Takut Berjumpa Doktor? Ini Cara Pujuk Berkesan Yang Boleh Dicuba

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 19/02/2020 . 4 minit bacaan
Share now

Kalau kanak-kanak kecil takut untuk berjumpa dengan doktor, sekurang-kurangnya anda boleh menyogoknya dengan mainan. Tetapi bagaimana kalau pasangan anda, seorang individu dewasa, suka mengelak berjumpa doktor?

Takut jumpa doktor perkara normal? 

Apabila kita menyayangi seseorang, pastinya kita mahukan yang terbaik buat mereka, terutamanya melibatkan aspek kesihatan. Tetapi ada kalanya, apabila melibatkan rawatan mahupun pemeriksaan doktor seperti doktor gigi, pasti ia menimbulkan keengganan. 

Sudah tentu rasa kecewa menguasai diri, bukan? Tetapi percayalah, anda tidak keseorangan. Ini kerana dikatakan lebih 35% individu dewasa di Amerika Syarikat tidak melakukan pemeriksaan dengan doktor pergigian pada tahun lepas.

Malahan secara keseluruhannya, individu lelaki dikatakan kurang gemar untuk berjumpa doktor berbanding wanita.

Jadi bagaimana hendak meyakinkan pasangan anda yang gemar mengelak berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan? 

Apa alasan individu mengelak berjumpa doktor?

Sebenarnya terdapat pelbagai alasan digunakan oleh individu yang suka mengelak berjumpa doktor. Antara alasan yang kerap digunakan adalah seperti:

  1. Tidak mempunyai masa 

Terlalu banyak kerja dan tiada masa merupakan antara alasan utama. Sudah tentu kesibukan menjadi faktor mengapa sesetengah individu mengelak berjumpa doktor. Lebih-lebih lagi jika keadaan secara fizikal tampak sihat dan pemeriksaan tersebut bukanlah sesuatu yang begitu mustahak.

Menurut seorang Doktor Perubatan Keluarga di New Jersey, Dr. Linda Girgis, “Kebanyakan individu tidak mahu menggunakan cuti tahunan untuk berjumpa dengan doktor apabila mereka berasa sihat.”

  1. Bayaran mahal

Walaupun mempunyai insurans, tetapi kos untuk melakukan pemeriksaan doktor boleh dikatakan agak mahal. Apatah lagi jika seseorang individu itu tidak mempunyai perlindungan insurans, sudah tentu harus berfikir 2 3 kali sebelum melakukan sebarang pemeriksaan perubatan.

Pengarah Perubatan Kesihatan di Jabatan Kesihatan Awam Chicago, Dr. Wilnise Jasmin berkata, “Bayaran kos yang mahal menjadi antara punca mengapa sesetengah individu mengelak berjumpa doktor dan memilih untuk bergantung kepada ‘pemeriksaan’ dengan Dr. Google.”

  1. Bimbang berita buruk

Ada individu yang mengelak berjumpa doktor kerana tidak bersedia dengan perkhabaran berita yang mungkin tidak baik. Terdapat juga sesetengah individu tidak mahu berjumpa doktor kerana bimbang dengan masalah kesihatan yang wujud disebabkan tabiat buruk mereka seperti merokok atau penggunaan alkohol secara berlebihan.

Tiada individu yang suka apabila diarahkan untuk melakukan sesuatu seperti, “Awak perlu berhenti merokok ” atau “Anda harus bersenam setiap hari”. 

  1. Takut berasa sakit

Takut untuk mengalami kesakitan adalah satu perkara normal. Mungkin anda berasakan ia antara alasan yang kelakar, lebih-lebih lagi jika melibatkan individu dewasa. Tetapi hakikatnya ia berlaku di dunia realiti. 

Ketakutan ini lebih cenderung untuk wujud jika seseorang itu mempunyai pengalaman menjalani prosedur rawatan yang menyakitkan sehingga menyebabkan trauma.

Sebagai contoh, jika seseorang itu melakukan pemeriksaan doktor gigi dan perlu mencabut lebih daripada sebatang gigi atau sebarang prosedur perubatan yang menyakitkan seperti pembedahan, itu pastinya antara kesakitan paling tidak diingini, bukan?

  1. Masih tidak serius atau kritikal

Kebanyakan individu mengelak berjumpa doktor kerana menganggap sebarang isu berkaitan kesihatan yang dialami itu masih pada tahap yang biasa. Apatah lagi jika tidak terdapat sebarang simptom yang dirasai.

Sebagai contoh, mereka mungkin berasakan bahawa keletihan yang dialami itu kerana tidak mendapat tidur yang mencukupi. Sedangkan punca keletihan itu mungkin didasari oleh masalah kesihatan lebih serius tanpa wujudnya simptom.

