backup og meta

Kenali Vaksin Polio

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 10/05/2023

    Kenali Vaksin Polio

    Polio adalah penyakit jangkitan virus yang pernah menyebabkan wabak suatu ketika dahulu pada awal abad ke-19. Segala-galanya berubah selepas penemuan vaksin oleh Jonas Salk, kemudian oleh Albert Sabin. Daripada 350,000 kes pada tahun 1988 menurun kepada 13 kes sehingga pada tahun 2018 sehingga Julai.

    Terdapat dua jenis vaksin polio: poliovirus yang tidak diaktifkan atau inactivated poliovirus (IPV) dan poliovirus dilemahkan dan diberikan melalui mulut atau oral poliovirus (OPV).

    1. Poliovirus tidak diaktifkan (IPV)

    Ini adalah vaksin polio pertama yang dicipta oleh Jonas Salk pada tahun 1955. Ia terdiri daripada virus yang tidak aktif dan diberikan melalui suntikan. Jadi, pekerja kesihatan terlatih diperlukan untuk memberikan vaksin ini.

    IPV melindungi badan daripada ketiga-tiga jenis virus polio (jenis 1, 2 dan 3).

    Di Malaysia, IPV diletakkan di dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP). Ia diberikan sebanyak 3 dos pada umur 2, 3 dan 5 bulan ditambah dengan booster dose pada umur 18 bulan.

    IPV adalah sangat selamat. Tiada penyakit atau kesan sampingan yang dilaporkan daripada pemberian vaksin ini. Kanak-kanak pramatang dan lemah sistem ketahanan badan juga boleh menerimanya, kecuali jika ada alahan terhadap IPV.

    WHO menggalakkan penggunaan IPV oleh semua negara sejak bulan Mei 2012.

    2. Poliovirus dilemahkan (OPV)

    OPV diperkenalkan lebih kurang 5 tahun selepas IPV oleh Albert Sabin. Kandungannya adalah virus polio yang dilemahkan (weakened poliovirus) dan diberikan melalui mulut. Sebab itu ia disebut sebagai oral poliovirus atau singkatannya OPV.

    Terdapat dua jenis OPV: trivalent OPV (tOPV) dan bivalent OPV (bOPV).

    tOPV melindungi badan daripada ketiga-tiga jenis virus seperti yang disebutkan di atas, manakala bOPV pula melawan jenis 1 dan 3. Sebelum adanya bOPV, hanya tOPV digunakan. Tapi sejak WHO mengesahkan virus jenis 2 telah terhapus, bOPV mula diperkenalkan.

    Walau bagaimanapun, negara yang menggunakan bOPV perlu juga memberikan IPV untuk menambah lagi perlindungan dan merangsang sistem imun.

    OPV juga secara amnya adalah selamat. Namun, masih terdapat risiko jangkitan polio disebabkan oleh virus yang diterima melalui vaksin tersebut. Ia disebut sebagai Vaccine Associated Paralytic Poliomyelitis (VAPP) yang berlaku 1 dalam sejuta penerima vaksin.

    Selain VAPP, terdapat satu lagi jenis jangkitan disebabkan vaksin iaitu Circulating Vaccine Derived Poliovirus (cVDPV). Ini disebabkan mutasi pada virus di dalam vaksin tersebut sehingga menyebabkan penyakit. Mutasi biasanya berlaku pada virus jenis 2. Oleh sebab itu, tOPV ditukarkan kepada bOPV untuk mengurangkan risiko cVDPV, lebih-lebih lagi selepas virus jenis 2 telah dihapuskan.

    Anda tidak perlu bimbang tentang keselamatan vaksin ini. Di Malaysia, tiada kes polio dilaporkan sejak Oktober 2000. Namun, ia masih perlu diambil sehingga tiada lagi kes dilaporkan di seluruh dunia kerana masih ada risiko jangkitan virus ini daripada negara luar.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 10/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan