brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Guna Ubat Tapi Tak Pernah Semak Label Ni? Awas, Anda Mungkin Terbeli Ubat Tiruan!

Di zaman teknologi kini, akses kepada ubat-ubatan menjadi semakin mudah. Pengguna boleh mendapatkan bekalan ubat melalui farmasi fizikal, kedai runcit, mahupun platform jualan dalam talian. Namun, kemudahan ini datang bersama risiko. Penjualan ubat tidak berdaftar dan tiruan semakin berleluasa di pasaran tempatan. Oleh itu, memahami cara beli ubat yang selamat adalah langkah terpenting untuk melindungi kesihatan diri serta keluarga anda.

Guna Ubat Tapi Tak Pernah Semak Label Ni? Awas, Anda Mungkin Terbeli Ubat Tiruan!

Apabila membeli ubat-ubatan biasa seperti racun terkawal atau ubat kaunter (over-the-counter / OTC), pembungkusan yang kelihatan biasa tidak menjamin ketulenannya. 

Ubat yang tidak berdaftar mungkin mengandungi bahan kimia berbahaya, pencemaran bahan tidak berdaftar, atau langsung tidak mengandungi bahan aktif yang berkesan. 

Untuk memastikan ubat yang dibeli adalah tulen, pengguna perlu mengetahui ciri ubat berdaftar yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, klik di sini.

Mengapa ubat berdaftar dan tulen penting? 

Untuk mengelakkan risiko kesihatan, KKM melalui Program Perkhidmatan Farmasi telah melancarkan kempen TOBaTS (Tolak Ubat Tidak Sah) bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai ubat-ubatan tidak sah serta menggalakkan pengguna mendapatkan bekalan ubat daripada sumber yang sah.1 

Terdapat beberapa kategori ubat tidak sah yang kerap ditemui di pasaran:2

  • Ubat Tidak Berdaftar & Tanpa Nombor Pendaftaran MAL: Ubat yang belum dinilai oleh KKM dari segi kualiti, keselamatan, dan keberkesanannya.
  • Ubat Tiruan (Counterfeit): Produk yang meniru reka bentuk, jenama, atau pembungkusan ubat asal secara haram. Ini termasuk produk yang menggunakan FarmaTag palsu atau FarmaTag milik produk lain untuk mengelirukan pembeli.
  • Ubat Yang Dicampur Bahan/Racun Terlarang: Ubat dalam kategori bukan racun (X), suplemen kesihatan (N) atau produk traditional (T) yang dicampur dengan racun berjadual.
  • Ubat Yang Diperoleh Dari Sumbar Tidah Sah: Ubat terkawal yang dibeli daripada penjual atau tempat yang tidak dibenarkan menjualnya, seperti penjual dalam talian, kedai ubat tradisional atau premis selain hospital, klinik dan farmasi.
  • Ubat Yang Diimport Tanpa Kelulusan KKM: Ubat yang mungkin sah di negara asalnya, tetapi tidak melalui proses kelulusan pendaftaran untuk pasaran Malaysia. Produk ini tidak boleh dianggap berdaftar secara automatik di sini.

Mengambil ubat daripada kategori ini boleh membawa paduan risiko, daripada kesan sampingan teruk hingga kegagalan rawatan. 

Langkah awal yang wajar dilakukan oleh pembaca adalah sentiasa semak ubat berdaftar sebelum membuat sebarang keputusan pembelian.

Cara beli ubat secara sah dan selamat

cara beli ubat
Semak pek ubat untuk pastikan ia ubat berdaftar sebelum pembelian.

Melakukan pemeriksaan ringkas ciri ubat berdaftar pada pek ubat sebelum membeli mampu menyelamatkan anda. 

Anda disarankan mengamalkan rutin semak ubat berdaftar melalui langkah-langkah berikut:3 4

  1. Beli daripada sumber dipercayai: Utamakan farmasi berlesen atau peruncit sah yang mempunyai premis fizikal dan reputasi yang baik.
  2. Periksa Nombor Pendaftaran MAL: Setiap ubat sah di Malaysia mempunyai nombor pendaftaran khas yang dicetak pada pembungkusan (contohnya: MAL12345678X).
  3. Cari label keselamatan FarmaTag: Pastikan terdapat pelekat FarmaTag (dahulunya dikenali sebagai Meditag) yang mempunyai ciri hologram keselamatan bersiri pada kotak ubat.
  4. Semak keadaan fizikal pek: Pastikan meterai (seal) keselamatan tidak rosak, maklumat nombor kelompok (batch number), dan tarikh luput (expiry date) dicetak dengan jelas serta konsisten.

Langkah-langkah praktikal ini menunjukkan bahawa cara beli ubat yang betul memerlukan sedikit ketelitian, tetapi amat berbaloi untuk jangka masa panjang.

Guna sistem rasmi NPRA dan aplikasi FarmaChecker

Jangan hanya bergantung pada pandangan mata kasar. Bagi memastikan pendaftaran dan ketulenan ubat adalah sah, gunakan dua saluran rasmi yang disediakan oleh pihak berkuasa:

  1. Carian produk rasmi NPRA 5

Sama ada anda membeli ubat preskripsi, ubat khusus farmasi, mahupun ubat tanpa preskripsi (over-the-counter / OTC) seperti Panadol, anda boleh menyemak status pendaftarannya melalui laman web rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). 

Masukkan nombor MAL atau nama produk pada carian produk NPRA untuk mengesahkan bahawa ubat tersebut memang diluluskan untuk jualan tempatan.

  1. Imbasan aplikasi FarmaChecker 6 7

Gunakan aplikasi rasmi FarmaChecker pada telefon pintar anda untuk mengimbas pelekat hologram FarmaTag pada pek ubat. 

Aplikasi ini akan memaparkan maklumat pendaftaran produk. 

Pastikan maklumat yang tertera pada skrin aplikasi adalah sepadan sepenuhnya dengan produk yang ada di tangan anda. 

Jika maklumat pada aplikasi menunjukkan nama produk berbeza, ketulenan label atau produk tersebut mungkin diragui.

Cara membezakan produk asal dan ubat tiruan di Malaysia

Ramai pengguna bertanya, “Bagaimanakah cara untuk membezakan produk tulen daripada ubat tiruan di Malaysia?”

Jawapannya: Jangan bergantung pada rupa bentuk pembungkusan semata-mata. 

Pengeluar ubat tiruan kini berupaya meniru karya seni (artwork) pembungkusan dengan sangat canggih. 

Selain itu, syarikat pengeluar ubat sah juga kerap mengemas kini reka bentuk pek mereka dari semasa ke semasa. 

Rupa pek yang berbeza tidak bermakna ubat itu automatik tiruan.

Untuk mengesahkan ketulenannya secara objektif:

  • Semak Nombor MAL & FarmaTag: Produk berdaftar untuk pasaran Malaysia mesti mempunyai nombor MAL dan label FarmaTag yang sah.6 7
  • Sahkan Melalui NPRA & Aplikasi: Lakukan carian pendaftaran di NPRA 5 dan imbas label FarmaTag.
  • Periksa Maklumat Cetakan: Pastikan nama produk, nombor kelompok, serta tarikh luput tertera dengan jelas dan selari dengan rekod pendaftaran.

Langkah pemeriksaan berasaskan fakta rasmi ini jauh lebih tepat berbanding cubaan mengesan perbezaan warna atau cetakan kotak secara sendiri.

Cara beli ubat secara dalam talian dan langkah jika temui ubat meragukan

Pembelian ubat menerusi platform e-dagang memerlukan kewaspadaan ekstra. 

Apabila membeli secara online: 8 9

  • Pilih kedai dalam talian yang dikendalikan oleh farmasi berdaftar.
  • Berhati-hati dengan tawaran harga yang terlalu murah atau tidak masuk akal. Harga luar biasa murah wajar dijadikan alasan untuk anda membuat semakan pendaftaran rasmi.
  • Elakkan penjual tanpa maklumat identiti yang jelas atau produk yang dihantar menggunakan pembungkusan luar negara tanpa label Bahasa Melayu/Inggeris dan tanpa nombor MAL.

Apa perlu dibuat jika ubat tidak dapat disahkan?

Jika anda mendapati ubat yang dibeli tiada nombor MAL, tiada FarmaTag, gagal imbasan aplikasi, atau disyaki tiruan:

  • Jangan makan ubat tersebut.
  • Jangan jual semula atau berikan kepada orang lain.
  • Jangan bersemuka atau menuduh penjual secara melulu tanpa pengesahan rasmi.
  • Simpan produk bersama bukti pembelian (resit/tangkapan skrin).
  • Salurkan aduan atau maklumat kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui portal aduan rasmi mereka (Sistem Pengurusan Aduan Awam – SISPAA) atau talian hotline farmasi.

Panduan penggunaan ubat secara selamat selepas pembelian

Selepas memastikan anda membeli produk yang tulen dan berdaftar, amalkan prinsip penggunaan ubat secara berhemah:

  1. Baca Label dan Arahan Dos: Sentiasa ikuti dos yang disyorkan pada pek atau nasihat doktor/ahli farmasi.
  2. Fahami Bahan Aktif & Elak Dos Berlebihan: Ambil tahu bahan aktif ubat anda. Contohnya, paracetamol digunakan untuk melegakan kesakitan dan demam, manakala ibuprofen sesuai untuk kesakitan, demam, dan keradangan. Mengambil dua produk berbeza yang mengandungi bahan aktif yang sama boleh menyebabkan dos berlebihan (overdose) yang berisiko merosakkan hati.
  3. Ketahui Keseimbangan Bahan: Ubat yang berbeza tidak boleh dibandingkan dari segi kekuatan hanya berdasarkan nombor miligram (mg) semata-mata.
  4. Simpan Dengan Betul: Simpan ubat di tempat yang kering, sejuk, dan jauh daripada pancaran matahari atau capaian kanak-kanak.

Pilihan ubat yang selamat bermula daripada tindakan kita sendiri. Ingat pesanan ini setiap kali membeli ubat-ubatan untuk keluarga anda:

“Semak pendaftaran. Sahkan FarmaTag. Beli daripada sumber yang dipercayai.”

Jika produk tidak dapat disahkan atau kelihatan meragukan, jangan makan ubat tersebut.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada tadi