Yakinkan mereka berjumpa doktor

Penat bukan apabila anda sudah mencuba pelbagai cara tetapi masih tidak berjaya untuk membawa mereka melakukan pemeriksaan? Jangan risau, ada beberapa cara yang boleh anda cuba untuk meyakinkan pasangan anda berjumpa doktor.

  • Lakukan temu janji untuk mereka

Jika boleh, cuba untuk membantu mereka membuat temu janji pemeriksaan dengan doktor. Tawarkan diri untuk menemani jika mereka berasa gementar. Anda juga boleh membuat temu janji bersama bagi membantu menghilangkan rasa gementar diri mereka.

Tetapi yang paling penting, pastikan mereka tahu bahawa anda sudah mengaturkan temu janji buat mereka, takut nanti mereka ada hal lain pula.

  • Kongsikan penyelidikan dan kajian

Sekiranya usaha anda untuk membawa mereka melakukan pemeriksaan doktor tidak berjaya, mungkin dengan bantuan penyelidikan atau sebarang kajian dapat menyakinkan mereka untuk berjumpa doktor.

Sebagai contoh, pasangan anda mungkin tidak menyedari mengenai kepentingan penjagaan kebersihan oral atau keperluan untuk pemeriksaan segera apabila wujudnya tahi lalat yang mencurigakan pada badan walaupun ia tidak mendatangkan rasa sakit.

Dr. Linda berkongsikan pengalamannya merawat seorang lelaki dengan masalah dengkur. Lelaki tersebut bersetuju melakukan pemeriksaan selepas isterinya menunjukkan beberapa kajian berkaitan simptom apnea tidur serta kesannya.

  • Mengatasi isu kecil adalah lebih baik

Mencegah adalah lebih baik daripada merawat, maka anda juga boleh memujuk pasangan anda menggunakan cara ini. Tetapi, anda masih tidak tahu bagaimana caranya?

Cuba katakan kepada pasangan anda, mendapat tahu mengenai sesuatu masalah kesihatan pada peringkat awal pastinya sesuatu yang lebih baik. Ia adalah lebih elok berbanding mengetahui masalah pada tahap yang kritikal.

Mereka mungkin tampak sihat daripada segi fizikal. Walau bagaimanapun, tegaskan bahawa melakukan pemeriksaan pastinya dapat membantu mengesan sebarang masalah kesihatan yang mungkin wujud. 

Pemeriksaan awal juga pastinya dapat memberikan pilihan rawatan yang lebih baik dan berkesan. Secara tidak langsung, ia dapat memperbaiki kualiti kehidupan mereka.

  • Kesan kepada individu sekeliling

Anda boleh meminta mereka membayangkan apakah yang mungkin akan berlaku kepada anda dan ahli keluarga yang lain sekiranya mereka jatuh sakit. Sudah tentu perkhabaran itu akan memberikan kesan, khususnya dalam aspek mental.

Bagaimana pula jika anda berdua sudah mempunyai anak? Sudah pasti keengganan berjumpa doktor akan menjadi ikutan mereka. Secara langsung keadaan ini akan menimbulkan masalah berkaitan kesihatan pada masa mendatang.

Menunjukkan teladan yang baik sudah tentu satu perkara yang perlu sebagai ibu bapa. Jadi sarankan kepada pasangan anda untuk menjadi contoh ikutan kepada anak-anak.

Konklusinya

Keengganan berjumpa doktor sering kali merupakan satu perkara yang sudah menjadi kebiasaan ketika kecil. Keadaan ini cenderung berlaku kerana dimomokkan dengan kisah ‘kekejaman’ seorang doktor.

Sebagai contoh, anda pasti pernah mendengar ungkapan seperti “Haa…mainlah hujan, nanti demam kena inject dengan doktor”, ketika waktu kecil-kecil dahulu, bukan?

Sedangkan pada hakikatnya, seorang doktor tidak akan semudah itu memberikan suntikan, apatah lagi jika anda hanya sekadar demam biasa. Tetapi kata-kata seperti itu lebih ‘melekat’ di dalam fikiran sehingga anda menginjak dewasa. 

Jadi, jangan takut untuk melakukan pemeriksaan doktor. Tindakan ini sekurang-kurangnya dapat membantu anda mengesan sebarang masalah berkaitan kesihatan, jika ada. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy

Baca juga:

    Artikel lain untuk anda

    Atasi Anak Takut Berjumpa Doktor Gigi

    Anak Takut Berjumpa Doktor Gigi? Ada Cara Untuk Mengatasinya

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 19/09/2019 . 3 minit bacaan