhasiat? Ini 7 Kebaikan Chia Seed Untuk Kesihatan

Tubuh Kuat Bermula Dari Usus Yang Baik! Ini 6 Manfaat Minuman Probiotik, Selain Untuk Usus!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/06/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan