backup og meta

Fakta Mengenai Penyakit Jantung

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 04/07/2022

    Fakta Mengenai Penyakit Jantung

    Anda rasa sudah tahu banyak mengenai penyakit jantung? Adakah semua maklumat yang anda tahu adalah benar dan tepat? Artikel ini boleh membantu memberikan fakta yang betul tentang penyakit jantung.

    1. Penyakit ini tidak jarang berlaku, malah sangat kerap

    Menurut data dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), penyakit jantung merangkumi 35% dari sebab kematian rakyat Malaysia pada tahun 2016. Angka ini bersamaan 1 dalam setiap 3 kematian, meletakkannya di tangga teratas dalam hierarki punca kematian di negara ini.

    Lebih membimbangkan, angka ini terus meningkat dari satu tahun ke tahun berikutnya dan beban ekonomi yang perlu ditangguh oleh sektor kesihatan adalah sangat besar.

    2. Serangan jantung bukan permulaan kepada penyakit jantung

    Fakta ini sangat penting untuk diketahui oleh semua individu. Serangan jantung tidak berlaku dalam satu malam. Ia mengambil masa bertahun-tahun sebelum berlaku.

    Apa yang berlaku semasa serangan jantung?

    Pembuluh darah koronari yang membekalkan darah kepada tisu otot jantung tersumbat menyebabkan tisu tersebut terputus bekalan oksigen sehingga berlaku kematian pada tisu tersebut. Keadaan ini memberikan rasa sakit di dada. Pembuluh darah tersebut memerlukan masa yang lama untuk menjadi sempit sehingga akhirnya tersumbat.

    Apabila serangan berlaku, proses penyempitan pembuluh darah telah berlaku lama sebelum itu. Jadi, langkah pencegahan melalui pemakanan dan aktiviti fizikal perlu dimulakan seawal mungkin. Bila? Sejak kecil!

    3. Bukan semua pesakit perlu melalui pembedahan pintasan jantung atau bypass

    Pembedahan ini hanya akan dijalankan dalam kes-kes tertentu, kebiasaannya lebih serius seperti pembuluh darah utama tersumbat dan simptom sakit dada yang teruk.

    Idea pembedahan ini ialah untuk memintas bahagian laluan darah yang tersumbat menggunakan pembuluh darah yang diambil dari bahagian badan lain agar bekalan darah dapat diberikan kepada tisu terbabit.

    4. Pesakit jantung mungkin mengalami penyakit lain dalam satu masa

    Pembuluh darah koronari menjadi sempit disebabkan keadaan yang disebut sebagai arterosklerosis dan ia bersifat sistemik. Dalam erti kata lain, arterosklerosis boleh menjejaskan pembuluh darah lain seperti di dalam otak sehingga menyebabkan strok.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 04/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan